AWANG Lanui yang mahu penulis ceritakan kali ini bukanlah sebaris dengan Awang dalam cerita Melayu yang pernah kita baca. Awang Lanui ini juga tiada kena-mengena dengan Awang Sulung Merah Muda dalam buku Sejarah Melayu atau Awang Batil, penglipur lara di Perlis. Awang Lanui ini ialah seorang Profesor Madya di Universiti Prince of Songkla Cawangan Pattani, Thailand.  

Penulis menemui beliau secara tidak sengaja dalam majlis kenduri di rumah anak saudara penulis, iaitu Salim dan Balkis di Kampung Gong Pak Jin, Kuala Terengganu baru-baru ini. Profesor Madya Awang Lanui dilahirkan di Wilayah Saturn, Thailand 58 tahun lalu. Beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Sosial dan Ekonomi Pembangunan universiti tersebut. Beliau berketurunan Melayu kerana ibu bapanya dan nenek-moyangnya berketurunan Melayu, tetapi beliau tidak fasih berbahasa Melayu.  

Penulis menyangka beliau berketurunan Siam kerana beliau bercakap Melayunya sepatah-sepatah dan berloghat Siam. Apabila beliau memberitahu penulis bahawa namanya ialah Awang Lanui, penulis terkejut kerana selama ini tidak pernah menjangka bahawa ada orang Melayu yang tidak dapat berbahasa Melayu. Penulis bertanya kepada beliau sama ada bangga berketurunan Melayu ataupun beliau bangga jika dikatakan berbangsa Thai seperti yang tercatat dalam batpachachun (kad pengenalan Thailand). Awang Lanui menjawab bahawa beliau kini bangga dikatakan Melayu, tetapi beliau malu untuk mengakui beliau Melayu ketika muda.  

Sejak dahulu hingga kini, remaja di Thailand akan menukarkan nama mereka kepada nama Thailand kerana mereka amat malu jika mempunyai nama Melayu. Mereka juga seboleh-bolehnya tidak akan bercakap dalam bahasa Melayu di hadapan khalayak kerana mereka lebih bangga jika bercakap dalam bahasa Thai. Awang Lanui tidak menukarkan nama beliau kepada nama Thai bukan kerana bersemangat Melayu, tetapi disebabkan tidak berkesempatan berbuat demikian.

Awang Lanui meluahkan kesedihan beliau akan nasib bahasa Melayu di negara Thai. Sekolah-sekolah di selatan Thai tidak lagi menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu untuk dipelajari. Kebanyakan sekolah pondok dan sekolah agama juga menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu kini semakin lenyap di bumi selatan Thai yang 60 peratus daripada 2.5 juta penduduk di situ terdiri daripada orang Melayu.  

Orang Melayu di selatan Thai sendiri yang membuang bahasa mereka. Selepas itu mereka menukar nama Melayu kepada nama Thai. Mereka tidak lagi menggunakan bahasa Melayu dalam perbualan harian sama ada dalam majlis rasmi ataupun sesama ahli keluarga yang semuanya Melayu. Kebanyakan masjid menggunakan bahasa Thai dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu. Kerajaan Thai pula memberikan layanan kelas kedua kepada Muslim yang mempunyai nama Melayu dalam batpachachun mereka.

Awang Lanui mulai bimbang jika penghapusan etnik secara senyap sedang berlaku di selatan Thai. Jika masa dapat diundur, Awang Lanui mahu menjadi kanak-kanak semula untuk menjalani kehidupan cara Melayu, bercakap Melayu, dan mengakui yang beliau berketurunan Melayu, tetapi nasi telah menjadi bubur. Dengan mata berkaca, Awang Lanui mengakui bahawa sebenarnya bangsa Melayu sudah tiada rohdi selatan Thai.

Awang Lanui sempat berpesan kepada penulis supaya menjaga bahasa Melayu baik-baik kerana bahasa Melayu merupakan jiwa bangsa Melayu. Penulis teringat akan kata-kata sahabat baik penulis, iaitu Mohd Sarngi Khalil, Ketua Kluster Penaziran Bahasa Melayu. Beliau berkata, “Untuk membunuh sesuatu bangsa, bunuhlah bahasanya.”  

Penulis yang sebelum ini tidak memahami kata-kata beliau itu, kini amat memahaminya berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Awang Lanui. Kisah Profesor Madya Awang Lanui wajar kita jadikan iktibar demi kelangsungan bahasa Melayu dan bangsa Melayu di Malaysia.