SELEPAS menyambut hari raya pertengahan Jun lalu (walaupun Syawal masih berbaki lebih kurang sembilan hari lagi), umat Islam telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Yang tinggal ialah beberapa kosa kata yang hanya akan diulang sebut pada musim raya tahun hadapan.

Sebelum hari raya, semua orang sibuk membuat persiapan raya. Ibu bapa dan anak-anak memikirkan baju raya yang akan digayakan pada hari tersebut.  

Seminggu sebelum hari raya, kuih raya pula menjadi sebutan. Ada yang membuat kuih raya sendiri dan ada juga yang membeli sahaja kuih raya. Apa-apa yang penting ialah kuih raya mesti dihidangkan pada hari raya.

Pada malam raya, anak cucu riuh-rendah menceriakan suasana. Lagu-lagu raya pula berkumandang melalui radio dan televisyen.  Pada hari raya pula, masing-masing mengucapkan selamat hari raya antara satu sama lain. Kanak-kanak pula sungguh ceria apabila menerima duit raya.

Kosa kata baju raya, kuih raya, malam raya, lagu raya, hari raya, dan duit raya merupakan kosa kata yang hanya disebut pada musim raya sahaja.  

Pada waktu biasa, ada orang membeli dan memakai baju baharu tetapi tidak dinamakan baju raya. Kuih atau biskut yang sama macam kuih raya tidak pula disebut kuih raya pada waktu lain.

Malam raya tentulah tidak wujud pada malam-malam biasa. Pihak penyiaran pula tidak akan menyiarkan lagu raya ketika luar musim raya. Jika dipasang juga, kemungkinan pihak penyiar akan ditempelak sebagai tidak peka.  

Pada hari-hari biasa, banyak orang yang bersedekah tetapi sedekah itu tidak pula dinamakan duit raya.

Kosa kata lain yang hanya popular pada musim raya ialah maaf zahir dan batin. Pada waktu lain juga kita memohon maaf tetapi tidak pula disebut zahir dan batin. Jika disebut juga, orang lain akan berasa pelik.

Ada soalan penting sebelum atau selepas hari raya ketika seseorang bertemu dengan kenalan lain, iaitu “raya di mana?”. Penulis sendiri menerima soalan seperti ini berpuluh-puluh kali sehingga letih untuk menjawab.

Sejak belakangan ini muncul beberapa kosa kata baharu sempena musim raya, antaranya termasuklah “kosong-kosong”.  Ketika penulis kecil dahulu, kosa kata ini tidak wujud pada hari raya tetapi wujud ketika bermain bola sepak.

Kosa kata kosong-kosong pada musim raya bermaksud kedua-dua pihak melupakan semua sengketa dan membuka lembaran baharu dalam persahabatan. Kosong-kosong dalam permainan bola sepak bermaksud perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri.

Ada juga kosa kata yang semakin hilang pada musim raya. Ketika penulis kecil dahulu, pada 10 hari terakhir sebelum hari raya kami akan memasang pelita raya di sekeliling rumah. Masyarakat pada masa itu menyebut malam-malam terakhir itu sebagai malam tujuh likur.  

Kosa kata pelita raya semakin tidak disebut pada musim raya kini kerana pelita raya telah diganti dengan lampu raya tetapi kosa kata itu tidak sepopular pelita raya. Kosa kata malam tujuh likur juga tidak lagi popular pada musim raya kini kerana masyarakat telah memahami bahawa malam tujuh likur sebenarnya tidak wujud.

Ada juga kosa kata yang menunjukkan amalan masyarakat pada musim raya, iaitu sedondon. Kosa kata sedondon merujuk pasangan atau keluarga yang memakai baju berwarna sama. Jarang-jarang kita melihat pasangan atau keluarga berpakaian sedondon kecuali pada hari raya.

Bahasa Melayu memang hebat. Ada kosa kata bahasa Melayu yang boleh digunakan sepanjang masa. Ada kosa kota yang hanya digunakan setahun sekali.  

Sama ada kosa kata itu sentiasa atau jarang-jarang digunakan, yang penting ialah penggunaan kosa kata tersebut mestilah betul dan tepat.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka