SAYA cukup terkejut apabila seorang kawan menunjukkan satu video daripada YouTube memaparkan kegiatan seni masyarakat Barat yang berkonsepkan Open Opera.

Dalam pertunjukan tersebut, satu pentas bertingkat diduduki oleh beberapa kumpulan watak yang terdiri daripada pemuzik berpakaian tradisional, penyanyi dan kumpulan penari lelaki dan wanita. Terdapat juga puluhan patung manusia, baik lelaki mahupun perempuan, tanpa seurat benang pun.

Pada mulanya saya menyangka patung-patung itu replika semata-mata,  tetapi saya amat terkejut kerana patung-patung tersebut sebenarnya adalah manusia yang hidup. Bayangkanlah betapa dahsyatnya kebebasan yang dijelmakan dalam kegiatan seni mereka. Manusia bertelanjang bulat di atas pentas dengan pelbagai gaya dan aksi di hadapan ribuan penonton. 

Tentunya kisah tersebut bukanlah yang pertama, malah banyak lagi jenis pertunjukan dan program realiti yang menonjolkan konsep kebebasan hidup demi menjulang seni dan keterbukaan pemikiran, serta kelainan hidup yang melangkaui jangkauan kebiasaan manusia sejagat.

Fenomena tersebut tentunya lahir daripada konsep inginkan kebebasan, keterbukaan dan kelainan. Mereka menganggap itulah kehebatan, itulah estetika baharu dan pemikiran moden. Mengetepikan nilai-nilai moral dan kebiasaan sejagat menjadi suatu kemegahan. Melonggarkan ikatan adat dan ketertiban hidup dikira satu kejayaan yang membanggakan.

Daripada kisah tersebut, saya suka mengaitkannya dengan budaya dan gaya hidup masyarakat di negara kita. Elemen keterbukaan dan kebebasan pemikiran tersebut kini terjelma jelas dalam amalan berbahasa dan berkomunikasi masyarakat Malaysia, khususnya amalan berbahasa dalam media sosial.

Generasi muda kini cenderung untuk keluar daripada amalan ketertiban berbahasa dengan mengambil sikap berani mengatakan apa sahaja tanpa mengira tempat dan komuniti setempat, contohnya menggunakan kata-kata kesat dan jelik kepada sesiapa sahaja tidak kira raja berdaulat, pemimpin negara mahupun tokoh-tokoh agama dan pimpinan masyarakat.

Kata-kata seperti 'mangkuk ayun', 'bodoh sial', 'bangang' dan banyak lagi digunakan tanpa segan silu seperti bergurau senda dengan sahabat karib mereka.

Sikap terbuka dan lantang menyuarakan isi hati dan perasaan tanpa menghiraukan maruah dan kehormatan begitu bermaharajalela. Amalan mengherdik, memaki hamun, menghina dan melalak melolong sering muncul dalam media sosial.

Mereka tidak malu, tidak segan menggunakan ragam bahasa yang keterlaluan seperti menyindir, memburuk-burukkan orang lain, mengaibkan, melemparkan fitnah dan rumus-rumus yang mengelirukan tanpa rasa berdosa.

Malah ada segelintir manusia yang berbangga apabila dapat menjaja kekurangan dan kelemahan orang lain.

Semua ini merupakan jelmaan kebatilan dan keterbukaan pemikiran moden tanpa menghiraukan batas-batas moral dan agama. Jelas sekali keadaan ini amat berlawanan dengan resam berbahasa masyarakat kita yang mendukung norma "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”.

Dengan kecanggihan teknologi media sekarang, masyarakat menjadi semakin kurang ajar. Kesopanan dan kesantunan berbahasa menjadi longgar dan semakin menipis. Wajarkah kita membiarkan kegilaan dan kebebasan ini berterusan?

Penutup bicara, elok kita renungkan beberapa persoalan berikut;  orang yang beranikah kita apabila mampu mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar kepada orang lain? Orang berpemikiran terbukakah kita apabila berjaya menjaja aib dan keburukan orang lain?

Orang bertamadunkah kita apabila bebas mengatakan apa sahaja tanpa mengira batas moral dan agama? Sedarlah, kita masyarakat yang beradab dan berbahasa. Kesopanan dan kesantunan menjadi teras budaya kehidupan kita. Bahasa melambangkan jiwa bangsa, lambang jati diri dan pekerti kita.