KETIKA bersarapan dengan sepinggan mi wantan dan secawan teh tarik kurang manis di Kedai Makan Ayah Din, Tanjong Malim, penulis didatangi oleh seorang bekas murid ketika penulis bertugas di SMK Methodist, Tanjong Malim beberapa tahun yang lalu.

“Apa khabar, cikgu?”

“Baik. Terima kasih. Masih menuntut atau sudah bekerja, Hisham?” Kami bersalam-salaman sebelum mengambil tempat duduk masing-masing.

“Saya sudah menamatkan pengajian di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, cikgu!” jawab Hisham ringkas.

“Bagus. Bekerja di mana, sekarang?” soal saya lagi melanjutkan wacana lisan pada pagi itu.

“Kuala Lumpur, cikgu!”

“Wah, ibu kota negara kita, Malaysia!” usik saya.

“Susah sungguh hendak menye-wa sebuah bilik bujang atau rumah di ibu kota, cikgu!” luah Hisham sungguh-sungguh.

“Kuala Lumpur, Hisham. Kena rajin berusaha dan mencari, teruta-manya rumah atau bilik sewaan di pinggir kota raya,” nasihat saya sebagai mantan penghuni ibu kota selama empat tahun di pangsapuri Pantai Dalam pada awal tahun 1990-an.

Kami, 10 orang pelajar Ranca-ngan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaysia menyewa di pangsapuri tersebut secara berkongsi dengan kos sewaan bulanan hampir mencapai RM1000.00.

“Benar, cikgu!”

Rumah? Rumah di Kuala Lum-pur! Bagaimana pula, rumah dan sektor perumahan di sekitar Tanjong Malim, Daerah Muallim dengan adanya institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Instun, Politeknik SAS Behrang dan Proton?

Menurut Kamus Dewan, kosa kata “rumah” bermaksud binaan untuk tempat tinggal, bangunan, gedung, pasukan, atau kumpulan dalam olahraga. Daripada kosa kata tersebut maka terbitlah frasa atau simpulan bahasa seperti rumah merah, rumah angka, rumah adat, rumah api, rumah bandar, rumah batu, rumah berhala, rumah besar, rumah dapur, rumah gadai, rumah gedang, rumah hantu, rumah haram, rumah kaca, rumah ibadat, rumah ibu, rumah induk, rumah ladang, rumah miskin, rumah pangsa, rumah panjang, rumah pasang siap, rumah pasung, rumah pelacuran, rumah penginapan, rumah rehat, rumah sakit, rumah setinggan, rumah sewa, rumah siput, rumah tanaman, rumah tengah, rumah tumpangan, rumah turutan, rumah ubat, rumah urut, rumah terbuka, rumah tangga dan lain-lain.

Hasil pembacaan dan rujukan, penulis mendapati bahawa kosa kata “rumah” juga ditemukan dalam peribahasa, khususnya pepatah Melayu dan masih digunakan oleh masyarakat pada hari ini, sama ada dalam wacana lisan atau wacana penulisan seperti yang berikut:

Peribahasa Melayu

1. Rumah buruk disapu cat

2. Rumah gedang bersendi perak

3. Rumah gedang perabung upih

4. Rumah mana yang tidak bersampah

5. Rumah siap, tukang dibunuh

6. Rumah sudah pahat berbunyi

7. Rumah terbakar tikus habis keluar

8. Rumah tinggal, sarang hantu; orang bujang, sarang fitnah

9. Dalam rumah membuat rumah

10. Diseluduki bawah rumah orang berluluk kepala

11. Memperlihatkan rumah buruk kepada orang maling

12. Tiada berorang di rumah

Daripada kosa kata “rumah”, terciptalah kata terbitan seperti serumah, menyerumahkan, beru-mah, berumah tangga, berumahkan, memperumahkan, perumahan, perumah dan kata ganda rumah-rumah dan rumah-rumahan. Kosa kata “tangga” pula biasanya diaso-siasikan dengan rumah untuk membentuk kata majmuk dalam bahasa Melayu, iaitu rumah tangga. Menurut Kamus Dewan, kosa kata “tangga” bermaksud tempat tum-puan kaki yang bertingkat-tingkat untuk naik turun rumah dan lain-lain, alat untuk tumpuan (sigai) memanjat, bahagian daripada sesuatu yang bertingkat-tingkat, peringkat, skala,  dan tingkatan.

Seterusnya, daripada kosa kata 'tangga’  maka terhasil pula frasa tangga bongsu, tangga gaji, tangga nada, tangga pilin, tangga sulur, tangga senigai (sigai), dan tangga sulung selain kata terbitan  setangga, bertangga dan bertanggakan serta peribahasa Melayu, yakni tolak tangga berayun kaki, peluk tubuh mengajar diri.

RUMAH + TANGGA = RUMAH TANGGA

Kata majmuk, rumah tangga pula bermaksud perihal rumah dan kehidupan dalam rumah, dan rumah dengan keluarga yang mendiaminya. Sesungguhnya, sebagai peringatan kepada diri penulis, rumah harus dijaga, tangga harus dipulihara dan benih rumah tangga yang setia, penyayang dan sejahtera harus disemai dan dibaja senantiasa oleh setiap insan demi kelangsungan keluarga bahagia di buana kehidupan selagi hayat dikandung badan.