“BAHASA menunjukkan bangsa. Bahasa juga boleh memberikan nilai kualiti peribadi seseorang.” Bertitik asas daripada definisi dan fungsi bahasa iaitu sistem lambang bunyi yang digunakan untuk berkomunikasi dalam bentuk percakapan yang baik dan menjadi sarana perhubungan rohani dalam hidup bermasyarakat, maka dalam komunikasi lisan, suaralah menjadi titian utama menentukan keberkesanannya.

Penulis ingin menyatakan bahawa sifat suara seperti kejelasan, kemerduan dan ketepatan penyebutan dapat membantu merealisasikan kesantunan bahasa. Kejelasan suara tidak semestinya kuat tetapi boleh diterima pendengaran penerima dalam keadaan paling selesa.  

Kemerduan suara dalam percakapan meski tidak semerdu suara seorang penyanyi tersohor tetapi lunak didengar dan tidak mengganggu emosi penerimanya ketika itu. Kadang-kadang suara yang terlalu merdu semasa percakapan boleh menjadi bosan kepada penerimanya. Begitu juga ketepatan penyebutan semasa bercakap amat diperlukan semasa berkomunikasi kerana banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang hampir bunyinya tetapi amat jauh maknanya.

Minat dan keinginan orang lain untuk berinteraksi dengan kita sememangnya bergantung kepada sifat-sifat suara yang kita guna pakai.

Namun, kadang-kadang terdapat juga keterbalikan berlaku. Niat kesungguhan yang optimum dibawa penyampai, disambut hambar penerima. Begitu juga kesedihan disambut dengan suasana biasa yang tidak mencuit perasaan sedih penerima. Apabila keadaan sebegini berlaku, sudah pastilah komunikasi semasa itu kurang berkesan atau tidak berkesan lantaran suara yang tidak sesuai digunakan.

Kehebatan suara dengan kawalan yang sedar dan sesuai keadaan semasa, amat dituntut dalam perhubungan. Seseorang harus belajar dan berlatih mengawal suara sama ada kawalan nada, penyebutan serta intonasinya. Elemen-elemen beginilah akan membina jambatan hubungan rohani antara manusia. Nada suara yang pelbagai bukan sahaja dapat menarik minat dalam komunikasi bahkan dapat mewujudkan keselesaan perasaan orang lain.  

Selain elemen kualiti dinyatakan, lontaran suara yang jelas berlandaskan keikhlasan memberi impak kepada komunikasi seseorang. Walaupun suara dilontarkan jelas, namun keikhlasan tidak dilapiki sebagai landasan, sudah pasti kepuasan pendengar tidak tercapai melalui penilaian rasa halus pendengar.  

Perkara penting di sini ialah lontaran suara dan vokal yang jelas, bertenaga, nada sesuai serta diiringi perasaan bersahaja dan berkeyakinan yang boleh menambat kepercayaan orang lain terhadap kita.  

Suara yang sopan dan santun dalam penggunaan bahasa, intonasinya harus berubah-ubah mengikut tujuan dan perkara yang diperkatakan.

Kenyaringan suara harus diselang-selikan untuk mengekalkan mutu penyampaian.   

Elakkan juga percakapan dalam keadaan mendatar dari awal hingga akhir kerana rasa bosan akan terpaku dalam hati pendengar.  

Satu lagi 'tabiat peribadi' yang boleh mencacatkan percakapan ialah seperti penambahan suara tidak terancang - ‘OK’, ‘ya’, ‘so’, ‘emm’ dan sebagainya.  

Dengan tergunanya tabiat peribadi yang tidak terancang ini boleh mengganggu kelancaran dan boleh mengganggu kejelasan mesej yang hendak disampaikan. Apabila elemen negatif menguasai penggunaan bahasa anda, kesan yang paling buruk terhadap pengguna bahasa ialah label negatif kualiti peribadi orang yang bercakap.

Dalam penggunaan bahasa, kesantunan amat diperlukan. Bahasa yang santun bukan sahaja terletak pada struktur bahasa (badan bahasa) yang digunakan, tetapi penggunaan suara amat penting disedari.  

Gunalah suara yang boleh menyenangkan penerima kerana peranan utama bahasa kepada manusia adalah untuk berkomunikasi dalam setiap aspek kehidupan.