APABILA kita belajar tentang bahasa, kita akan diperkenalkan dengan istilah imbuhan. Dalam bahasa, terdapat enam jenis imbuhan iaitu imbuhan awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem kosong dan fleksi. Bagaimanapun, imbuhan morfem kosong dan bentuk fleksi tidak wujud dalam bahasa Melayu.

Rata-rata pelajar yang belajar tentang bahasa dapat mengenal pasti jenis imbuhan awalan, akhiran dan apitan, namun jarang sekali yang faham akan imbuhan sisipan. Oleh hal yang demikian menyebabkan mereka tidak mengenali dan tidak terdedah dengan imbuhan sisipan. Para pelajar lebih memahami imbuhan awalan, akhiran dan apitan berdasarkan kedudukan imbuhan tersebut dalam sesuatu kata terbitan. Mereka mudah mengecami imbuhan awalan kerana imbuhan berada pada awal kata dasar dan begitu juga dengan imbuhan akhiran dan apitan yang masing-masing berada pada akhir dan mengapit kata dasar dalam sesuatu kata terbitan. Imbuhan sisipan kurang dikenali kerana imbuhan ini merupakan suatu imbuhan yang tidak popular dan tidak produktif.

Imbuhan sisipan ialah imbuhan yang disisipkan di antara konsonan dengan vokal suku kata pertama pada kata dasar, contohnya imbuhan sisipan -em- disisipkan di antara konsonan g dengan vokal u bagi kata dasar guruh untuk menjadi kata terbitan gemuruh. Imbuhan ini tidak popular dan terbatas hanya pada kata-kata tertentu sahaja. Apabila sesuatu kata dasar disisipkan dengan imbuhan sisipan, maka sudah tentu akan mengubah fungsi katanya tetapi ertinya masih berkaitan dengan kata dasar tersebut.

Imbuhan sisipan -em- yang disisipkan pada kata dasar guruh untuk menjadi kata terbitan gemuruh telah mengubah ertinya. Asalnya daripada kata dasar guruh yang bermaksud bunyi bising di langit yang biasanya didahului dengan kilat telah berubah menjadi kata terbitan gemuruh yang bermaksud berbunyi seperti guruh yang dihasilkan oleh objek lain seperti kapal terbang, air terjun, jentera dan objek-objek lain. Berdasarkan contoh ini jelas menunjukkan bahawa imbuhan sisipan telah menyebabkan erti kata dasar berubah  tetapi masih mempunyai kaitan dari segi maksudnya. Imbuhan sisipan juga tidak produktif kerana tidak digunakan lagi untuk membentuk kata-kata baharu.

Dalam bahasa Melayu terdapat empat sisipan iaitu -el-, -er-, -em- dan -in-. Penulis yakin bahawa ada pembaca yang baru mengetahui kata dasar bagi kata terbitan yang dihasilkan melalui proses penyisipan berdasarkan contoh-contoh yang diberikan.

Sisipan -el-, contohnya telapak (sisipan terhadap kata dasar tapak), kelangkang (kangkang), kelembung (kembung), kelupas (kupas), telunjuk (tunjuk), kelemumur (kemumur), gelanggang (ganggang), selerak (serak), gelembung (gembung), geleman (geman), geletar (getar), gelabah (gabah), jelajah (jajah), pelatuk (patuk), selenggara (senggara), gelegak (gegak), jelujur (jujur), telangkup (tangkup) dan lain-lain.

Contoh sisipan -er- pula ialah keruping (kuping), gerigi (gigi), seruling (suling), kerelip (kelip), gerodak (godak), serabut (sabut), keretot (ketot), ceracak (cacak), kerontang (kontang), gericau (gicau) dan lain-lain.

  Sisipan -em- pula ialah kemuning (kuning), kemuncup (kuncup), gemerlap (gerlap), gemuruh (guruh), gemilang (gilang), semerbak (serbak), semantan (santan), kemetot (ketot), temali (tali), gemerang (gerang), gementar (gentar)

Hanya terdapat satu sahaja sisipan -in- iaitu sinambung yang berasal daripada kata dasar sambung.

Apabila kita perhatikan pada kata-kata terbitan contoh yang dihasilkan melalui imbuhan sisipan di atas, dapat kita membuat kesimpulan bahawa proses penyisipan telah menghasilkan kata terbitan hanya daripada golongan kata nama dan kata adjektif. Tidak terdapat kata terbitan selepas proses penyisipan yang membentuk kata kerja.

Walaupun proses pengimbuhan sisipan tidak produktif dan dianggap membeku, namun usaha untuk memperkenalkannya kepada mereka yang belajar bahasa tidak harus dihentikan. Kajian dan penerangan harus terus diberikan agar khazanah bahasa ini tidak dilupakan. Sekurang-kurangnya biarlah mereka tahu dan faham proses pembentukan sesuatu kata terbitan melalui proses penyisipan terhadap sesuatu kata dasar.

Dirgahayu Bahasaku!