DEMI masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Demikian antara ayat daripada Surah al-Asr yang banyak dihafal oleh orang Islam.

Pembaca sekalian, betul maksud surah yang disebut tadi, iaitu manusia sentiasa dalam kerugian. Penulis ingin mengaitkan kerugian masa dan waktu dengan isu bahasa. Terlalu banyak kerugian bahasa apabila dikaitkan dengan masa dan waktu.

Apabila menyebut bulan puasa, sudah tentulah munculnya bulan dalam bahasa Arab, iaitu Ramadan. Maka bercambahlah kerugian bahasa kerana bercambahnya ejaan Ramadan dieja sebagai Ramadhan. Sepatutnya ejaan Ramadan tidak memerlukan huruf ‘h’ selepas huruf ‘d’.

Menyusul kemudian Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri. Sekali lagi kita kerugian bahasa kerana kebanyakan masyarakat umum menulis Aidilfitri sebagai Aidil Fitri. Yang lebih teruk, dibubuhnya tanda sempang, maka jadilah Aidil-Fitri.

Begitu juga apabila kita mengeja Aidiladha, janganlah kita menjadikan ejaan itu dalam bentuk dua perkataan. Masih banyak lagi pengguna bahasa yang keliru walaupun saban tahun kita menyambut perayaan berkenaan.

 Sudah tentu menjelang hari raya, di corong-corong radio dan televisyen berkumandang lagu hari raya. Sengajalah penulis mahu menarik perhatian pembaca bahawa selain tersyahdu dan tersentuh serta terhibur dengan lagu-lagu raya ini, terdapat banyak kesilapan dalam seni kata lagu-lagu berkenaan yang ada kaitan dengan masa dan waktu. Contohnya:

Suatu hari di hari raya...

Di hari mulia bertemu mesra...

Untuk pengetahuan pembaca, penggunaan kata sendi nama ‘di’, sebenarnya tidak boleh digunakan untuk masa dan waktu. Hukum tatabahasanya salah. Penggunaan kata sendi nama ‘pada’ sesuai untuk menggantikan kata sendi nama ‘di’.

Terlalu banyak lagu raya menggunakan kata sendi nama ‘di’ pada masa dan waktu. Lagu popular P. Ramlee, umpamanya: Di hari raya, terkenang daku…

Sesungguhnya, kebanyakan seni kata lagu mengabaikan hukum tatabahasa. Mungkin mahu mengindahkan bahasa lagu. Mungkin jika mengikut hukum tatabahasa, maka lagu tidak sedap didengari. Entahlah! Memang betul lagu tidak terikat dengan hukum tatabahasa seperti juga puisi. Namun, pada pendapat penulis, jika benar-benar mahu memartabatkan bahasa, tiada salah setiap seni kata yang mahu dicipta perlulah mematuhi peraturan atau hukum tatabahasa.

Penulis yakin bahawa jika pencipta lagu terikat dengan hukum tatabahasa sekalipun, mereka tetap berupaya menghasilkan lirik yang  menarik dan sedap didengari.  

Pembaca akhbar sekalian, sering kali pengguna bahasa merujuk waktu, iaitu pukul 1 sebagai pukul 1 petang. Hakikatnya, pukul 1 belum lagi petang, masih tengah hari. Oleh itu, masa yang betul ialah pukul 1 tengah hari. Apabila waktu sudah sampai pada pukul 2, maka jadilah pukul 2 petang. Rugikan, kalau masih tidak tahu?

Untuk kemudahan pengguna bahasa, penulis turunkan maklumat tentang masa dan waktu.

i)    pukul 2 petang hingga pukul 6.59 petang

ii)    pukul 7 malam hingga pukul 11.59 malam

iii)    pukul 12 tengah malam hingga 12.59 tengah malam

iv)    pukul 1 pagi hingga pukul 11.59 pagi

v)    pukul 12 tengah hari hingga pukul 1.59 tengah hari

Satu lagi kerugian ialah apabila pengguna bahasa sering merujuk waktu zuhur sebagai zohor. Ejaan yang betul ialah zuhur, bukannya zohor. Begitulah juga ejaan yang lain bagi waktu-waktu solat yang lain seperti subuh, maghrib, asar, dan isyak.

Semua ejaannya dalam bentuk huruf kecil, bukannya pada pangkalnya berhuruf besar. Maknanya, semua waktu solat ini dikira sebagai kata nama am.

Sekali lagi kita keliru apabila tiba waktu zuhur. Waktu solat zuhur ini adalah pada waktu tengah hari. Lihatlah pula pada ejaan tengah hari. Yang sering kita temukan ialah tengahari. Ejaan tengah hari sepatutnya terpisah, bukannya satu perkataan.

Hal ini kerana tengah hari ini tergolong dalam kata majmuk yang ejaannya terpisah.

Begitulah banyaknya kesalahan bahasa yang berkaitan dengan masa dan waktu. Memang benarlah kita sentiasa dalam kerugian bahasa tatkala bertemu dengan masa dan waktu.

Jadi, cukuplah dengan kerugian itu. Marilah kita bersama-sama membetulkan kesalahan yang dinyatakan agar tidak berulang dan terus berulang. Sesungguhnya, masa itu emas.