“DALAM meniti arus modenisasi yang kian rencam kini, para pendidik sentiasa tekal erat mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi nadi utama pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.” Demikianlah ungkapan mantik oleh Ahmad Sukri Ab. Rahman (2017) yang merupakan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas.

Pandangan bernas beliau itu tidak dapat kita pertikai dan nafikan kerana dalam mendepani anjakan pendidikan mutakhir, semua guru (#Lagu: Kami Guru Malaysia) dituntut untuk mengajar dan mendidik murid-murid pascamerdeka dengan menggunakan pelbagai kaedah, strategi, teknik dan pendekatan yang dipelajari masing-masing tatkala menimba ilmu pendidikan baik di Institut Pendidikan Guru (IPG) mahupun universiti tempatan atau luar negara.

Murid-murid Generasi Alpha atau Gen-A yang dilahirkan pada tahun 2010 hingga tahun 2014 merupakan anak kepada Generasi Y dan Z. Gen-A merupakan generasi yang amat mementingkan kemewahan, lebih berkemampuan serta sungguh meminati dunia teknologi, peranti atau alatan yang serba canggih kini. Perkembangan pesat era sains dan teknologi begitu mudah mendominasi minda mereka sehinggakan ada yang terleka dek keseronokan roh maya itu.

Kementerian Pendidikan sentiasa menyedari bahawa murid-murid Generasi Alpha perlu dibimbing secara berterusan dan disantuni dengan nilai-nilai murni tinggalan leluhur oleh para pendidik. Hal ini penting agar mereka dapat menyeimbangkan minat dan tuntutan pembelajaran terkini yang bertunjangkan Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21) sekali gus pemupukan ilmu, kemahiran, dan nilai murni yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi dapat dizahirkan dalam diri mereka secara tuntas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu telah memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah yang bertujuan memupuk nilai-nilai murni modal insan pewaris kepimpinan negara sejak kecil.

Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia memerlukan generasi pelapis yang berpengetahuan, berwawasan, berdedikasi serta berfikiran aras tinggi agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di negara maju seperti Finland dan Jepun.

Sehubungan itu, baru-baru ini, sepasukan Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan Jurulatih Utama Bahasa Melayu peringkat negeri Kelantan telah bergabung tenaga dan fikiran kreatif untuk menghasilkan Modul Barniat Horjin.

Modul ini merupakan pengajaran nilai murni yang begitu efektif dan amat baik sekali diguna pakai oleh guru-guru untuk menyantuni murid-murid sewaktu proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sedang berlangsung waima di dalam atau di luar kelas.

Apakah yang dimaksudkan dengan Barniat Horjin? Merupakan akronim nilai murni yang diilhamkan oleh guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu, iaitu:-

 

BAR >> SABAR

NI >> BERANI

AT >> TAAT

HOR >> HORMAT

JIN >> RAJIN

    

Walaupun hanya lima nilai murni yang tersurat dalam Modul Barniat Horjin, ini tidak bermakna nilai-nilai murni lain seperti amanah, prihatin, hemah tinggi, kasih sayang, yakin diri, tolong-menolong, berdikari, keadilan, kesyukuran, dan merendah diri dikesampingkan tanpa panduan khusus.

Kesemua nilai murni seyogianya diajarkan kepada murid-murid Generasi Alpha dengan santunnya agar mereka tahu akan ketinggian nilai budi cerminan bangsa kerana hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Akhirulkalam, murid-murid Gen-A perlu diberi keyakinan bahawa merekalah yang akan melunaskan tanggungjawab untuk mempertahankan maruah negara kerana sesungguhnya masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.

 * Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka