SEMUA orang memiliki nama. Ada nama pendek, ada nama panjang dan ada nama julukan atau gelaran. Nama seseorang seperti yang didaftarkan dalam sijil kelahiran atau kad pengenalannya bersifat rasmi. Namun, nama julukan atau nama gelaran pula bersifat tidak resmi. Nama julukan bersifat sosial dalam masyarakat. Nama julukan juga bercirikan karakter atau mempunyai ciri khas yang melambangkan kemesraan dan mudah diingati.

Seorang kawan baik penulis bernama Rosli bin Endut. Semua orang memanggilnya Lindut, iaitu gabungan namanya dan nama bapanya.  Seorang lagi rakan penulis bernama Helmi bin Jaafar. Semua orang memanggilnya Mi Jak Paq. Mi merujuk namanya, manakala Jak Paq merujuk nama bapanya. Walaupun agak ringkas, sekurang-kurangnya orang tahu namanya secara keseluruhan. Panggilan seperti ini sebenarnya menggembirakan penama tersebut dan meningkatkan kemesraan.

Ada juga nama yang ditambah gelaran pada hujungnya disebabkan beberapa faktor. Ada nama gelaran yang diberikan disebabkan fizikal seseorang. Rakan penulis yang agak gedebab ketika zaman persekolahan bernama Zakaria dipanggil Pak Ya Bulat kerana fizikalnya itu. Nama gelaran itu kekal sampai sekarang walaupun penulis difahamkan bahawa fizikalnya tidak lagi seperti dulu.  

Selain itu, ada juga nama gelaran yang diberikan disebabkan oleh gaya penama itu. Kawan penulis yang bernama Ilias dipanggil Yeh Itik kerana gayanya berjalan seperti itik. Terkedek-kedek walaupun Yeh Itik merupakan pemain bola sepak hebat ketika zaman persekolahan. Seorang lagi kawan penulis bernama Syukri. Oleh sebab kulitnya yang agak gelap dan gayanya yang tersendiri, dia dipanggil Keri Ceti. Kini, dia merupakan seorang guru yang warak. Seorang lagi kawan penulis bernama Helmi. Telinganya yang istimewa itu menyebabkan kami memanggilnya Mi Kelawaq. Kini, dia komersialkan sedikit nama itu sebagai Miekel, iaitu gabungan Mi dan Kelawar.

Nama gelaran juga muncul daripada aktiviti yang dilakukan oleh seseorang. Seorang kawan penulis bernama Amir dipanggil Met Boya.  Penulis tidak pasti maksud perkataan Boya itu sama ada Buaya ataupun Boya yang menjadi tanda kepada bot atau kapal di lautan.  Kawan penulis yang bernama Rohipul pula dipanggil Pon Lembu kerana dia selalu membantu ayahnya menjual daging lembu. Nama ini kekal sampai sekarang apatah lagi dia masih meneruskan perniagaan bapanya itu secara sambilan. 

Hashim pula ialah seorang rakan kami yang sangat suka bermain belon. Dia selalu membawa belon ke asrama dan kami memanggilnya Hashim Belon. Tuan Kolonel Ishak iaitu rakan penulis yang dulunya mandom, tetapi kini menjadi pegawai kanan askar. Ketika zaman persekolahan, bapanya selalu datang ke asrama atau menghantarnya pulang ke asrama menggunakan motosikal Pasola. Kami memanggil Ishak sebagai Aq Pasola sampai sekarang. Apabila guru bertanya tentang hobi, kami akan memberikan pelbagai jawapan seperti bermain bola, badminton dan sebagainya, tetapi Zaharudin sahaja yang akan menjawab bahawa dia berminat bermain polo. Sehingga sekarang kami memanggilnya Din Polo.  

Nama gelaran juga berpunca daripada asal-usul penama itu. Kawan penulis yang bernama Zamri dipanggil Tolang kerana dia berasal dari sebuah kampung yang bernama Kampung Tualang yang terletak di daerah Pokok Sena. Seorang lagi kawan penulis bernama Zakaria bin Wahab. Dia berasal dari Kampung Teroi dalam daerah Yan. Kami memanggilnya Pak Ya Teroi sampai sekarang.  

Dua orang kawan penulis mempunyai nama gelaran yang agak pelik. Kawan penulis itu bernama Nasir, tetapi kami memanggilnya Kak Chah. Kini, Kak Chah ialah kontraktor makanan yang berjaya di Sungai Petani dan Kuala Lumpur. Seorang lagi kawan penulis bernama Roman. Nama dia yang sebenarnya ialah Rahman, tetapi silap ditulis ketika pendaftaran. Sungguhpun begitu Roman kami panggil Romen.   Dia tidak pernah marah dengan nama itu.

Begitulah kisah berkaitan nama. Semua orang ada pengalaman seperti yang penulis ceritakan ini. Dalam kehidupan ini, kita memerlukan kemesraan. Salah satu cara kita berbahasa adalah dengan memberikan gelaran yang menyenangkan kepada rakan, dan gelaran itu juga tentulah yang boleh diterima oleh mereka. Orang yang memanggil kita dengan nama julukan atau nama gelaran sebenarnya amat rapat dengan kita.

Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka