KEBIJAKSANAAN individu berkomunikasi amat penting untuk menentukan keberkesanannya. Selain mesejnya jelas, tutur kata yang tersusun dan sopan melambangkan pekerti penuturnya. Meskipun begitu, nilai tersebut mudah dikesampingkan oleh sesetengah orang. Bagi mereka, bentuk komunikasi murahan juga yang menjadi pilihan.

Berdasarkan Kamus Dewan, 'murahan' antara lainnya bermaksud tidak bermutu atau rendah nilainya. Dalam konteks ini, komunikasi murahan dapat ditakrifkan sebagai komunikasi yang mencerminkan kerendahan akhlak atau moral pengamalnya dan tidak harus menjadi ikutan.

Dalam kelompok tertentu, penggunaan kata-kata yang kasar dan kadangkala berbaur lucah dianggap kebiasaan. Meskipun kurang manis untuk diketengahkan, bagi maksud pendidikan, beberapa ayat yang lazim kedengaran mohon keizinan untuk diperkatakan. Sila teliti perkataan yang dimaksudkan dalam dialog yang berikut.

“Hey, main babi apa, sepak betis orang!” kata X kepada Y (X tersepak kaki Y ketika bermain bola sepak).

“Maaf!” kata Y.

“Maaf kkorok mu!” balas X.

Ada pihak yang mengatakan bahawa kata-kata sedemikian menjadi lumrah dalam situasi sedemikian. Dengan cara itu, kemarahan X terhadap Y akan berkurang.

Di gerai minuman pula, dialog seumpama ini tidak asing lagi.

“Natang (binatang), habis basah baju aku kena air mu,” kata X  kepada rakannya, Y (air dalam gelas Y tumpah terkena X).

“Bukan aku sengaja, beruk!” balas Y pula.

Walaupun X menggunakan istilah 'natang' sebagai kata ganti nama diri Y, manakala Y pula merujuk X sebagai 'beruk', mereka berdua rakan karib; jauh sekali daripada bersengketa. Mereka sekadar ketawa.

Komunikasi sedemikian juga kedengaran di sekolah. Seorang murid meminta rakan membantunya menjawab soalan Matematik.

“Hey, bodo-bodo (bodoh), macam mana nak jawab soalan Matematik ni?”

“Soalan mana, bengong?” balas rakannya pula.

Penulis yang secara kebetulan mendengar dialog tersebut, cuba meminta penjelasan.

“Mengapa awak suruh orang bodoh yang ajar awak?”

“Tak ada, cikgu. Saja-saja...,” salah seorang bersuara.

Berdasarkan situasi dan reaksi individu yang terlibat, penulis memahami bahawa tujuan mereka sekadar untuk suka-suka, sekali gus memperlihatkan hubungan yang erat dan wujudnya kemesraan antara mereka. Individu yang berkenaan tidak mungkin berbuat demikian kepada orang yang tidak dikenali. Dalam kalangan mereka, 'natang' dan 'beruk' yang digunakan itu, barangkali tidaklah dirujuk secara khusus kepada haiwan, manakala 'bodo' (bodoh) pula tidaklah dirujuk kepada kata adjektif (tidak cerdik) tetapi lebih kepada kata ganti nama diri ciptaan sendiri.

Sesetengah anggota masyarakat tidak menggemari kata-kata sedemikian tetapi mereka cenderung memanggil rakan dengan pelbagai gelaran. Kelompok ini berasa puas apabila rakan yang menjadi mangsa itu ditertawakan orang.

Meskipun apa-apa jua alasan dan tujuannya, komunikasi sedemikian merupakan suatu kesilapan yang tidak wajar dipandang ringan. Penulis yakin bahawa tidak ramai ibu bapa yang mengizinkan anak-anak bergaul dengan kelompok remaja yang hilang nilai kesopanan itu. Pihak lain pula pasti mengaitkan kepincangan tersebut dengan kegagalan ibu bapa memainkan peranan sebagai pemimpin dalam keluarga sendiri. Tidak keterlaluan juga jika ada pihak yang melabelkan masyarakat yang mengamalkannya sebagai masyarakat yang tidak mementingkan nilai kemanusiaan dalam kehidupan.

Pelbagai panduan tentang komunikasi tersurat dan tersirat dalam al-Quran dan hadis. Sila hayati petikan yang berikut.

“... Jika seseorang mencela orang lain dengan perkataan keldai, anjing atau babi, pada hari akhirat kelak ALLAH akan bertanya kepadanya, “Apakah engkau melihat Aku menciptakan (dia) sebagai anjing atau keldai atau babi?’” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf).

Kesimpulannya, meskipun kelompok tertentu tetap mengamalkannya, masyarakat keseluruhan tidak menggemarinya dan agama pula membencinya. Menyedari hakikat ini, usahlah komunikasi murahan dijadikan kebiasaan, apatah lagi untuk dibudayakan.  Berbahasalah dengan sopan. Bahasa Jiwa Bangsa.