TEMPAH kapak dengan beliung,

 Hendak tetak kayu berduri;

Tuanku di atas kemuncak payung,

Patik di bawah menjunjung duli.

Petikan pantun lama itu menggambarkan rasa. Sepertimana jutaan rakyat Malaysia yang lain, penulis juga teruja menyaksikan Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 baru-baru ini. Istiadat gilang-gemilang  itu telah mendapat liputan yang meluas daripada pihak media dan menarik perhatian semua lapisan masyarakat.   

Peristiwa yang melibatkan golongan diraja tentunya akan melibatkan penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana.  

Contohnya, kata panggilan hormat untuk kalangan diraja jelas terserlah dalam istiadat sedemikian.  Bentuk-bentuk panggilan hormat yang digunakan sememangnya menjadi cerminan kehalusan budi serta sikap menghormati orang dalam masyarakat Melayu.  

Namun begitu, penulis berasa agak cuak kerana ada yang menggunakan beliau atau dia sebagai kata ganti diri untuk merujuk kepada seseorang sultan, bukannya tuanku atau baginda.  Bagi penulis, situasi itu memberikan gambaran bahawa budaya Melayu yang bertunjangkan sikap menghormati pemimpin  seolah-olah tercemar.

Seorang raja atau sultan boleh memilih untuk membahasakan diri dengan kata ganti nama mengikut bahasa istana ataupun ganti nama bagi orang kebanyakan mengikut keselesaan sendiri.  

Contohnya, kata ganti diri beta, kami atau saya boleh digunakan oleh mana-mana sultan atau raja apabila bertitah kepada rakyat baginda. Namun demikian, keadaan amat  berbeza bagi rakyat biasa.

Tidak ada pilihan walau apa-apapun alasannya. Semua orang perlu belajar tentang seni  dan syarat berbahasa.  Sama juga halnya, seorang ibu boleh membahasakan dirinya dengan ganti nama aku tetapi si anak tidak sekali-kali dibenarkan menggunakan kamu untuk berbalas bicara dengan ibunya.

Dalam sejarah pemerintahan Raja Long Yunus di Kelantan pada abad ke-18, pernah diceritakan bahawa baginda merupakan seorang raja yang  soleh dan berjiwa rakyat  sehingga baginda tidak mahu memakai gelaran sultan.

Apabila para pembesar memanggil baginda tuanku ketika mula-mula menjadi sultan, baginda bertitah, “Aku bukan tuan. Aku dengan kamu serupa dengan dua orang penebang kayu, aku menutuh di atas, kamu menanti di bawah.”  

Namun begitu, baginda akhirnya tidak dapat menahan kehendak rakyat yang bersungguh-sungguh mahu melestarikan  budaya kesantunan berbahasa. Pemilihan bahasa yang tepat menjadi mekanisme untuk mengekalkan sikap hormat-menghormati,  seterusnya memastikan keharmonian masyarakat.

Banyak orang yang keliru dan beranggapan bahawa kata tuan bermaksud pemilik ataupun orang yang menjadi tempat menghambakan diri.

Oleh itu, telah wujud perasaan kurang senang dalam jiwa sesetengah orang apabila menggunakan perkataan itu.  Sebenarnya, kata tuan merupakan kata ganti diri  atau panggilan dalam bahasa halus untuk menggantikan engkau, cik, ataupun encik. 

Perkataan ini digunakan untuk lelaki atau wanita yang berpangkat, atau yang layak dihormati, misalnya  tuan guru, tuan hakim dan tuan doktor. Dalam bahasa klasik pula, tuan puteri dan tuan hamba kerap diguna.

Perkataan tuanku pula, dipercayai  terhasil daripada gabungan kata tuan dan tengku. Kata tengku ialah gelaran warisan  yang lazim bagi keturunan diraja.  

Di Kelantan pula, Ku bukan sahaja singkatan bagi kata tengku tetapi juga digunakan sebagai panggilan khas untuk raja. Dengan demikian, terhasillah frasa tuan raja yang setara sifatnya dengan tuan puteri. Mungkin kejanggalan dari segi penyebutan tuan raja menyebabkan tuanku menjadi kata pilihan yang melekat di bibir rakyat hingga kini. 

Ada sesetengah orang mempersoalkan kepentingan mempelajari bahasa dalam.  

Mereka ini beranggapan bahawa bahasa tersebut sudah tidak relevan dalam zaman serba moden ini.  Meskipun demikian, penulis berasa hairan apabila mendapati mereka inilah juga yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh darjah kebesaran berserta gelaran yang merupakan anugerah bersumberkan bahasa istana.  

Yang jelas, kita perlu menerima hakikat bahawa warisan budaya dan bahasa kita adalah khazanah yang amat berharga.  Keunikan itulah yang telah mewarnai dan menambah seri kehidupan kita  di negara yang tercinta ini.

* Penulis ialah Munsyi Dewan SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan