SETELAH dilantik sebagai Munsyi Dewan (MD) 1996, penulis agak kerap mengendalikan kursus bahasa dan kursus-kursus lain yang berkaitan kepada kakitangan awam yang memerlukannya.

Pelbagai soalan tentang kebahasaan yang dikemukakan peserta menambahkan pengalaman penulis sebagai pencinta dan pengamal bahasa Melayu.

Dalam satu sesi ceramah, seorang peserta menyatakan bahawa ada Munsyi Dewan (MD) yang menjelaskan bahawa ayat tidak boleh dimulakan dengan kata hubung 'untuk'.

Peserta tersebut mempertikaikan ayat dalam petikan penulis, iaitu: Untuk pergi ke sana, peserta terpaksa melalui hutan tebal itu.

Oleh sebab meyakini bahawa MD tidak mungkin mengeluarkan pernyataan sedemikian, penulis meminta maklumat tentang individu yang dimaksudkan itu.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, individu tersebut bukanlah MD seperti yang didakwa tetapi guru Bahasa Melayu (BM) di sebuah sekolah.

Walaupun bukan MD, penulis kurang gembira apabila menyedari segelintir guru BM kurang menguasai tatabahasa.

Dalam kebanyakan kursus, hampir pasti ada peserta yang meminta penjelasan tentang sebab tatabahasa dan ejaan sering berubah. Kebanyakan peserta mempercayai bahawa perubahan itu disebabkan perbezaan mazhab.

Walaupun sudah kerap diberikan penjelasan, soalan yang sama masih berterusan. Penulis pernah meminta peserta berkenaan menyatakan aspek bahasa yang dikatakan kerap berubah itu.

Selain itu, penulis meminta pihak berkenaan menyatakan nama mazhab yang dimaksudkan itu berserta dengan perbezaannya.

Barangkali sebagai menyahut cabaran penulis, seorang peserta menyatakan bahawa ada mazhab yang menggunakan perkataan 'mempastikan' dan 'mengkagumkan' dan ada pula mazhab yang menggunakan perkataan 'memastikan' dan 'mengagumkan'.

Peserta yang sama menambah bahawa sesekali kita guna perkataan 'baru', kemudian 'baharu'; selalu sangat berubah.

Setelah menyatakan bahawa kelainan itu bukan disebabkan 'perbezaaan' mazhab tetapi kerana kesilapan pihak-pihak tertentu, penulis memberikan penjelasannya, seperti yang berikut.

Awalan    
Kata dasar    
Kata terbitan    
Bukan ( X )

Me atau me-...-kan    
pakai
pasti    
memakai
memastikan    
mempakai
mempastikan

Me atau me-...-kan    
kail
kagum    
mengail
mengagumkan    
mengkail
mengkagumkan

Ramli baru membeli dua buah rumah baharu, iaitu di Kota Bharu dan di Johor Bahru. Setelah peserta berkenaan berpuas hati dengan penjelasan di atas, penulis meminta peserta agar tidak menerima sesuatu perkara berdasarkan “orang kata” (Lihat Sinar Harian, 16 November 2017).

Banyak juga peserta yang meminta pandangan tentang sebab tokoh-tokoh tertentu, termasuk ahli akademik tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Bagi penulis, jawapan yang paling tepat dan jujur hanyalah satu, iaitu sikap tidak ambil berat pihak yang berkenaan tentang tatabahasa bahasa Melayu.

Kebiasaannya, peserta yang menghadiri kursus bahasa terdiri daripada pegawai sokongan.

Setelah tamat berkursus, ada peserta yang memberitahu penulis bahawa pihak majikan tidak mahu menerima pembetulan yang dikemukakan sama ada dari segi bahasa, format surat-menyurat, dan lain-lain.

Dalam situasi demikian, penulis meminta peserta berkenaan agar menurut sahaja kehendak majikan kerana majikanlah yang bertanggungjawab atas baik buruknya sesebuah organisasi.

Dalam majlis yang lain pula, penulis menyentuh bentuk lewah yang menjadi amalan pengguna bahasa Melayu. Antara contoh yang dikemukakan penulis termasuklah pintu gate, kuih cake, rokok cigaratte, dan acu cuba try test.

Seorang peserta menyatakan bahawa rokok cigarette itu betul kerana frasa tersebut dapat membezakannya dengan rokok daun.

 Oleh sebab pandangan itu bersifat jenaka, entah betul atau tidak, secara spontan penulis menyatakan bahawa orang putih tidak menghisap rokok daun. Semua peserta tergelak kecil.

Secara umumnya, respons kebanyakan peserta kursus memberikan gambaran bahawa tanggapan yang kurang tepat tentang bahasa kebangsaan kita masih ketara dalam kalangan pengguna bahasa.

Kelemahan peserta tentang perkara asas dalam bahasa pula seolah-olah memberikan gambaran bahawa BM dipelajari untuk lulus peperiksaan bukan untuk diamalkan.