SEBUT sahaja tatabahasa, tergambar di fikiran kita pengetahuan tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat. Bermula daripada pembentukan kata, frasa, klausa dan ayat hinggalah pelbagai peraturan atau rumus yang perlu dipatuhi.

Di sekolah, pengajaran bahasa kini banyak tertumpu pada aspek ejaan, binaan ayat, kegramatisan ayat, hukum yang perlu dipatuhi dan sebagainya. Tatabahasa yang dipelajari di sekolah telah bertindak sebagai peraturan atau alat kawalan yang perlu dikuasai pelajar agar bahasa yang digunakan lebih teratur dan santun.

Soalnya, perlukah tatabahasa digubal sewaktu seseorang berbicara?

Terdapat beberapa pengertian tentang perkataan berbicara. Kamus Dewan mendefinisikannya sebagai bercakap atau berkata-kata, mengemukakan pendapat, berbincang untuk mencapai persetujuan atau berhujah. Walaupun terdapat pengertian yang berbeza-beza, penulis menggolongkannya sebagai komunikasi lisan. Perhatikanlah dialog yang biasa digunakan dalam perbualan seharian.

“Jemputlah ke rumah petang ni, bos. Ada majlis tahlil.”

“Tengoklah, kalau I free.”

Perbualan antara pekerja dengan majikan atau ketua jabatan di atas kurang menunjukkan sikap saling menghormati. Penggunaan kata ganti nama yang tidak menunjukkan rasa hormat daripada kakitangan untuk ketuanya, begitu juga pemakaian ganti nama diri pertama dalam bahasa Inggeris jelas menggambarkan status dan kemegahan.

Malangnya, dialog seperti yang dituturkan itu sudah menjadi kelaziman sehinggakan menjadi ikutan rakan sejawat.  Pemilihan perkataan oleh seorang ketua dilihat sekadar sambalewa malah kurang menunjukkan kesungguhan atas pelawaan kakitangannya.

“Tolong dapatkan saya warna yang lebih cerah.”

“Mak cik nak warna apa?”

Situasi di atas kebiasaannya dituturkan antara seorang jurujual dengan pelanggan di sebuah kedai. Jurujual muda ini beranggapan bahawa panggilan mak cik yang digunakan bersifat mesra dan hormat. Anggapan ini tidak salah jika panggilan tersebut digunakan kepada orang yang kita kenal.

Situasi ini berbeza untuk pelanggan yang tidak kita kenal. Mungkin pelanggan tadi merupakan orang yang dihormati dalam organisasi atau masyarakat. Sebaik-baiknya, jurujual muda ini perlu menyapa pelanggan yang berumur dengan panggilan cik atau puan.

Perlukah peraturan atau tatacara bertutur ini dibuat seperti hukum tatabahasa dalam penulisan? Siapakah pula yang bertindak untuk membetulkannya? Adakah setiap teguran yang diberikan akan dibuat pembetulan?

Jika kita perhatikan keadaan di rumah, tiada peraturan yang terpampang di dinding atau di ruang tamu, tetapi seorang tetamu yang bertandang sudah tahu haknya. Anak-anak juga dapat memahami perkara yang boleh dilakukan atau sebaliknya tanpa adanya peraturan bertulis.

Kesalahan ejaan atau tanda baca tidak melibatkan hati dan perasaan orang lain. Jika kita melakukan kesilapan dengan menyapa atau memilih kata yang kurang sopan sudah pasti akan menimbulkan kesan yang buruk.

Pujangga dahulu membandingkan perahu dengan kata-kata, betapa tingginya nilai kata-kata berbanding kenderaan yang digunakan ketika itu. Relevan lagikah bidalan yang sarat dengan pengajaran, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya? Jika masih relevan, mana buktinya?

    Kalau terpijak pisau belati,

    Tentu terluka teramat bisa;

    Bahasa yang cantik anugerah Ilahi,

    Berbudi bahasa pusaka bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka