SUATU pagi, penulis menaiki komuter untuk ke pejabat. Seperti biasa, penulis membawa kerusi lipat bagi memastikan penulis tidak perlu berdiri sepanjang perjalanan dari Gurun ke Anak Bukit yang memakan masa 25 minit itu. Ketika penulis membuka kerusi lipat untuk duduk, seorang wanita yang lebih berusia daripada penulis sedang berdiri sambil melihat kelakuan penulis. Penulis mempelawanya duduk di kerusi lipat tetapi kata wanita itu, “Terima kasih, saya selesa berdiri.”  

Penulis pun duduk sambil bersandar pada tiang tengah komuter. Apabila komuter berhenti di stesen Kobah, beberapa orang penumpang turun. Ada beberapa tempat duduk yang kosong.

Penulis melihat wanita tadi terus duduk di kerusi yang kosong sedangkan tadi dia mengatakan bahawa dia selesa berdiri.

Penulis terfikir bahawa jawapannya tadi tidak jujur. Penulis juga sebenarnya tidak jujur ketika mempelawa wanita itu duduk. Wanita itu juga tidak jujur ketika menolak pelawaan penulis. Ketidakjujuran berbahasa berlaku antara kami.

Dua hari yang berikutnya, penulis dan beberapa orang rakan sepejabat menziarahi Ketua Nazir Cawangan Kulim yang sakit di Hospital Pantai, Sungai Petani.

Ketika melangkah masuk ke Wad 202, penulis terlihat Juraini Ismail berada di katil beliau dalam keadaan agak lemah.

Penulis menyapa, “Kata sakit? Tapi, nampak sihat dan ceria sahaja?” Juraini tersenyum sambil kami bersalaman. Penulis sebenarnya mahu menggembirakan Juraini yang kurang sihat. Berlaku juga ketidakjujuran berbahasa dalam pertemuan kami.  

Ketika kita berkomunikasi menggunakan bahasa, peristiwa ketidakjujuran berbahasa akan berlaku bagi tujuan tertentu.

Peristiwa yang berlaku di dalam komuter antara penulis dengan wanita itu merupakan ketidakjujuran berbahasa yang bertujuan menyenangkan pihak lain.

Peristiwa ketidakjujuran berbahasa yang berlaku di Hospital Pantai pula bertujuan mengambil hati orang yang sedang sakit. Kita sebenarnya diajar ketidakjujuran berbahasa sejak kecil.

Penulis pernah bersama-sama ayah (semoga ALLAH merahmati roh beliau) menziarahi Tuan Guru Haji Salleh Warak di Sik ketika penulis berusia tujuh tahun. Sambil berbual-bual, Tuan Guru mempelawa kami makan di rumah beliau.  

Ayah menjawab, “Tidak me-ngapa, kami sudah makan.” Penulis yang sudah memahami perbualan orang dewasa ketika itu agak terpinga-pinga sebab kami sebenarnya belum makan apa-apa.  

Setelah dewasa, barulah penulis faham bahawa jawapan ayah penulis itu adalah semata-mata kerana tidak mahu menyusahkan tuan rumah.

Ayah penulis tidak berbohong kerana beliau mungkin merujuk situasi kami yang telah makan sehari sebelum itu. Walau bagaimanapun, ketidakjujuran berbahasa berlaku dalam situasi tadi.

Kawan penulis yang bernama Lahudin pernah meraung kesakitan kerana jatuh di atas tongkol kayu ketika bersama-sama penulis dan rakan sekampung yang lain mandi sungai di Kemelong, Sik. Ketika itu kami masih di bangku sekolah rendah.

Bapa Lahudin yang penulis panggil Pak Wa Nik (semoga ALLAH merahmati roh beliau) menjerit ke arah kami, “Terjun lagi! Terjun lagi!!!”

Penulis yang masih berhingus ketika itu tertanya-tanya kerana bapa Lahudin mahu Lahudin terjun sungai lagi sedangkan Lahudin sedang kesakitan.  

Setelah dewasa, barulah penulis faham bahawa arahan Pak Wa Nik itu hanyalah sindiran. Penulis percaya bahawa berlaku ketidakjujuran berbahasa antara dua beranak itu.

Ketidakjujuran berbahasa berlaku di mana-mana dalam komunikasi. Mulut kita menyebut tentang sesuatu, tetapi hati kita menyatakan maksud yang lain.  

Kita selalu berkata bahawa 'Bahasa Jiwa Bangsa', tetapi kita selalu dan selesa menggunakan bahasa Inggeris. Kita tidak jujur sebenarnya.

Kita mengatakan bahawa kita akan mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu dalam apa-apa keadaan sekalipun, tetapi kitalah yang meminda syarat supaya bahasa Melayu tidak lagi diperlukan untuk menjadi doktor perubatan di bumi Melayu ini.  

Kita sangat tidak jujur ketika berbahasa. Ketidakjujuran  berbahasa yang kita amalkan mungkin sedang memakan diri kita.