“SEMUA murid-murid diminta diam!”

“Kita harap semua murid-murid berdiri tegak ketika…”

“Para-para guru diminta mengambil tempat masing-masing.”

Dialog di atas tidak asing lagi dalam kalangan guru dan murid di sekolah. Dialog yang sering kedengaran semasa perhimpunan pagi di sekolah. Guru Bahasa Melayu terkedu atau terus membisu. Bukannya sekali dua, malah sudah berulang kali. Bagi penulis yang juga guru Bahasa Melayu, berasa begitu terkesan jika dialog berkenaan acap kali berulang. Bagi pengguna bahasa yang cakna, anda sudah tentu dapat mengenal pasti kesalahan dialog tersebut. Bagi pengguna yang tidak begitu peka, lantaklah dengan bahasa. Yang penting, bahasa itu dapat difahami. Aduhai, mana jati diri warga merdeka?

Merdekakah kita jika bahasa jiwa bangsa ini diperlekeh sebegitu rupa walaupun kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan yang ke-59. Jika berlaku kesalahan dalam bahasa Inggeris, sama ada dari segi pertuturan ataupun penulisan, segelintir kita berasa amat malu. Sebaliknya, jika berlaku kesalahan dalam bahasa Melayu sama ada dari segi pertuturan ataupun penulisan, kita buat tidak endah sahaja.

Sebenarnya terdapat kesalahan dalam dialog di atas. Dalam bahasa Melayu, kata bilangan “semua” membawa maksud banyak. Oleh hal yang demikian, kata ganda yang mengikutinya seharusnya kata ganda tunggal, bukannya kata ganda yang menunjukkan jamak atau banyak. Dialog tersebut sepatutnya begini:

“Semua murid diminta diam!”

“Kita harap semua murid berdiri tegak ketika…”

Lebih parah lagi apabila ungkapan para-para guru digunakan dalam ayat. Untuk pengetahuan pembaca, frasa para-para menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud seperti yang berikut:

1. Sejenis rak daripada kayu dan lain-lain untuk menyimpan perkakas dapur, pagu;

2. Rak tempat meletakkan barang-barang di rumah (kereta api dan lain-lain);

3. Sejenis rak daripada kayu (buluh) untuk menjemur tepung (ikan dan lain-lain).

Dalam hal ini penulis teringat akan jawapan yang diberikan oleh anak didik penulis apabila ditanyakan tentang maksud “para-para”. Dengan muka yang selamba dan penuh keyakinan, dia mengatakan bahawa “para-para” membawa maksud lelaki. Penulis terkedu seketika mendengar jawapannya itu. Kemudian, dia menjelaskan bahawa oleh sebab “pari-pari” itu perempuan, maka sudah tentu “para-para” itu lelaki. Gegak-gempita kelas Bahasa Melayu jadinya dengan jawapannya itu.

Pembaca sekalian, amatlah jelas bahawa penggunaan frasa “para-para” dalam ayat tersebut tidak bertepatan dengan ayat yang hendak disampaikan. Tidak mungkin, para-para guru, iaitu “rak guru” diminta mengambil tempat masing-masing. Yang sepatutnya ditulis ialah para guru, bukannya para-para guru kerana “para” itu sudah bermaksud ramai atau banyak. Lantaran “para” itu sudah membawa maksud ramai atau banyak, maka tidaklah juga kita boleh menulisnya sebagai para guru-guru. Perkataan “para” sudah menunjukkan ramai, maka tidak lagi boleh diikuti dengan kata ganda yang menunjukkan jamak atau banyak. Ungkapan yang betul dan tepat ialah para guru.

Jika kita menonton siaran sukan dalam bahasa Melayu seperti bola sepak dan sebagainya, sudah tentu kita biasa mendengar beberapa ungkapan yang disampaikan oleh pengulas sukan yang melanggar hukum tatabahasa. Contohnya:

1. “Barisan para pemain yang akan diturunkan…”

2. “Semua para pemain yang telah…”

3. “Barisan pemain-pemain Malaysia ialah…”

Sepatutnya ungkapan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Barisan pemain ATAU para pemain yang akan diturunkan…

2. Para pemain ATAU semua pemain yang telah…

3. Barisan pemain ATAU pemain-pemain Malaysia ialah…

Begitulah juga dengan kata bilangan yang lain yang sudah jelas membawa maksud ramai atau banyak, maka tidak lagi boleh diikuti dengan kata ganda yang menunjukkan jamak. Contohnya:

1. Sekalian penduduk-penduduk.

2. Barisan pemain-pemain.

3. Setiap murid-murid.

4. Kebanyakan buku-buku.

Walau bagaimanapun, semua kata bilangan yang menunjukkan banyak tidak akan menjadi satu kesalahan jika diikuti dengan kata ganda tunggal. Contohnya, “kebanyakan kanak-kanak”, “semua rama-rama”, “banyak anai-anai”, dan sebagainya.

Melalui contoh dan penjelasan yang diberikan, penulis berharap pengguna bahasa Melayu dapat membetulkan kesilapan yang sering dilakukan agar penggunaan bahasa kebangsaan terus maju dan utuh.