ZAMAN sudah berubah. Suatu ketika dahulu televisyen merupakan wahana untuk mendapatkan maklumat dan hiburan yang diminati oleh semua golongan masyarakat tidak kira peringkat usia. Rancangan yang ditayangkan juga pelbagai. Ketika itu, cerita tentang itik bernama Donald, tikus bernama Mickey dan Minnie menjadi tarikan.

Bagi golongan remaja, sudah pasti rancangan berbentuk hiburan yang melibatkan artis-artis terkenal tanah air dan artis luar negara menjadi pilihan mereka. Pendek kata televisyen amat popular ketika itu.

Bagi golongan dewasa, mereka menonton televisyen untuk mendapatkan perkembangan terkini berita-berita nasional bahkan antarabangsa kerana sebelum adanya kemudahan internet, televisyenlah cara paling cepat sesuatu berita disampaikan.

Sedang enak kita menonton cerita yang ditayangkan, tiba-tiba tumpuan kita terganggu oleh aksi seorang wanita yang cuba berlindung daripada pancaran matahari. Nampak tidak masuk akal, wanita itu cuba berlindung di sebalik sebatang tiang lampu. Kadang-kadang kita seperti mahu tergelak dengan aksi wanita tersebut, terlompat-lompat mencari bayang-bayang untuk berlindung.

Mesej yang disampaikan sangat mudah, jika tidak mahu gelap dengan kesan matahari, penonton diajak menggunakan losen jenama yang dikeluarkan oleh mereka. Kesan yang dapat dilihat dalam masa yang singkat memang akan menarik perhatian wanita yang mementingkan kecantikan. Bermacam-macam cara digunakan oleh pengeluar sesuatu barangan untuk melariskan hasil kilang mereka.     

Cerita, iklan dan sebarang berita yang disampaikan adalah untuk menyampaikan maklumat kepada penonton. Bagi penonton yang peka, sudah pasti mereka akan perasan dengan penggunaan bahasa dan ejaan yang digunakan seperti perkataan losen. Rata-rata pengguna bahasa Melayu akan mengeja mengikut bunyi asal perkataan ini.

Terdapat perkataan daripada bahasa asing yang diserap ke dalam bahasa Melayu seperti television’, lotion, station dan banyak lagi yang menimbulkan kekeliruan pengguna untuk dieja dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, kata yang asalnya berakhir dengan –sion, -tion, -tional telah digariskan ejaannya dalam bahasa Melayu:

1. Television – televisyen
(-sion kepada –syen)

2. Lotion – losen
(-tion kepada –sen)

3. Station – stesen
(-tion kepada –sen)

4. Section – seksyen
(-tion kepada –syen)

5. Immigration – imigresen
(-tion kepada –sen)

6. Traditional – tradisional
(-tional kepada –sional)

Beberapa perkataan ini hanyalah sebagai contoh sahaja. Terdapat banyak lagi kata asing yang diserap ke dalam bahasa Melayu untuk peluasan maksud dan istilah.

Masalah untuk mengeja perkataan sebegini sering dihadapi oleh pelajar-pelajar sekolah dan juga IPT kerana mereka tidak dapat lari daripada berdepan dengan kata serapan ini, sama ada semasa menjawab soalan peperiksaan atau semasa menyediakan tesis.

Bantuan media amat diperlukan untuk memantapkan penggunaan ejaan yang betul oleh pengguna bahasa. Prinsip yang digunakan semasa iklan wajar diambil kira. Iklan yang ringkas, padat dan kadang-kadang di luar logik akal tetapi diulang-ulang sehingga melekat dalam fikiran penonton dan diterima sebagai sesuatu yang betul dan benar. Mujurlah kebanyakan pengiklan sudah semakin sedar tanggungjawab mereka dengan menggunakan ejaan yang betul seperti iklan losen tadi.

Cuba bayangkan jika ejaan yang salah digunakan semasa iklan dan ditayangkan berulang-ulang, apa kesannya kepada masyarakat? Sudah pasti mereka akan menggunakannya tanpa ragu.

Sama-samalah kita menggunakan bahasa Melayu yang betul demi kelestarian bahasa kebangsaan kita ini. Bahasa Jiwa Bangsa.