KELIHATAN sebuah kereta Persona dari Kilang Proton Tanjong Malim itu sedang menelusuri Jalan Slim Lama, Proton City menuju ke pekan Tanjong Malim, Daerah Muallim.

Persona! Yang menakjubkan ialah kereta buatan Malaysia ini, kelihatan gah dan aerodinamik bentuknya ketika membelah dingin pagi di atas jalan raya yang berlandskapkan Banjaran Titiwangsa.

Sebagai pengguna dan pen-cinta bahasa kebangsaan, saya sememangnya terpesona bukan sahaja pada reka bentuk kereta tetapi juga pada jenama kereta nasional tersebut, iaitu Persona.

Dalam bahasa Melayu, apakah perbezaan di antara kosa kata persona dengan pesona? Yang jelas, kedua-dua perkataan tersebut wujud dalam daftar kata bahasa Melayu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2016), persona bermaksud watak rekaan di dalam cereka, drama, novel selain merujuk watak atau sifat seseorang seperti yang ditampilkan kepada orang lain atau seperti yang ditanggapi oleh orang lain.

Ayat Contoh:

1. Persona dalam drama tempatan itu bukan sahaja hebat tetapi juga cukup terserlah dan menghidupkan urutan cerita.

2. Pensyarah daripada universiti tempatan itu memperlihatkan persona mulia dalam misi perjuangan untuk menuntut hak dan keadilan bagi kaum wanita di negara-negara yang sedang membangun.

3. Kereta Persona itu kereta Encik Yee Jee Kwong.

Jika diteliti dan dihalusi, daripada kosa kata persona pula terbentuk frasa atau istilah pinjaman Latin, iaitu persona gratia (orang yang boleh diterima atau dialu-alukan kehadirannya di sesebuah negara, diplomat asing) dan persona non gratia (orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan jenayah yang tidak dapat dimaafkan semasa dia berada di negara tersebut).

Ayat Contoh:

4. Ahli perniagaan yang terkemuka itu telah diberi taraf persona gratia oleh kerajaan Australia baru-baru ini.

5. Pengedar dadah yang telah disahkan sebagai persona non gratia itu dilarang berurus niaga di negara tersebut buat selama-lamanya.

Kosa kata pesona pula ber-maksud guna-guna, mantera, sihir selain pesonaan, iaitu fitnah, dan kata-kata jahat untuk menyusahkan (mencelakakan) orang.

Ayat Contoh:

6. Gadis yang culas itu senantiasa menggunakan pesona untuk memikat hati jutawan muda di kota itu.

7. Ilmu pesona mampu menje-rumuskan diri seseorang ke lembah kehinaan. Daripada kosa kata pesona, maka terbitlah sejumlah perkataan dan frasa bahasa Melayu seperti yang berikut, iaitu pesonaan (kata-kata jahat untuk menyusahkan orang, fitnah), mempesona (memikat hati, sangat menarik perhatian), mempesonakan (mengenakan pesona, memikat, menggoda, mengagumkan), terpesona (kena pesona, terpukau oleh jampi-jampi, sangat tergoda, sangat terpikat atau tertarik hati), dan keterpesonaan (keadaan terpesona), ilmu pesona, kena pesona dan tukang pesona.

Ayat Contoh:

8. Penduduk di taman itu dibelenggu oleh gejala pesonaan yang kian leluasa akhir-akhir ini.

9. Persembahan kanak-kanak di atas pentas itu telah mempersona para pengadil pertandingan.

10. Peragawati yang anggun itu cuba mempersonakan ahli korporat di konglomerat itu.

11. Saya terpesona akan sesi bual bicara yang telah dikendalikan oleh pemudah cara undangan yang tersohor itu.

12. Keterpesonaan dan minat murid-murid terhadap sesi pembelajaran dan pemudahcaraan guru inovatif di dalam bilik darjah itu cukup luar biasa.

Sebagai kesimpulannya, makna persis dan penggunaan kosa kata persona dan pesona amat berbeza sekali sama ada dalam komunikasi lisan atau wacana penulisan yang berbahasa Melayu.

Yang penting, para pengguna dan pencinta bahasa kebangsaan sedar dan dapat menggunakan kedua-dua perkataan tersebut dengan tepatnya dalam kehidupan sehari-hari tanpa sebarang kerancuan dan kekeliruan. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HUKUMAN terhadap orang yang melakukan kesilapan bahasa mungkin dalam pelbagai keadaan. Hukuman yang paling ringan ialah biarkan sahaja dengan harapan apabila dia sedar, pada masa akan datang dia tidak melakukannya lagi. Kemungkinan juga hukuman kedua ialah memaafkan sahaja kesilapan itu kerana mengikut Kamus Dewan, ‘silap ialah kesalahan yang tidak disengajakan’. Kemungkinan hukuman yang ketiga boleh juga dilakukan dengan cara memberi nasihat kepada pelakunya. Manakala hukuman yang agak kasar adalah dengan memberikan amaran supaya pada masa akan datang dia tidak melakukannya lagi.
  • KETIKA kanak-kanak, penulis dan rakan-rakan mengharungi pelbagai musim permainan di Kampung Kemelong, Sik. Kami bermain bola di padang sekangkang kera berdekatan madrasah.
  • BARU- BARU ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memperkenalkan 140 perkataan baharu atau istilah dalam pelbagai bidang.
  • SINTAKSIS ialah istilah yang merujuk satu bidang dalam ilmu bahasa yang mengkaji ayat. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah, Jilid 3, ayat ialah unit pengucapan yang mengandungi makna lengkap. Dalam tulisan, ayat didahului oleh huruf besar dan diakhiri dengan noktah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.