PROGRAM Ziarah Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama intim Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL) dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) cukup menarik perhatian penulis selaku Munsyi Dewan (Bahasa) yang turut diberikan amanah untuk sama-sama merealisasikan program tersebut.

Pada hemat penulis, program ini mampu mendekatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat peniaga di premis perniagaan di seluruh negara agar lebih peka dan prihatin tentang penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan persis, terutamanya pada papan tanda di premis perniagaan mereka.

Hasil tinjauan melalui aktiviti turun padang penulis bersama-sama perancang bahasa DBP, pegawai, dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), rata-rata pemilik premis perniagaan dan peniaga bersikap peka dan prihatin akan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan gramatis pada papan tanda di premis perniagaan mereka.

Kecuali sebilangan kecil peniaga yang masih perlu dibimbing dan diberikan khidmat nasihat mesra agar kesilapan atau kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda di premis perniagaan mereka dapat diperbetul dan ditangani sebaik mungkin, terutamanya kesalahan dari aspek ejaan dan Hukum D – M (unsur yang diterangkan diikuti oleh unsur yang menerangkan).

Pertama-tama, kesalahan dari segi penggunaan ejaan pada nama makanan yang diiklankan di premis perniagaan, iaitu “mi”.

Menurut Kamus Dewan, kosa kata “mi” bermaksud sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa, tetapi biasanya berwarna kuning (diperbuat daripada tepung gandum, dan lain-lain). Antara kesalahan ejaan yang ditemukan oleh penulis dan Ahli Jawatankuasa Ziarah Bahasa termasuklah:

1a. mee goreng (x)

1b. mi goreng (√)

2a. mee kicap (x)

2b. mi kicap (√)

3a. mee hailam (x)

3b. mi hailam (√)

4a. mee rebus (x)

4b. mi rebus (√)

5a. mee bandung (x)

5b. mi bandung (√)

Selain kosa kata “mi”, kosa kata “bihun” turut menarik perhatian penulis dan panel Ziarah Bahasa DBP. Menurut Kamus Dewan, kosa kata “bihun” bererti sejenis mi halus yang dibuat daripada tepung beras. Antara kesalahan yang ditemukan termasuklah:

6a. mihun sup (x)

6b. bihun sup (√)

7a. meehoon kicap (x)

7b. bihun kicap (√)

8a. mihun goreng tomyam (x)

8b. bihun goreng tomyam (√)

9a. mee hoon kari (x)

9b. bihun kari (√)

Makanan yang bergelar “kuetiau” pula sering dieja salah dan tidak digunakan dengan tepatnya oleh para peniaga tempatan. Menurut Kamus Dewan, kosa kata “kuetiau” bersinonim dengan sejenis makanan yang dibuat daripada tepung beras (dimasak atau digoreng seperti mi). Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah:

10a. koay teow goreng (x)

10b. kuetiau goreng (√)

11a. kueh teow sup (x)

11b. kuetiau sup (√)

12a. kuey teow kungfu (x)

12b. kuetiau kungfu (√)

13a. koay teow kerang (x)

13b. kuetiau kerang (√)

14a. koeyteow udang (x)

14b. kuetiau udang (√)

Sebagai pengguna bahasa kebangsaan yang peka dan prihatin, peniaga dan pengusaha premis perniagaan haruslah mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan persis, terutamanya dari aspek tatabahasa dan morfologi pada papan tanda kedai dan gegantung iklan selain kad menu makanan dan minuman seperti frasa contoh yang berikut:

Gerai Mi Udang Aminah / Kedai Bihun Sup Utara / Restoran Kuetiau Kerang Chong.

Syabas dan tahniah, penulis ucapkan kepada PBT, iaitu MDHS, MDHL dan MDTM dan DBP atas daya usaha murni menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

“Mamak, mi goreng sepinggan!” pesan penulis.

“Minuman?”

“Cendol biasa semangkuk, mamak!”

“Baik, tuan!”

Sepinggan mi goreng dan semangkuk cendol biasa cukup menyelerakan untuk penulis mengisi perut yang lapar dan menghilangkan dahaga pada lewat tengah hari itu. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka