APABILA menilai seseorang, aspek kesantunan pasti menjadi antara kriteria penting dalam kalangan orang-orang terdahulu. Individu yang bersopan santun akan menjadi sebutan agar dijadikan teladan. Anak gadis yang memiliki nilai sedemikian akan menjadi pilihan ibu bapa untuk pasangan teruna mereka. Oleh sebab tingginya nilai kesantunan, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu, ibu bapa mendidik anak-anak agar bersopan dalam tindakan, terutama dalam komunikasi lisan.

Meskipun tidak berpendidikan tinggi, soal pemilihan kata sangat dititikberatkan, terutama apabila anak-anak berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa. Oleh sebab itulah panggilan abang dan kakak ringkasnya 'bang' dan 'kak' digunakan oleh seseorang apabila berbual dengan orang yang usianya menyamai abang dan kakak mereka. Kata ganti nama pak cik dan mak cik pula merupakan kata sapaan untuk seseorang yang hampir seusia dengan ibu atau bapa penyapa.

Bahasa kiasan juga dijadikan kebiasaan dalam perbualan. Sebagai contoh, ungkapan ke sungai kecil, jenazah, pulang ke rahmatullah, penyakit orang baik, dan lain-lain menjadi pilihan. Frasa atau kata pergi ke jamban, mayat, mati, barah, dan lain-lain kurang digunakan kerana dianggap kurang sopan.

Sesetengah orang tua pula cenderung menggunakan ragam bahasa terbalik apabila menegur anak-anak. Misalnya, anak-anak yang pulang ketika azan Maghrib berkumandang tidak dileteri tetapi ditegur dengan menggunakan bahasa terbalik. “Mengapa dah pulang, kan awal lagi ni!” Bagi sesetengah orang, penggunaan bahasa yang sedemikian ternyata lebih berkesan untuk pendidikan di rumah.

Masyarakat dahulu jarang meninggalkan frasa minta maaf sebelum memberikan pandangan ataupun sesudah menyatakan sesuatu. Kadangkala frasa tersebut jugalah dijadikan ungkapan terakhir sebelum meninggalkan majlis atau sebelum perpisahan dua insan. Di sinilah terjalinnya kemesraan, apatah lagi apabila ditambah dengan sambutan salam yang dihulur tanda kasih sayang.

Kesopanan tidak hanya terhad kepada pemilihan kata tetapi juga kepada pelbagai perlakuan yang lain. Oleh sebab kerusi meja bukanlah perabot utama masyarakat zaman dahulu, anak-anak diajar cara duduk ketika makan, termasuk juga cara makan. Demikian juga cara berjalan di hadapan tetamu atau di hadapan orang yang lebih dewasa.

Tinggi rendah nada keti-ka berbicara turut diambil kira. Demikianlah antara beberapa perkara yang sinonim dengan generasi terdahulu. Amalan sedemikian adalah untuk mempererat hubungan, sekali gus mengekalkan tradisi kesantunan.

Meskipun kepentingan warisan bangsa ini tidak dinafikan oleh masyarakat moden, amalannya kuranglah nyata. Beberapa ungkapan santun dahulu, kini dianggap asing oleh sesetengah anak muda. Jika dahulu penggunaan ungkapan berbadan dua menjadi kebiasaan, kini istilah asing pragnent lebih popular. Istilah ke sungai kecil atau ke sungai besar tidak lagi difahami generasi muda kerana istilah toilet menjadi pengganti.

Perlakuan lain yang dahulunya dianggap sopan, kini banyak yang dikesampingkan. Maka, tidak hairanlah jika terdapat sesetengah remaja perempuan yang tidak langsung terasa segan untuk duduk bersila di tempat keramaian.

Apabila perkara ini ditimbulkan, pelbagai alasan diberikan. Ada yang mengaitkannya dengan kesibukan ibu bapa. Perkembangan pelbagai media, khususnya yang berkaitan dengan komputer turut dipersalahkan. Lebih malang lagi, ada yang tergamak bersuara sumbang dengan mengatakan bahawa semurni mana pun nilai yang ada perubahan adalah wajar mengikut peredaran masa. Pandangan yang sedemikian memungkinkan nilai kesantunan yang diuar-uarkan selama ini akan tinggal kenangan.

Walaupun alasan yang sedemikian tidak dinafikan, kesilapan kita membuat pertimbangan dan kelemahan kita menentukan keutamaan merupakan faktor pilihan. Tegasnya, walau sesibuk mana pun ibu bapa, walau semaju mana pun media, andainya warisan bangsa itu bersarang kukuh dalam naluri setiap warganegara, nilai tersebut tidak mungkin dibiarkan lenyap begitu sahaja kerana kesantunan merupakan lambang kewibawaan bangsa.  BAHASA JIWA BANGSA.