SELEPAS perayaan Cap Goh Mei atau capgome, Tahun Baharu Cina, penulis menemani isteri membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala di Hospital Daerah Kuala Kubu Bharu (KKB), Daerah Hulu Selangor, yakni kurang lebih 22 kilometer perjalanan sehala dari Tanjong Malim, Daerah Muallim, Perak Darul Ridzuan. Dari segi sejarahnya, Jabatan Pesakit Luar, hospital berkenaan telah dirasmikan oleh Dr Naranjan Singh, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Darul Ehsan pada 30 Jun 1994.

Maka, bergeraklah kami dengan kereta MPV Inokom Matrix 1.6GLM ke Kuala Kubu Bharu via pekan kecil Kalumpang dan Kerling. Sempat kami bersarapan di Kedai Kopi Yat Looy, iaitu sepinggan nasi lemak berlaukkan daging ayam kari, telur goreng dan sambal ikan bilis istimewa bertemankan secawan teh tarik kurang manis masing-masing sebelum bertolak ke Hospital Daerah KKB.

“Hospital Daerah KKB!”

Seperti biasanya, kami dapat menikmati segarnya angin pagi dan pemandangan unik seni bina deretan bangunan peninggalan penjajah yang berlandskapkan Banjaran Titiwangsa sepanjang perjalanan ke hospital tersebut.

“Waktu janji temu?” tanya penulis spontan.

“9.30 pagi!”

Selepas menurunkan suri rumah di pintu utama hospital, penulis mencari parkiran kereta. Penuh. Maka, terpaksalah penulis meletakkan kereta di bahu jalan yang berada di luar pagar kawasan sekitar hospital sebelum berjalan kaki ke Bahagian Pesakit Luar melepasi kaunter pendaftaran pesakit, bilik menunggu pesakit luar, bahagian pemeriksaan darah dan makmal. Ruang menunggu di bahagian luar Klinik Pakar dan farmasi sesak dengan pesakit daripada pelbagai kaum, umur dan latar belakang kehidupan.

“Alahai, banyaknya pesakit pada zaman sains dan teknologi ini!” bisik hati kecil penulis sambil bermuhasabah diri.

Klinik? Kosa kata pinjaman Inggeris dalam bahasa Melayu tersebut tiba-tiba terlintas di peta minda penulis. Menurut Kamus Dewan, perkataan klinik bermaksud tempat untuk memberikan diagnosis dan merawat pesakit luar selain tempat tersebut turut dianggotai oleh pakar perubatan atau pakar pembedahan yang mengkhusus akan satu atau lebih bidang.

Di sinilah, penulis dapat menemukan sejumlah kosa kata dan frasa “klinik” yang telah disenaraikan di papan jadual klinik pakar hospital yang berkenaan, iaitu:

Bil.    Jenis Klinik Pakar

1.    Klinik Pakar Psikiatri

2.    Klinik Pakar Oftalmologi (Mata)

3.    Klinik Pakar Sakit Puan

(Onkologi & Ginekologi)

4.    Klinik Pakar Pediatrik (Kanak-kanak)

5.    Klinik Pakar Perubatan

6.    Klinik Pakar Dermatologi (Kulit)

7.    Klinik Pakar Ortopedik

8.    Klinik Pakar ENT (Mata, Hidung, Telinga)

9.    Klinik Pakar Pembedahan

10.    Klinik Tibi

Kehadiran klinik-klinik yang berkenaan cukup jelas menggambarkan bahawa hospital daerah tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan kepada masyarakat setempat, khususnya masyarakat marhaen di Daerah Hulu Selangor, yakni merangkumi penduduk di kawasan kediaman Mukim Hulu Bernam, Kalumpang, Kerling, Kuala Kubu Bharu, Rasa dan Batang Kali.

Yang pentingnya, pada hemat penulis, mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan hospital menurut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, amat dihargai dan profesional. Syabas dan tahniah, Hospital Daerah Kuala Kubu Bharu!

Sehubungan dengan hal tersebut, hasil tinjauan penulis melalui beberapa program Ziarah Bahasa anjuran DBP dengan kerjasama intim Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yakni Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada suatu ketika dahulu jelas menunjukkan bahawa masih wujud beberapa kesalahan bahasa pada papan-papan tanda klinik persendirian di daerah tersebut khasnya dan di negara kita amnya, terutamanya kesalahan dari segi penggunaan ejaan dan Hukum D – M seperti yang berikut:

    1a.     Kelinik Pergigian Nathan (Salah)

    1b.    Klinik Pergigian Nathan (Betul)

    2a.    Polikelinik Sumi (Salah)

    2b.    Poliklinik Sumi (Betul)

    3a.    Taj Kelinik & Surgeri (Salah)

    3b.    Klinik & Surgeri Taj (Betul)

Sebaik usai merujuk dan mendapat khidmat nasihat daripada pakar kesihatan, kami pun singgah sebentar di pekan Kuala Kubu Bharu untuk makan tengah hari, membeli sesikat pisang rastali dan kek mentega istimewa Kuala Kubu Bharu sebelum berangkat pulang ke Tanjong Malim.

“Bukit Fraser, Kuala Kubu Bharu?” usik kecil suri rumah penulis.

“Barangkali pada kesempatan lain, kita akan berdarmawisata ke Bukit Fraser, Kuala Kubu Bharu, bukit peranginan yang kaya dengan habitat alam flora dan fauna!” jelas penulis sungguh-sungguh sebelum memandu ke arah Jalan Persekutuan untuk bergerak pulang ke Tanjong Malim, Daerah Muallim.

Catatan ringkas pengalaman di hospital KKB pada pagi tersebut amat menginsafkan penulis tentang rempah-ratus kehidupan insan di buana hidup yang fana ini. Sesungguhnya kesihatan merupakan asas kemakmuran dan kebahagiaan hidup!

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka