BARU-baru ini penulis bersama-sama rakan sepejabat, iaitu Mohamad Luqman Hidayat dan Tajudin Shaari dalam perjalanan ke Hutan Melintang Perak atas urusan kerja. Kami mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke destinasi. Sepanjang ingatan penulis, sudah agak lama kami tidak berkongsi kenderaan untuk perjalanan rasmi. Keadaan ekonomi semasa menyebabkan amalan kongsi kenderaan tiba-tiba sahaja menjadi relevan.  

Sejam pertama perjalanan, kami bertiga diam sahaja. Penulis yang berada di tempat duduk belakang memerhatikan Luqman 'bersembang' melalui aplikasi WhatsApp.

Sekali-sekala, dia senyum sendirian dan sekali-sekala dia ketawa kecil. Tajudin memberikan fokus pada pemanduan tanpa bersuara. Penulis juga sibuk 'bersembang' dengan pelbagai grup WhatsApp. Tiada bahasa yang kedengaran kerana komunikasi digital mendiamkan kami.  

Kami berhenti di Bandar Seri Iskandar, Perak untuk makan tengah hari. Berlaku perbincangan antara kami tentang kedai makanan yang akan menjadi pilihan. Itulah perbincangan mesra pertama sepanjang perjalanan kami.  Mata kami tetap melihat ke arah telefon pintar masing-masing walaupun mulut sedang berbahasa.  Seboleh-bolehnya, kami mahu menamatkan perbincangan berkaitan kedai makanan pilihan dengan segera kerana terlalu banyak perkara yang perlu dijawab melalui aplikasi WhatsApp. Akhirnya, Tajudin sebagai ketua pasukan memilih Kedai Ayam Penyet sebagai pilihan.  

Pekerja kedai datang setelah kami duduk di kerusi sambil menghulurkan menu. Kami tidak berminat untuk melihat menu tersebut dan segera menyebut: “ayam penyet tiga” supaya pekerja itu segera beredar. Kami tetap 'bersembang' melalui aplikasi WhatsApp masing-masing tanpa suara. Komunikasi digital ini betul-betul mendiamkan kami.

Penulis dan anak-anak saudara juga sangat mesra apabila berbahasa melalui aplikasi WhatsApp, tetapi agak canggung apabila bertemu. Anak saudara penulis yang paling senior bernama Dr Balkis. Beliau ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Terengganu. Kami agak rabung bersembang melalui WhatsApp kumpulan keluarga, tetapi tidaklah terlalu rabung ketika bertemu muka. Seorang lagi anak saudara penulis bernama Mohd Ghazali. Beliau ialah Pengetua Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Melaka. Penulis dan Mohd Ghazali membesar bersama-sama. Kami amat mesra sejak kecil sehinggalah adanya komunikasi digital ini.  Kini, kami lebih mesra apabila bersembang melalui aplikasi WhatsApp. Ketika beliau pulang ke Kampung Kemelong Sik sekalipun, kami lebih mesra bertanya khabar melalui aplikasi WhatsApp daripada duduk semeja untuk berbual-bual. Komunikasi digital berjaya mendiamkan kami.     

Penulis bertuah kerana mempunyai ketua jabatan yang amat baik. Nama ketua jabatan penulis ialah Haji Ahmad Rusli Haji Din. Tutur katanya amat mesra dan penuh motivasi. Penulis suka menjadi pendengar jika beliau mula mengeluarkan butir bicara. Senang cerita, penulis hilang kepetahan apabila berhadapan dengannya. Penulis mengambil langkah alternatif dengan menggunakan aplikasi WhatsApp apabila perlu menyatakan sesuatu kepadanya. Penulis berasa lebih menghormati beliau melalui cara ini kerana penulis akan menulis, “Salam hormat kepada Tuan Ketua Nazir Negeri Kedah. Semoga tuan dan keluarga sentiasa dirahmati ALLAH. Untuk makluman tuan, saya telah meng-e-melkan catatan minit mesyuarat JNJK kepada tuan beberapa minit yang lalu. Semoga ALLAH memudahkan urusan kita. Terima kasih.”

Pada era digital ini, bahasa lisan menjadi kurang penting. Orang yang dahulunya diam, kini aktif  'bersembang' melalui aplikasi WhatsApp, manakala orang yang dahulunya sangat suka bercakap bagai murai dicabut ekor kini menjadi diam.

Kini, Kementerian Pendidikan sedang berusaha supaya pelajar lebih berketerampilan dalam berbahasa melalui kemahiran lisan.  Penulis khuatir, usaha ini akan menghadapi jalan buntu kerana komunikasi digital yang tidak terkawal akan mendiamkan semua orang pada masa akan datang. Oh! bahasa ku...