PERANAN bahasa secara asasnya sebagai alat untuk berkomunikasi sama ada secara lisan atau secara bertulis.

Sifat bahasa yang digunakan seharusnya saling difahami antara penyampai dengan penerima dalam komunikasi tersebut.  

Sekiranya maksud yang hendak disampaikan penutur akan difahami oleh penerimanya bererti komunikasi itu berjaya dan berkesan.  

Ada juga suasana berlaku yang maksud yang hendak disampaikan tidak difahami dengan baik oleh penerima.  

Jika dikaji komunikasi yang tidak seimbang begitu berlaku berkemungkinan disebabkan oleh penggunaan bahasa yang kurang wajar oleh penyampai.  

Kadang-kadang perkataan yang digunakan agak luar biasa dan jarang digunakan oleh penerima dalam komunikasi tersebut atau perkataan itu digunakan secara acuh tak acuh oleh penutur dan boleh memberi kefahaman lain kepada pendengar.  

Suasana yang seharusnya berlaku biarlah bahasa yang digunakan bebas daripada sebarang prasangka sama ada daripada aspek penggunaan perkataan atau ayat.  

Contoh penggunaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’, perkataan ‘boleh’ dan ‘dapat’, ‘ialah’ dan ‘adalah’, ‘dari’ dan ‘daripada’, dan sebagainya.

 

1.  (a)  Bangunan di bandar baru yang terletak berhampiran lebuh raya itu cantik.

    (b)  Bangunan di bandar baharu yang terletak berhampiran lebuh raya itu cantik.

2.  (a)  Keluarga kita dapat bertolak ke Perlis awal pagi esok.

    (b)  Keluarga kita boleh bertolak ke Perlis awal pagi esok.

3. (a)  Encik Ridhuan ialah seorang pegawai yang amat disegani di pejabatnya.

(b)  Encik Ridhuan adalah seorang pegawai yang amat disegani di pejabatnya.

4. (a)  Asal keturunannya daripada kalangan orang bangsawan yang tersohor.

   (b)  Asal keturunannya daripada kalangan orang bangsawan yang tersohor.

5.(a)  Sejak dari petang semalam lagi pemuda itu termenung.

      (b)  Sejak petang semalam lagi pemuda itu termenung.

6. (a)  Dua jam setengah yang lalu, hujan turun dengan lebatnya.

   (b)  Dua setengah jam yang lalu, hujan turun dengan lebatnya.

Enam contoh ayat yang diberikan di atas merupakan antara ayat menggunakan perkataan biasa yang mengelirukan.  

Persoalan yang hendak diutarakan adakah perkara ini berlaku disebabkan oleh keliru atau tidak tahu penggunaan perkataan mudah itu dengan betul.  

Oleh itu, sekiranya seseorang penyampai menggunakan perkataan yang bergaris dalam keadaan yang tidak stabil, kemungkinan besar keliru dalam aspek penggunaan ilmu tatabahasa.  

Namun jika pengguna menggunakan dalam keadaan stabil dan menyalahi hukum tatabahasa bererti pengguna itu tidak tahu hukum tatabahasa.

Sedikit pedoman dititipkan di sini untuk kepastian penggunaan perkataan dalam contoh ayat di atas;

1.  Perkataan ‘baru’ ialah kata bantu aspek yang menimbulkan suasana perbezaan masa terhadap perbuatan atau kata kerja yang digunakan. Penggunaannya di hadapan kata kerja.

2.  Perkataan ‘baharu’ ialah kata adjektif waktu yang memberi pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan selepas kata nama.

3.  Perkataan ‘dapat’ dikaitkan dengan kebenaran membuat sesuatu pekerjaan.

4. Perkataan ‘boleh’ dikaitkan dengan kemampuan melaksanakan sesuatu pekerjaan.

5.  Kata pemeri ‘ialah’ seharusnya disusuli dengan frasa nama atau kata nama.

6.  Kata pemeri ‘adalah’ seharusnya disusuli dengan frasa sendi nama atau frasa adjektif.

7.  Kata sendi ‘dari’ digunakan sebelum kata nama yang bermaksud masa atau tempat.  Manakala kata sendi ‘daripada’ digunakan selain daripada untuk maksud masa dan tempat.

9.  Perkataan ‘sejak’ ialah kata sendi yang tidak boleh disusuli oleh kata lain selain daripada kata nama.  

Dalam ayat 5 (a) di atas merupakan penggunaan kata sendi ‘sejak’ yang salah kerana disusuli dengan perkataan ‘dari’ yang juga merupakan kata sendi.

10.  Rangkai kata ‘dua jam setengah’ merupakan penggunaan penjodoh bilangan ‘jam’ yang betul iaitu berada antara kata bilangan kardinal ‘dua’ dengan kata bilangan pecahan ‘setengah’.

Oleh yang demikian, diserulah para pengguna bahasa terutama dalam berlisan secara formal dan dalam penulisan rasmi menggunakan bahasa betul yang bukan sahaja dapat memberi kefahaman yang tepat tetapi dapat merealisasikan tatabahasa yang wajar demi keunggulan komunikasi dan perkembangan bahasa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka