SETIAP minggu dalam beberapa bulan terakhir ini, penulis sering menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada rakan-rakan tentang harga minyak terkini.

Kebanyakan penghantar mesej tersebut menyatakan isu minyak naik. Isu kenaikan harga minyak menjadi bualan masyarakat di semua peringkat. Kawan baik penulis yang bernama Abdul Amin Othman (Pengetua SMK Kedawang, Langkawi) menutup perbincangan tersebut dengan bahasa pusing-pusing, “Biar minyak naik, jangan naik minyak”.

Ketika berusia 13 tahun, penulis bersekolah sesi petang di SMK Sik (kini, Sekolah Kluster Kecemerlangan, semoga sekolah ini terus berjaya). Ketika itu, penulis tinggal di Kampung Kemelong Sik.

Di sebelah rumah penulis, terdapat dua buah bangsal peliharaan ayam. Penulis membantu Puan Azizah Md Zain (semoga Kak Zah sihat) mengutip telur ayam. Sambil mengutip telur, Kak Zah bercerita bahawa ayam yang dipelihara itu namanya ayam telur dan telur yang kami kutip itu namanya telur ayam.

Di dalam bangsal yang satu lagi terdapat ayam daging. Ayam daging dipelihara bukan untuk diambil telur, tetapi untuk dijual daging ayam. Kak Zah bercerita dalam bahasa pusing-pusing iaitu ayam telur-telur ayam, ayam daging-daging ayam.

Sahabat lama penulis di Kam-pung Kemelong bernama Ramli Ismail. Penulis dan rakan-rakan memanggilnya Meli Che Husing kerana beliau dipelihara oleh datuknya yang bernama Haji Husin (semoga rohnya dirahmati).  

Rumah Haji Husin agak besar dan mempunyai ibu rumah. Penulis sering berbual-bual dengan Meli di bahagian ibu rumah. Ibu Meli sebenarnya tidak tinggal bersama-sama dengan Meli di situ. Ibunya tinggal di Kampung Joget Sik (kini, dinamakan Kampung Selamat A). Kadang-kadang kami berbicara tentang rumah ibu Meli di bahagian ibu rumah. Wujud juga bahasa pusing-pusing, iaitu ibu rumah dan rumah ibu dalam kisah ini.

Ada seorang lagi sahabat sejati penulis bernama Mohd Sarngi Khalil (tahniah kerana beliau baru dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Nazir Negeri Kedah). Pada bulan lepas, penulis menghadiri majlis perkahwinan anak sulung beliau di Taman Casia Bandar Putera 2, Klang Selangor.

Ketika penulis tiba, beliau memperkenalkan ahli keluarganya kepada penulis bermula daripada anak sulung hingga kepada anak bongsu. Akhir sekali, beliau memperkenalkan orang rumahnya kepada penulis. Kami terus berbual.  Beliau banyak bercerita tentang rumah agam yang dibelinya itu.

Katanya, ini rumah sendiri, tetapi rumah yang didudukinya di Alor Setar ialah rumah orang. Dalam cerita ini penulis dapat mengesan bahasa pusing-pusing yang digunakan oleh Mohd Sarngi, iaitu orang rumah yang merujuk isterinya dan rumah orang yang merujuk rumah sewanya.

Terdapat banyak bunga kertas di rumah penulis. Inilah bunga yang menjadi kegemaran penulis sejak dahulu kerana keunikan warnanya. Bunga kertas juga senang dijaga dan tidak terlalu manja seperti orkid. Jika penulis ke mana-mana dan terjumpa pokok bunga kertas, penulis pasti akan mengambil gambar bunga itu.

Minat penulis terhadap bunga kertas tidak berakhir di situ sahaja, malah minat ini terbawa-bawa sehingga ke tempat lain. Jika penulis ingin membeli kertas untuk membalut hadiah, tentu penulis akan memilih kertas bunga. Perkara ini terjadi secara tidak sengaja. Penulis menyukai bunga kertas dan penulis juga meminati kertas bunga.  

Rupa-rupanya penulis juga mempunyai bahasa pusing-pusing, iaitu bunga kertas dan kertas bunga.

Bahasa pusing-pusing yang penulis sentuh dalam penulisan ini merupakan keunikan yang terdapat dalam bahasa Melayu. Berdasarkan catatan penulis, terdapat ribuan bahasa pusing-pusing dalam bahasa Melayu. Kebanyakan bahasa pusing-pusing terdiri daripada simpulan bahasa dan rangkai kata.

Usaha perlu dilakukan oleh pihak berautoriti supaya bahasa pusing-pusing ini dapat dibukukan. Kepada rakan-rakan penulis yang berminat untuk melanjutkan pelajaran, elok juga jika mereka dapat menjadikan bahasa pusing-pusing sebagai tajuk kajian.