SINTAKSIS ialah istilah yang merujuk satu bidang dalam ilmu bahasa yang mengkaji ayat. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah, Jilid 3, ayat ialah unit pengucapan yang mengandungi makna lengkap. Dalam tulisan, ayat didahului oleh huruf besar dan diakhiri dengan noktah.

Sebenarnya ayat bahasa Melayu terdiri daripada dua bahagian utama, iaitu konstituen subjek dan konstituen predikat.

Ayat Dasar: Seperti juga struktur binaan ayat, setiap bahasa mesti mempunyai pola ayat dasar. Ayat dasar ialah ayat inti, iaitu ayat yang menjadi asas atau sumber pembentukan ayat-ayat lain dalam sesuatu bahasa.

Dalam bahasa Melayu terdapat empat pola ayat dasar, berpandukan jenis subjek dan predikat yang membentuknya.

Semua subjek dibentuk oleh frasa nama, manakala predikat pula dibentuk oleh sama ada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, ataupun frasa sendi nama.

Oleh hal yang demikian, empat pola ayat dasar dalam bahasa Melayu ialah:

1.Frasa Nama + Frasa Nama

Ayat contoh: Wuang Xing murid.

2.Frasa Nama + Frasa Kerja

Ayat contoh: Wuang Xing tidur.

3.Frasa Nama + Frasa Adjektif

Ayat contoh: Wuang Xing rajin.

4.Frasa Nama + Frasa Sendi Nama

Ayat contoh: Wuang Xing ke Tanjong Malim.

Selain pola ayat dasar, lazimnya, ayat bahasa Melayu dikategorikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan atau maksud ayat itu diucapkan, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

Ayat Penyata: Ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan atau maksud membuat sesuatu kenya-taan, misalnya menyatakan atau memberikan sesuatu keterangan tentang sesuatu hal atau berita. Ayat jenis ini juga disebut ayat berita. Contoh: Ipoh ialah ibu negeri Perak Darul Ridzuan.

Ayat Tanya: Ialah ayat yang digunakan untuk tujuan mena-nyakan sesuatu hal atau berita. Contoh: Majlis Anugerah Kece-merlangan Akademik sekolah itu bila?

Ayat Perintah: Ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan memberikan suruhan, larangan, ajakan atau menyampaikan per-mintaan. Ayat perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau, dan seumpamanya, yang lazimnya digugurkan. Contoh:

i. Buat ulasan itu dengan cermat hingga selesai. (Ayat Suruhan)

ii. Jangan berbual-bual di tempat ini. (Ayat Larangan)

iii. Sila buat laporan tentang program itu. (Ayat Silaan)

iv. Tolong belikan adik senaskhah novel remaja. (Ayat Permintaan)

Ayat Seruan: Ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan mela-hirkan perasaan seperti terkejut, hairan, geram, seronok, sakit dan sebagainya. Dalam tulisan, ayat seruan menggunakan tanda (!) di akhir ayat. Ayat seruan, lazimnya menggunakan kata seru seperti wah, oh, amboi, cis, aduh, eh, dan syabas di permulaan ayat. Contoh: Oh, bahasaku!

Binaan Ayat Tunggal: Ialah ayat yang mengandungi satu klausa sahaja, iaitu yang mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat.

Ayat tunggal, seperti juga ayat-ayat yang lain, terbit daripada ayat dasar. Contoh:

1. Ibunya penulis terkenal di Daerah Muallim.

Konstituen Subjek:

Ibunya (Frasa Nama).

Konstituen Predikat:

Penulis terkenal di Daerah Muallim (Frasa Nama).

2. Cikgu Chai sedang berucap dalam majlis persaraan itu.

Konstituen Subjek:

Cikgu Chai (Frasa Nama).

Konstituen Predikat:

Sedang berucap dalam majlis persaraan itu (Frasa Kerja).

3. Masakan lauk-pauk Restoran Seafood Garden lazat betul.

Konstituen Subjek:

Masakan lauk-pauk Restoran Seafood Garden (Frasa Nama).

Konstituen Predikat:

Lazat betul (Frasa Adjektif).

4. Pelancong itu dari Afrika Selatan.

Konstituen Subjek:

Pelancong itu (Frasa Nama).

Konstituen Predikat:

dari Afrika Selatan (Frasa Sendi Nama).

Yang jelas, bahasa Melayu cukup kaya akan variasi ayat, yakni daripada ayat dasar (inti) kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan dan ayat tunggal selain ayat majmuk.

Oleh hal yang demikian, sebagai pengguna dan pencinta bahasa Melayu yang akrab dan prihatin, amat wajar kita telusur binaan ayat-ayat tersebut dari semasa ke semasa agar bahasa kebangsaan kita dapat disebarluaskan dengan betul.

Bahasa Jiwa Bangsa!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU- BARU ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memperkenalkan 140 perkataan baharu atau istilah dalam pelbagai bidang.
  • KETIKA penulis menulis artikel ini, penulis sedang menggunakan Per-khidmatan Kereta Api Elektrik atau Electronic Train System (ETS) dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani. Penumpang di sebelah penulis ialah seorang lelaki yang lebih berusia daripada penulis.
  • DEMIKIANLAH serangkap pantun Melayu yang diucapkan oleh pemidato Lisa Shimazaki dari negara Matahari Terbit sebelum meninggalkan pentas utama peringkat akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 yang telah pun usai diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Julai lalu.
  • AYAT yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal yang dicantumkan ini disebut ayat majmuk. Ayat majmuk ialah ayat yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal. Ayat majmuk terbahagi kepada Ayat Majmuk Gabungan, Ayat Majmuk Pancangan dan Ayat Majmuk Campuran.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.