KEPETAHAN Fatimah Omar Mukhlis bercerita tentang kehidupannya menjadi tular di media sosial. Apatah lagi dengan raut polos wajah comelnya, Fatimah dengan selamba bertutur dalam dialek Kelantan. Jika Fatimah berada di bumi Malaysia sudah tentu perkara itu tiada istimewanya.  

Anak kepada pasangan Omar Mukhlis Azizan dan Nor Ashila Mahamed menjadi tarikan kerana fasih bertutur dalam dialek leluhur bapanya walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Birmingham, England.

Pada usia tiga tahun, anak kecil ini fasih berbahasa Melayu. Ibu Fatimah memberitahu media walaupun sudah menetap di England sejak 2004, mereka mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu, bahasa Thai dan bahasa Inggeris di rumah kerana tidak mahu anak-anak mereka lupa akan bahasa dan adat.

Dunia maya juga dimeriahkan dengan gelagat seorang jejaka kacak yang berasal dari Bristol, England. Jejaka ini pertama kali datang ke Malaysia untuk bercuti di Pulau Kapas pada tahun 2009. Oleh sebab terpikat dengan budaya dan bahasa Melayu dialek Terengganu, Daniel Tyler mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia. Daniel akhirnya memeluk agama Islam dengan nama Kareef Danial Abdullah dan menjadi popular dengan nama ‘Mat Dan’.

Cerita Fatimah ‘Mek Kelate’ dari Birmingham dan cerita Mat Dan Kaki Jalan menarik perhatian masyarakat kerana kebolehan mereka bertutur dalam bahasa Melayu. Fatimah dibesarkan dalam masyarakat Inggeris dan bahasa utama di daerahnya ialah bahasa Inggeris tetapi Fatimah diajar dan didedahkan kepada bahasa Melayu dialek Kelantan. Begitu juga kisah Mat Dan. Pemuda ini jatuh cinta akan bahasa Melayu dan budaya Melayu semasa berkelana di Malaysia.

Perkara yang menarik mengenai kedua-dua individu ini ialah mereka mampu menguasai bahasa Melayu walaupun tidak berada dalam kalangan penutur bahasa Melayu dari awal.

Fatimah, walaupun mewarisi darah Melayu daripada ibu bapanya tetapi dibesarkan dalam kalangan penutur jati bahasa Inggeris. Mat Dan pula baharu sahaja mengenali bahasa Melayu tetapi mampu menguasai bahasa ini dan mampu bertutur dialek Terengganu dengan fasih.

Semua ini berpunca daripada perasaan cinta akan bahasa Melayu. Omar Mukhlis dan dan Nor Ashila Mahamed menggunakan tiga bahasa semasa bersama-sama anak-anak di rumah kerana tidak mahu anak-anak mereka lupa akan asal usul mereka. Omar yang berasal dari Kelantan tidak mahu anak-anaknya hilang jati diri seorang Melayu.

Prinsip Omar ini menepati slogan Bahasa Jiwa Bangsa. Seseorang yang mengenali bahasanya akan mencintai bangsanya. Alangkah indahnya dunia Melayu jika semua ibu bapa berpendapat seperti bapa Fatimah ini, membajai jati diri melalui bahasa.

Jika seorang ‘Mat Dan’ sanggup meninggalkan negaranya kerana jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan budaya Melayu, kenapa kita yang menghirup nafas di Malaysia sejak lahir menolak kecintaan kita kepada bahasa kebangsaan ini?  

Pengakuan Mat Dan yang mengatakan bahawa tujuan asal dia ke Malaysia adalah untuk bercuti di Pulau Kapas, tetapi setelah berada di situ dia terpikat dengan budaya dan bahasa penduduk tempatan lalu mengambil keputusan untuk berhijrah. Tindakan Mat Dan ini merupakan satu tamparan kepada kita rakyat tempatan yang semakin meminggirkan bahasa ibunda.

Sesetengah daripada kita sanggup meremehkan hal-hal berkaitan bahasa kerana tidak percaya dengan keupayaan bahasa menyusur zaman. Pandangan umum yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tiada nilai komersial juga perlu diubah.

Kata-kata Munsyi Abdullah “Aku dengar bangsa-bangsa yang besar di dunia ini mereka memiliki kepandaian membaca dan menulis dan memelihara bahasanya. Umpamanya seperti Arab, Inggeris, Cina dan Hindu. Mereka sentiasa memelihara dan memuliakan bahasanya. Bahasa itu ditambah dan diluaskan sehingga kini. Sesuatu bangsa yang besar, besarlah bahasanya.”

Kebenaran dan kebijaksanaan kata-kata Munsyi Abdullah itu memang tidak dapat dinafikan lagi. Kepekaan ibu bapa Fatimah terhadap kepentingan bahasa untuk menerapkan jati diri anak-anak mereka dan kesungguhan Mat Dan untuk menguasai bahasa Melayu seharusnya membuka mata masyarakat di Malaysia.

Mesej tidak sengaja yang disampaikan oleh Fatimah dan Mat Dan sangat elok jika diteliti, dikaji dan diamalkan demi kelestarian bahasa Melayu.

Maju Bahasa Majulah Bangsa, Dirgahayu Bahasaku.

* Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka