PENGGUNA bahasa Melayu sering keliru akan penggunaan kosa kata, 'atas' sama ada sebagai kata sendi nama atau kata arah dalam wacana bahasa Melayu mutakhir.

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, laksana, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, antara, untuk, dengan, sampai, dan atas.

Walaupun semua kata sendi nama hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun tiap-tiap satu mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaannya pula ditentukan oleh peraturan yang khusus.

Terdapat beberapa bentuk kata sendi nama yang menganggotai golongan kata yang lain, contohnya akan (juga berfungsi sebagai kata bantu), dalam (juga berfungsi sebagai kata arah dan kata adjektif), sampai (juga berfungsi sebagai kata kerja) dan antara (juga berfungsi sebagai kata arah).

Contoh:

1a. Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama tuan. (baku)

1b. Atas kerjasama tuan, saya ucapkan ribuan terima kasih. (baku)

1c. Saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama tuan. (tidak baku)

Jika dihalusi, kosa kata, 'atas' dalam ayat 1a dan 1b berfungsi sebagai kata sendi nama kepada kata nama, 'kerjasama' atau frasa nama, 'kerjasama tuan' dan membentuk frasa sendi nama yang baku atau gramatis.

atas + kerjasama + tuan= atas kerjasama tuan

KS + KN + KN    = FSN

Ayat 1c pula tidak baku atau gramatis kerana kosa kata, atas berfungsi sebagai kata arah yang hadir sebelum frasa nama, kerjasama tuan dan lazimnya sesudah kata sendi nama, 'di' untuk menunjukkan hala atau jurusan. Antara kata arah contoh yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah atas, antara, bawah, tepi, belakang, selatan, samping, tengah, dalam, luar, sisi, penjuru, sudut, segi, timur, barat, hadapan, utara, dan sebagainya.

Contoh:

2a.    Buku itu di atas meja. (baku)

di   +   atas    +    meja     =  di atas meja

KS    + Kata Arah   +   KN        =  FSN

2b.   Buku itu atas meja. (tidak baku)

3a.    Tikar mengkuang itu di atas almari. (baku)

di   +   atas  +   almari    =  di atas almari

KS  +   Kata Arah   +   KN         =  FSN

3b.     Tikar mengkuang itu atas almari. (tidak baku)

Sebagai kesimpulannya, penggunaan kosa kata, 'atas' dalam frasa, 'atas kerjasama' dan kosa kata, 'atas' dalam frasa, 'di atas meja' tidak memperlihatkan persamaan fungsi dalam konteks bahasa Melayu.

Oleh itu, saya amat berharap agar para pengguna bahasa Melayu mampu membezakan fungsi penggunaan kosa kata, 'atas' sama ada sebagai kata sendi nama atau kata arah dalam wacana lisan dan penulisan bahasa Melayu.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka