TARIKH pilihan raya telah diumumkan. Semua rakyat yang layak mengundi sangat teruja untuk mengundi calon pilihan masing-masing. Bakal calon pula terkesima untuk melihat sokongan daripada pengundi. Berasaskan musim pilihan raya yang berlangsung lima tahun sekali ini, penulis ingin berkongsi huraian tentang kosa kata yang popular pada musim pilihan raya.

Organisasi paling penting sekarang ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Perkataan ‘Suruhanjaya’ sepatutnya ditulis ‘Suruhan Jaya’, iaitu memisahkan perkataan Suruhan daripada perkataan Jaya. Kosa kata ini sebenarnya tergolong dalam kata majmuk.

Kata majmuk ialah dua perkataan berderetan yang masing-masing mempunyai makna tersendiri, tetapi akhirnya membawa satu makna. Antara contoh kata majmuk yang dimaksudkan termasuklah guru besar, dan papan tulis.

Jika dianalisis perkataan guru besar, guru mempunyai makna tertentu dan besar juga mempunyai makna tersendiri. Gabungan dua perkataan berderetan ini menghasilkan makna baharu, iaitu jawatan di sekolah rendah.

  Kata majmuk mesti ditulis secara terpisah, tetapi kosa kata suruhanjaya tidak pula ditulis secara terpisah. Aktual, kosa kata suruhanjaya merupakan salah satu daripada 16 kata majmuk yang dieja secara rapat.

Perkataan ini ditulis sedemikian kerana cara penulisan itu dikatakan telah mantap. Pengguna bahasa dapat melihat penggunaan ‘kuasa kekecualian’ dalam aspek ini.

Penulis pernah membuat teka-teki kepada rakan-rakan di pejabat ketika menyampaikan ceramah bahasa suatu ketika dahulu. Soalannya amat mudah, tetapi mempunyai nilai lelucon dan kemahiran berfikir aras tinggi.

“Ada dua perkataan yang ditulis secara berpisah dan membawa satu makna baharu, tetapi bukan kata majmuk, apakah perkataan itu?” Semua audiens diam. Jawapannya amat mudah, iaitu GUNA SEGAR. Guna Segar a/l Mariappan merupakan nama seorang pegawai di pejabat penulis. Audiens riuh-rendah setelah mendengar jawapan daripada penulis.

Perkataan lain yang popular pada musim pilihan raya ialah ‘calon’. Semua parti politik cuba mengetengahkan calon terbaik mereka. Jika pengguna bahasa belajar tentang pola keselarasan vokal, kita dapat melihat bahawa cara ejaan perkataan ‘calon’ bercanggah dengan pola tersebut. Berdasarkan pola keselarasan vokal, vokal a perlu diikuti sama ada oleh vokal a, i atau u sahaja.

Bagi ejaan perkataan ‘calon’, jelas bahawa vokal a pada perkataan itu tidak diikuti oleh vokal a, i atau u tetapi diikuti oleh vokal o iaitu calon. Jadi, keselarasan vokal a – o tidak wujud dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu.

Alasan yang diberi oleh pengkaji bahasa ialah perkataan ‘calon’ merupakan perkataan pinjaman daripada bahasa Indonesia, jadi perkataan ini tidak tertakluk kepada pola keselarasan vokal bahasa Melayu. Sekali lagi, ‘kuasa kekecualian’ menguasai tatabahasa bahasa Melayu.

Guna Segar a/l Mariappan yang menjadi bahan gurauan penulis sebenarnya telah dilantik sebagai ketua tempat mengundi. Beliau sungguh bersemangat untuk bertugas pada hari pengundian.

Penulis juga pernah menjadi ketua tempat mengundi sebanyak dua kali sebelum ini, tetapi kini telah bersara. Frasa tempat mengundi menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pengkaji dan pengguna bahasa. Tempat mengundi atau tempat undi?

Persoalan sedemikian sering ditanya ketika penulis menyampaikan ceramah. Penulis lebih cenderung untuk mengatakan bahawa tempat undi lebih tepat. Mari kita teliti ayat-ayat ringkas ini:

1. Hamzah mengundi di Kuala Ketil.

Maksudnya: Hamzah memilih calon pilihannya di Kuala Ketil.

2. Tempat mengundi di Pokok Sena.

Maksudnya: Tempat memilih calon pilihannya di Pokok Sena.

Berdasarkan ayat contoh kedua, apakah mungkin ‘tempat’ juga boleh mengundi seperti Hamzah? Sewajarnya tempat mengundi ditukarkan kepada tempat undi. Jadi, Guna Segar a/l Mariappan sebenarnya ketua tempat undi bukannya ketua tempat mengundi.

Semoga ‘kuasa kekecualian’ tidak lagi digunakan dalam perkara ini. Penulis mengucapkan selamat mengundi kepada semua pemilih berdaftar.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka