ALAM pendidikan tidak asing dengan perkataan murid, pelajar, graduan dan siswazah.

Dalam bahasa Indonesia istilah keempat-empat panggilan ini disebut sebagai anak didik iaitu sesiapa sahaja yang sedang mengikuti pendidikan atau berpengalaman pernah dididik oleh gurunya.

Dalam bahasa Indonesia terdapat juga perkataan ‘peserta didik’ iaitu  anggota masyarakat yang berusaha mengembangkan potensi diri  melalui  proses  pembelajaran dalam pendidikan, baik melalui pendidikan informal  mahupun  pendidikan formal.

Di negara kita istilah umum digunakan ialah murid atau pelajar.

Ada seorang guru bertanya saya, “Munsyi, adakah perbezaan perkataan murid dengan pelajar?" Lalu saya menjawab dengan jawapan ala-ala kecindan, “Ada, perbezaannya dari segi sebutan dan ejaannya”.

Sebenarnya, isu penggunaan perkataan murid  dan  pelajar ini kelihatan remeh, tetapi dari segi bahasa memberi makna besar, apatah lagi dalam aspek penyebutan khusus dalam sistem pendidikan.

Hal ini timbul kerana ada dalam kalangan pengguna bahasa (lebih-lebih lagi guru) agak rancu menggunakan istilah ini mengikut tahap.

Adakah murid boleh digunakan untuk semua tahap persekolahan, atau menggunakan pelajar? Mari kita lihat makna yang tepat untuk kedua-dua istilah ini.

Mengikut catatan Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (PRPM) murid bermaksud orang atau anak yang sedang belajar atau sedang berguru, manakala  pelajar  bermaksud orang yang belajar (seperti murid sekolah, penuntut di maktab dan sebagainya), orang yang mengaji (menyelidiki ilmu).

Nampaknya kedua-dua istilah ini bersinonim, tetapi dari segi keterangannya ada sedikit perbezaan, iaitu pelajar dikaitkan dengan penuntut di maktab dan orang yang menyelidiki ilmu.

 Jadi, rumusannya perkataan murid boleh digunakan untuk merujuk orang yang belajar pada tahap sekolah rendah (darjah 1 hingga 6 dan menengah rendah (tingkatan 1 hingga 5 ),  manakala pelajar rujukan kepada orang yang sedang belajar di peringkat lebih tinggi iaitu di tingkatan 6, di maktab dan di institusi pengajian tinggi.

Disebut sebagai menengah kerana peringkat itu berada di tengah-tengah antara peringkat rendah (sekolah rendah) dengan peringkat atas (menengah atas).

Manakala pelajar tingkatan enam tidak dipanggil sebagai ‘murid’ kerana golongan ini berada di peringkat prauniversiti.

Bagaimana dengan perkataan graduan dan siswazah? Cara menyebut dan konteks penggunaan kedua-dua istilah ini juga ada perbezaannya.

 Graduan ialah seseorang lepasan universiti yang telah lulus peperiksaan mereka tetapi belum mengambil ijazah dalam upacara konvokesyen.

Apabila seseorang lepasan universiti mendapat ijazahnya melalui upacara di konvokesyen, maka mereka graduate, atau dalam bahasa Melayunya, siswazah.

Mereka tidak lagi boleh disebut sebagai graduan. Seseorang yang tidak melalui upacara untuk mengambil ijazahnya atas sebab-sebab tertentu tidak boleh dipanggil siswazah, mereka hanya boleh dipanggil sebagai graduan.

Hal ini kerana dalam tradisi universiti, tidak semua graduan secara automatik menjadi siswazah.

Graduan hanya lulus peperiksaan akhir mereka. Pihak senat universiti yang mempunyai kuasa meluluskan seseorang patut diberikan ijazah atau tidak.

Justeru, hanya universiti menentukan seseorang menjadi siswazah, lulus peperiksaan tidak secara automatik menjadikan seseorang siswazah.

Dalam persoalan mudah begini pun ramai dalam kalangan masyarakat bahasa keliru dan ragu-ragu menggunakannya, sementelahan dalam bidang lain yang lebih kompleks seperti bidang undang-undang, perniagaan, keagamaan dan sebagainya.

Guru-guru yang saban hari berdepan dengan anak didik mereka, tidak sewajarnya rancu aspek ini kerana sudah menjadi ‘nasi makan air minum’ mereka.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka