Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah berlalu. Ketika kempen pilihan raya selama 11 hari itu, pihak yang bertanding menggunakan segala perkara yang ada untuk memenangkan calon masing-masing.

Seperti peribahasa, alang-alang berdakwat biar hitam. Tiada sesiapa yang menjalankan kempen bagai melepaskan batuk di tangga. Ketika tempoh kempen, ada yang berbesar hati untuk memberikan itu dan ini kepada rakyat tanpa diminta.

Ada juga yang berkecil hati disebabkan pelbagai faktor. Rakyat mengharapkan biduk lalu kiambang bertaut agar kehidupan selepas pilihan raya lebih tenang dan damai.

Yang tidak pernah berminat dengan politik kepartian juga tiba-tiba ingin menjadi orang kuat parti. Pilihan raya bagaikan lubuk rezeki kepada rakyat yang sanggup berjaga malam.  

Ada padi, semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras. Arahan kerja yang diiringi dengan upah segera menyebabkan semua urusan kempen pilihan raya menjadi lancar.

Setelah keputusan pilihan raya diumumkan, banyak pihak baru tersedar bahawa hidup ibarat roda yang berputar, kadang-kadang berada di atas dan kadang-kadang berada di bawah. Ada pihak yang kalah membuat keputusan nekad untuk menjauhkan diri daripada masyarakat kerana bagi mereka lebih baik mati berkalang tanah daripada hidup bercermin bangkai.

Ketika menerima kekalahan luar jangka, air yang diminum terasa duri, nasi yang dimakan terasa sekam. Banyak juga penyokong tegar selama ini menjauhkan diri daripada parti yang tewas. Dalam hal ini, peribahasa pernah disebut jika pokok tumbang, monyet pun lari.

Ketika tempoh kempen pilihan raya, kita dapat melihat pelbagai tingkah laku luar biasa daripada juru kempen. Orang yang tidak berdaya dibantu. Tempat yang kotor sama-sama dibersihkan. Hidup masyarakat ketika itu bagaikan aur dengan tebing.

Ketika tempoh kempen juga pelbagai keburukan pihak yang dikatakan musuh didedahkan padahal keadaan itu bagaikan belacan dikerat dua, yang pergi busuk, yang tinggal hanyir.

Banyak perkara yang diperkatakan bagai menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri. Selagi keputusan tidak diumumkan, semua calon bagaikan berumah di tepi tebing.  Mereka sentiasa bimbang akan kekalahan.

Semua parti membawa idealisme masing-masing dan tidak pernah bermuafakat dengan pihak lain. Mereka bagaikan enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Bagi rakyat pula, mereka serba salah ketika memilih pemimpin di kawasan masing-masing kerana mereka bagaikan melompat pagar tiga hasta, mahu melompat terasa rendah, mahu melangkah terasa tinggi. Jika terasa mahu menggantikan wakil rakyat sedia ada biarlah bagai tembilang bagai penggali, begitu yang hilang begitu pengganti. 

Janganlah pula tersilap pilih agar tidak menjadi seperti tikus membaiki labu. Calon-calon yang bertanding pula menjadi terlalu pemurah bagaikan nakhoda kasap, hujung hilang pangkal lesap.  

Calon yang menang mestilah mengotakan janji kepada rakyat, jangan pula menjadi bagaikan timun dendang, di luar merah di dalam pahit.

Antara calon yang bertanding, banyak juga yang terdiri daripada anak-beranak. Mereka akan mewakili parti yang sama. Orang tua-tua pernah menyebut bahawa sebagaimana acuan, sebegitulah kuihnya.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?. Ada juga calon dalam kalangan ahli keluarga sendiri, tetapi berada dalam parti berbeza. Perkara ini merupakan perkara biasa kerana rambut sama hitam hati lain-lain. Apa-apa yang penting ialah air dicencang tidak akan putus. Semua calon dan juru kempen akan mengikut keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kerana sebagaimana tepuk sebegitulah tarinya.

Penulis telah menggunakan 29 peribahasa untuk menggambarkan suasana pilihan raya umum. Bahasa Melayu sebenarnya kaya dengan peribahasa yang mempunyai maksud mendalam.

Akhir kata, penulis menggunakan ruang ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka