SELEPAS bermesyuarat di Hutan Melintang, rakan-rakan penulis, iaitu Luqman, Tajudin, dan Dr Mani mengajak penulis untuk menyaksikan keindahan Menara Condong Teluk Intan pada waktu malam. Ketika bersiar-siar di sekitar kawasan menara, penulis ternampak seorang lelaki sedang menjual apam balik.

Dengan pantas, penulis membuka langkah untuk membeli apam balik. Ketika penulis menunggu untuk mendapatkan apam balik, lelaki itu berkata, “Awak sudah lama menjual apam balik.” Penulis yang menjangkakan pernyataannya itu merupakan soalan kepada penulis, dengan segera menjawab, “Tidak, saya tidak pernah menjual apam balik.” Dr Mani mencuit bahu penulis dan berkata, “Dia beritahu engkau yang dia dah lama menjual apam balik, bukan engkau tu yang dah lama menjual apam balik.” Barulah penulis faham bahawa 'awak' yang dimaksudkan oleh lelaki itu merujuk 'saya', iaitu dirinya sendiri. Kami ketawa sepanjang perjalanan pulang. Rupa-rupanya ada perkataan yang sama, tetapi mempunyai makna berbeza.

Kisah emak saudara penulis yang bernama Hajah Habsah sangat menarik perhatian penulis (semoga ALLAH merahmati rohnya). Dia menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes. Doktor di Hospital Sik, Kedah akan memberikan ubat yang banyak kepadanya sambil berpesan, “Makcik balik makan ubat ini selalu”. Di kampung penulis, perkataan selalu bermaksud kerap. Sedangkan selalu yang dimaksudkan oleh doktor itu ialah segera. Emak saudara penulis makan ubat-ubat itu secara kerap sehingga habis dalam beberapa hari sahaja. Nasib baiklah tiada apa-apa yang terjadi kepadanya kerana makan ubat terlebih dos. Perkataan yang sama, tetapi makna berbeza boleh mendatangkan impak tersendiri.

Penulis mempunyai sebuah rumah inap yang terletak di kaki Gunung Jerai.  Rakan-rakan penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara pernah menginap di situ.  Mereka ingin mendaki Gunung Jerai.  Sebelum mereka bertolak ke Gunung Jerai, penulis berpesan kepada mereka supaya 'makan dadah' agar tidak menyukarkan mereka nanti. Rakan-rakan penulis yang bukan berasal dari utara terjegil ke arah penulis apabila mendengar ungkapan itu.  Sahabat penulis yang bernama Ritah menjelaskan kepada mereka bahawa 'makan dadah' yang penulis maksudkan bukannya makan dadah terlarang, tetapi bermaksud makan terlebih dahulu. Perkataan yang sama, tetapi makna berbeza boleh juga mendatangkan kejutan.

Penulis pernah menyampaikan ceramah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Perak. Ketika berceramah, penulis sering menyebut, “Lagu mana kita nak buat jika soalan yang dikemukakan mempunyai stimulus yang panjang?” Setelah beberapa kali penulis mengajukan soalan sedemikian, dan masih belum ada seorang pun pelajar yang menjawab soalan penulis, maka penulis segera turun dari pentas untuk melihat sendiri keadaan mereka. Salah seorang pelajar bertanya penulis dengan suara yang perlahan, “Lagu apa yang sebenarnya kita hendak buat cikgu?” Penulis tergamam apabila mendengar soalannya itu. Penulis meluru ke pentas, mencapai mikrofon dan menjelaskan bahawa lagu mana yang penulis soal berulang-ulang kali itu merujuk bagaimana. Barulah mereka faham dan mengangguk-anggukkan kepala. Perkataan yang sama, tetapi makna berbeza boleh menyebabkan kekeliruan.

Rakan penulis yang bernama Shayaumil pernah mengajar di Belaga Sarawak.  Ketika kali pertama bertemu, barulah penulis mengetahui bahawa dia belum berkahwin. Ketika membicarakan perkara itu, dia hanya menjawab, “Saya tidak mahu isteri yang lawa”. Penulis berasa agak aneh kerana semua lelaki mahu mendapatkan isteri yang lawa. Penulis bertanya kepada seorang rakan yang bernama Ahmad dari Sibu tentang perkara itu. Ahmad ketawa besar kerana lawa yang dimaksudkan oleh Shayaumil itu bukanlah merujuk cantik, tetapi merujuk sombong.

Oleh hal yang demikian, Shayaumil sebenarnya tidak mahu isteri yang sombong, tetapi dia tetap mahu isteri yang cantik. Semoga Shayaumil mendapat isteri yang 'tidak lawa', tetapi cantik.

Begitulah uniknya bahasa kita. Sebutan sama, makna berbeza di tempat yang berbeza. Pelajarilah bahasa kita.