UNDANGAN yang diterima oleh penulis untuk menyertai seminar bahasa di Brunei Darussalam pada minggu lalu membuat penulis teruja. Penulis pernah ke beberapa buah negara lain tetapi keterujaan penulis kali ini berbeza.

Penulis menaiki Penerbangan Diraja Brunei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan. Penerbangan tersebut mengambil masa dua jam sahaja.  Semua pramugari berpakaian longgar dan menutup aurat dengan sempurna.

Cara berpakaian pramugari tersebut jauh berbeza daripada pramugari yang bertugas di dalam kapal terbang yang pernah dinaiki oleh penulis sebelum ini.

Situasi ini menampakkan pengurusan Penerbangan Diraja Brunei reti bahasa. Reti bahasa bermaksud kesediaan sesuatu pihak memahami situasi pihak lain.

Pergerakan kapal terbang dimulakan dengan doa menaiki kenderaan dan doa perjalanan. Bukan semua penerbangan dimulakan dengan perkara yang baik seperti itu. Hal tersebut membuktikan bahawa elemen reti bahasa yang sangat ketara wujud dalam Penerbangan Diraja Brunei berbanding penerbangan lain.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh pramugari, terselit istilah awda. Istilah awda tidak terdapat dalam bahasa Melayu sama ada di Malaysia ataupun di Indonesia. Istilah awda digunakan di Brunei sahaja.

Awda ialah akronim bagi perkataan Awang dan Dayang. Awang dan Dayang ialah nama popular Melayu Brunei. Istilah awda juga boleh digunakan bagi menggantikan “saudara dan saudari” dalam komunikasi rasmi atau tidak rasmi.

Tidak lama sebelum mendarat, pramugari telah membuat pengumuman sekali lagi. “Sila tegakkan tempat sandar” yang diungkapkan adalah sangat berbeza daripada “Sila tegakkan tempat duduk” yang sering diungkapkan dalam penerbangan lain. Penggunaan istilah “tempat sandar” dan “tempat duduk” tentulah membawa konotasi berbeza.

Dalam konteks penerbangan, penggunaan istilah tempat sandar lebih tepat berbanding istilah tempat duduk. Hal ini dikatakan demikian kerana yang perlu ditegakkan ialah tempat sandar, bukannya tempat duduk. Brunei mendahului kita dalam aspek reti bahasa.

Penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan utama di semua tempat sungguh mengagumkan penulis.

Tulisan Jawi bukan sahaja digunakan di papan tanda jalan, malah tulisan Jawi juga diletakkan paling atas dan paling besar di papan tanda kedai, papan premis perniagaan, bas, dan lain-lain. Maka, tidak hairanlah jika sebuah kedai makanan Cina menggunakan tulisan Jawi di papan premis perniagaannya.

Hal ini demikian kerana pemilik kedai tersebut mahir menulis dan membaca tulisan Jawi.

Ketika di Brunei Darussalam, penulis ditempatkan di Hotel Empire, iaitu hotel bertaraf lima bintang di Bandar Seri Begawan. Ketika penulis melalui permaidani merah yang dibentangkan dari pintu utama ke kaunter pendaftaran, penulis telah disapa dalam bahasa Melayu.

Penulis kerap berada di hotel lima bintang di negara sendiri tetapi penulis sering disapa dalam bahasa Inggeris. Penulis cuba bercakap dalam bahasa Inggeris di kaunter pendaftaran untuk menguji tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Penulis mendapati bahawa mereka juga menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Ketika berkomunikasi, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Jika perlu, mereka akan berbahasa Inggeris sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, penulis mendapati bahawa bahasa rojak tidak wujud di Brunei Darussalam. Tidak ada sesiapapun yang berkomunikasi menggunakan bahasa rojak sama ada pembentang kertas kerja, petugas hotel, pemandu teksi ataupun tukang sapu jalan. Masyarakat Brunei Darussalam sungguh reti bahasa.

Penulis juga mendapati bahawa penggunaan kata ganti nama diri di Brunei Darussalam juga berbeza. Di negara penulis, kata ganti nama diri “kita” merujuk penulis sendiri dan orang lain yang sedang berbicara ketika itu. Namun, di Brunei Darussalam, kata ganti nama diri “kita” bermaksud awak. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:

Kita datang dari mana? ( Bahasa Melayu Brunei)

Awak datang dari mana? (Bahasa Melayu Malaysia)

Tahap reti bahasa masyarakat Brunei Darussalam sungguh tinggi. Suasana di jalan raya amat lengang. Kenderaan pula tidak terlalu banyak. Masyarakat Brunei hanya melintas jalan di tempat yang ditetapkan sahaja. Mereka tidak melintas jalan secara semberono.

Memang tepat kata orang tua-tua. Jauh perjalanan luas pengalaman. Pengalaman selama seminggu di Brunei Darussalam banyak mengajar penulis agar bermuhasabah diri.

Penulis perlu meningkatkan kualiti diri bukan sahaja dalam aspek bahasa tetapi juga aspek reti bahasa. Hal ini demikian kerana kedua-dua aspek ini menyerlahkan identiti dan jati diri kita.

* Ruangan ini dikelolakan oelh Dewan Bahasa dan Pustaka