BARU-baru ini, sambil bersarapan bersama-sama secawan kopi O dan dua keping roti mentega di Kedai Kopi Chiam, Hulu Bernam, Selangor, saya sempat menelaah dua buah rencana pendek tentang buah-buahan tempatan dan produk makanan yang tersiar dalam akhbar tempatan.      

Tajuk rencana yang pertama ialah Fiesta Durian Promosi Raja Buah, manakala tajuk rencana yang kedua pula ialah Lulu Anjur Fiesta Makanan Setiap Minggu.

Tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya, ‘Wujudkah kosa kata, fiesta dalam kosa kata asli atau kosa kata pinjaman dalam bahasa Melayu?’ Sebaik usai sarapan, saya membuka Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), mencari kosa kata fiesta. Ternyata, entri untuk kosa kata, fiesta tidak ada dalam kamus tersebut. Walaupun kosa kata fiesta tidak ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), kata fiesta seolah-olah sudah diterima oleh sebilangan kecil pengguna, penulis/pemberita atau editor akhbar tempatan, sama ada dalam akhbar perdana atau akhbar tabloid.

Pada hemat saya, adalah lebih tepat sekiranya kosa kata, fiesta digantikan dengan kosa kata asli atau kosa kata pinjaman dalam bahasa Melayu yang bersesuaian dan diakui mantap seperti kosa-kosa kata pesta, kenduri, festival, temasya, konsert dan karnival yang tersenarai dalam jadual yang berikut:

Sebagai maklumat tambahan kepada pembaca dan pengguna bahasa Melayu, kosa kata fiesta hanya disenaraikan dalam Kamus Bahasa Inggeris - Melayu Dewan (DBP, 2002) sebagai entri kata bahasa Inggeris yang berpadanan makna dengan kosa kata dalam bahasa Melayu sebagai pesta.

Jelaslah bahawa penggunaan kosa kata fiesta pada tajuk kedua-dua rencana tersebut adalah tidak tepat, rancu dan mampu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa kebangsaan.

Tegasnya, kosa kata, fiesta perlu digantikan dengan kosa kata yang lebih tepat, iaitu sama ada pesta, kenduri, festival ataupun karnival yang mendukung makna dalam konteks wacana ingin dipaparkan dalam akhbar tempatan. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.