PADA minggu lepas, penulis berkesempatan minum kopi di kedai kopi berhampiran dengan rumah. Ketika penulis sampai di situ, kelihatan orang kampung penulis sedang bersarapan. Penulis mengenali semua orang yang berada di situ. Penulis tentulah menyapa dan disapa mereka seorang demi seorang persis YB Dr Mansor Abdul Rahman, bapa saudara penulis dan YB Tajudin Abdullah, rakan baik penulis (Ahli Parlimen Sik dan Adun Belantik).

Penulis memesan secawan kopi dan sebiji roti canai. Penebar roti canai menyambut pesanan penulis dengan berkata, “Siap!” Semua pesanan daripada orang lain juga akan disambut dengan kata yang sama. Tidak beberapa lama kemudian, penebar roti canai berjalan ke arah penulis dan bertanya, “Encik pesan apa tadi?” Penulis pun bergurau sambil berkata, “Siap!” Semua pelanggan ketawa berderai. Rupa-rupanya 'siap' merupakan perkataan yang sentiasa didengari oleh pelanggan di kedai kopi itu yang bermaksud pesanan didengari.

Ketika penulis menikmati roti canai, penulis terdengar pesanan daripada pelanggan, “Roti kahwin, satu!” Penulis memerhati ke arah penebar roti canai. Penulis melihat dia mengambil sekeping roti telur dan sekeping roti canai. Kedua-dua keping roti yang berbeza itu diletakkan di dalam pinggan yang sama. Barulah penulis sedar bahawa gabungan roti canai dengan roti telur dinamakan roti kahwin.

Selepas itu terdengar pula pelanggan lain memesan; “Banjir satu!” Perasaan ingin tahu penulis semakin membuak-buak. Kelihatan pelayan kedai kopi mengambil sekeping roti canai dan dituangkan kuah yang melimpah ke atas roti tersebut. Barulah penulis memahami bahawa 'banjir' merujuk sekeping roti canai berserta kuah yang banyak di dalam pinggan yang sama. Biasanya roti canai dan kuah berada di dalam pinggan  berasingan. Ketika penulis kecil dahulu, 'banjir' disebut “Roti satu, kuah taruh atas”. Istilah sudah berbeza rupa-rupanya.

Penulis terus berada di situ untuk menikmati bahasa di kedai kopi. Tiba-tiba terdengar suara pesanan dari jauh, “Teh nipis, satu!” Pesanan ini sangat menarik perhatian penulis.

Mata penulis melirik ke arah pembancuh minuman di sebelah kanan.  Dia membancuh teh seperti biasa dan membaca secawan teh kepada orang itu. Tiba-tiba pelanggan itu berkata, “Tebal sangat”. Pembancuh teh memohon maaf dan mengambil semula teh tersebut. Penulis terus memerhatikan tindakan pembancuh teh itu. Dia membuang sedikit air teh daripada cawan dan menambah air panas ke dalam cawan itu.  Barulah penulis faham bahawa 'teh nipis' bermaksud teh yang dibancuh secara cair.  

Seorang lagi pelanggan memesan “Kopi keras, satu!” Penulis terfikir sama ada wujud kopi yang keras seperti ais krim Malaysia. Rupa-rupanya 'kopi keras' bermaksud kopi yang dibancuh pekat. Penulis terasa bangga kerana dapat mempelajari pelbagai istilah daripada orang-orang kampung yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh, petani, dan juga pekebun.  Tiada seorang pun daripada mereka bergelar munsyi seperti penulis.

“Milo kosong satu, ikat tepi!” Tiba-tiba terdengar suara daripada seorang lelaki yang memesan minuman. Penulis terfikir tentang istilah 'milo kosong'. Apakah yang kosong sebenarnya? Milo kosong atau atau cawan yang kosong.  Penulis mendapat jawapan setelah bertanya kepada pembancuh air.  Katanya, 'milo kosong' bermaksud milo yang tidak dimasukkan gula dan diikat di sebelah tepi supaya mudah diminum.  

Aktual, terdapat banyak istilah yang hanya difahami oleh masyarakat di sesuatu lokaliti yang kecil. Jika orang kampung penulis terdiri daripada ilmuwan, sarjana, dan sasterawan hebat tentulah istilah tersebut akan diterima pakai atau dibukukan. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mengambil tindakan proaktif untuk menjelajah ke segenap kampung bagi mencari istilah seperti itu. Dengan cara ini, kita tidak perlu mengambil terlalu banyak istilah daripada bahasa lain. Bahasa kita kaya sebenarnya, tetapi kita belum dapat menikmati kekayaan itu.