PENGGUNAAN frasa orang kata sememangnya lumrah dalam perbualan masyarakat kita. Antara lainnya, frasa tersebut digunakan untuk mendapatkan pengesahan tentang sesuatu perkara. Sila baca dan fahami maksud ayat yang berikut.

1) Orang kata pilihan raya tidak akan diadakan pada tahun ini. Betul ke?

2) Orang kata pokok besar di tepi sawah itu berhantu. Awak tahu tak?

Berdasarkan contoh ayat di atas, frasa orang kata secara umumnya membawa maksud khabar angin; khabar angin tentang pilihan raya (ayat 1), dan khabar angin tentang pokok berhantu (ayat 2).

Mungkin disebabkan kebiasaan, frasa tersebut turut digunakan untuk merujuk kepada perkara yang khu-sus. Antara soalan yang pernah diajukan kepada penulis adalah seperti yang berikut.

3) Ada orang kata panggilan hormat untuk Guru Penolong Kanan ialah Yang Berbahagia, bukan Yang Berusaha. Betul ke?

4) Sekarang ni, ada orang kata nama individu yang menandatangani surat  rasmi tidak perlu diletakkan tanda kurung sekiranya individu tersebut ketua jabatan tetapi ada ketua jabatan yang masih menggunakan tanda kurung tersebut. Yang mana yang perlu diikut?

Penggunaan frasa orang kata apabila merujuk kepada perkara yang khusus, seperti dalam ayat 3 hingga 4 amat tidak wajar kerana setiap perkara yang khusus tentulah ada sumber rujukannya.

Sumber yang berkenaan perlu dirujuk apabila timbul kekeliruan, bukannya membuat pertimbangan berdasarkan orang kata.

Bagi penjawat awam, mereka sememangnya dibekalkan Pekeliling tertentu. Pekeliling tersebut meru-pakan panduan yang perlu dipatuhi. Perkara ini penting untuk memas-tikan bahawa tindakan di sesebuah jabatan itu selaras antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Apabila pihak-pihak tertentu memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara yang berkaitan, Pekeliling yang berkenaan perlu dirujuk, bukan berdasar pada orang kata.

Langkah ini penting untuk mengelakkan kekeliruan, seperti yang tersurat dan yang tersirat pada soalan 3 dan 4 di atas.

Andai kata, terdapat sebarang perubahan pada mana-mana Peke-liling, pihak yang berkenaan akan mengedarkan perubahan itu kepada ketua-ketua jabatan untuk diuar-uarkan kepada kakitangan.

Tindakan segelintir penjawat awam yang melakukan perubahan atas dasar orang kata bukan sahaja mengundang masalah tetapi secara tidak langsung memperlihatkan ketidakwibawaan penjawat awam yang berkenaan.

Sekiranya perkara ini difahami dan dipatuhi, soalan 3 dan 4 tidak timbul sama sekali.

Sebagai contoh, terdapat pel-bagai panggilan hormat diberikan kepada pengetua sekolah.

Berdasarkan pengalaman penulis, terdapat tiga panggilan hormat yang merujuk kepada pengetua sekolah, iaitu Yang Berbahagia, Yang Dihormati, dan Yang Berusaha.

Kekeliruan ini tidak mungkin timbul sekiranya semua pihak merujuk kepada Pekeliling yang menetapkan bahawa ketua jabatan (termasuk pengetua) tanpa gelaran hendaklah disebut Yang Berusaha. Contohnya: “Yang Berusaha Encik Zakaria bin Sulaiman, Pengetua SMK Wawasan.”

Selain itu, kemusykilan tentang bahasa yang disandar pada frasa orang kata, banyak sekali timbul, antaranya adalah seperti yang berikut:

5) Orang kata ayat tidak boleh dimulakan dengan kepada, tetapi ada orang  kata boleh. Macam mana ni?

6) Orang kata sekarang ayat boleh mula dengan kata hubung, dengan. Bila pula berubah?

Kesimpulannya, penggunaan frasa orang kata lebih bersifat khabar angin.

Sehubungan dengan itu, frasa tersebut amatlah tidak wajar, terutama apabila memperkatakan perkara khusus atau perkara akademik.

Dengan hanya berdasarkan orang kata, pandangan yang dikemukakan seseorang tidak kukuh dan tidak menampakkan kebijak-sanaan penuturnya.

Sekiranya masih kabur, berbincanglah dengan individu yang arif tentang tatabahasa.

Jika perkara asas ini difahami dan diamalkan, soalan 5 dan 6 tidak mungkin timbul.

*Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka