TERDAPAT banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang sama erti dengan perkataan lain. Perkataan tersebut dikenali sebagai perkataan seerti atau dengan istilah popularnya sinonim. Oleh sebab perkataan-perkataan tersebut membawa erti yang sama, maka perkataan tersebut boleh digunakan secara bertukar ganti serta wujud dalam pelbagai aspek.

Dalam konteks keluarga umpamanya, terdapat beberapa perkataan yang boleh digunakan untuk memanggil bapa. Perkataan yang biasa ialah ayah dan abah. Selain itu, panggilan pak banyak digunakan dalam keluarga yang menetap di kampung. Terdapat juga penggunaan perkataan walid. Mungkin ada panggilan lain lagi di tempat-tempat yang tertentu.

Demikian juga dengan  ibu, terdapat panggilan emak, mak, umi, dan sebagainya. Penggunaan mana-mana kata panggilan itu ditentukan sendiri oleh ibu bapa dalam keluarga berkenaan.

Pondok ialah nama yang diberikan kepada sesuatu binaan yang digunakan secara sementara atau untuk musim tertentu sahaja. Perkataan lain yang turut digunakan untuk binaan tersebut ialah bangsal dan dangau. Sesetengah tempat pula memanggilnya wakaf. Dalam dialek Melayu tertentu, mungkin wujud perkataan lain lagi untuk maksud tersebut.

Bagi menyatakan perbuatan yang menyebabkan sesuatu menjadi terpisah atau tanggal, digunakan perkataan yang berlainan berdasarkan cara perbuatan dan hasil yang diperoleh. Antara perkataan yang dimaksudkan ialah kerat dan potong bagi perbuatan menjadikan sesuatu itu pendek atau terbahagi daripada yang asal. Selain itu, perkataan pancung, pangkas, tutuh, cantas, dan penggal menunjukkan perbuatan memotong yang dilakukan dengan pantas. Bagi menggambarkan perbuatan memotong pokok besar digunakan perkataan tebang, manakala untuk mengecilkan bahagian yang telah dipotong, perkataan belah digunakan. Kata sifat juga mempunyai perkataan seerti atau sama erti. Contohnya, perkataan cerdik boleh berganti dengan bijak, pintar, pandai dan cerdas, manakala cepat boleh berganti dengan pantas, tangkas, laju, lekas dan deras.

Namun begitu, tidak semua perkataan seerti mempunyai persamaan erti secara seratus peratus. Dalam kata lain, tidak semuanya dapat bersifat dua hala. Penggunaannya hendaklah mengikut konteks dan situasi yang sesuai. Jika tidak,  maksudnya menjadi pelik dan tidak betul. Perkataan dekat contohnya, seerti dengan perkataan hampir dan nyaris. Dalam hal ini, kita boleh saling menggunakan dekat dengan masjid dengan hampir dengan masjid kerana maksud kedua-duanya sama, akan tetapi tidak tepat sama sekali maksudnya jikalau kita menggunakan frasa nyaris dengan masjid. Bentuknya betul jika nyaris dilanggar dan hampir dilanggar, sebaliknya janggal pula apabila dikatakan dekat dilanggar.

Demikian juga halnya dengan perkataan cantik. Beberapa perkataan yang seerti dengannya ialah jelita, ayu, comel, dan lawa. Perkataan-perkataan itu sesuai digunakan terhadap gadis, iaitu gadis cantik, gadis jelita, gadis ayu, gadis comel, dan gadis lawa. Selain itu, kadang-kadang digunakan rangkai kata “gadis manis”. Dalam keadaan itu, manis juga boleh sama erti dengan cantik. Namun demikian, jika digunakan kepada lukisan, tidak semua perkataan tersebut sesuai.

Rangkai kata lukisan cantik, lukisan lawa dan lukisan indah memang diterima, tetapi sudah tentu amat tidak sesuai sekiranya dikatakan lukisan jelita dan lukisan ayu, apatah lagi lukisan manis. Hal ini menjelaskan bahawa perkataan-perkataan sedemikian hanya sesuai digunakan untuk menunjukkan penampilan wajah orang perempuan sahaja.

Itulah antara contoh kata bersinonim yang wujud dalam bahasa Melayu. Banyak lagi perkataan lain yang bersifat demikian. Sungguhpun begitu, terdapat sebilangan perkataan yang tidak mempunyai kata seerti. Antara perkataannya ialah batu, hujan, padi, daun, kertas, dan sebagainya. Hal ini bermakna bahawa perkataan-perkataan berkenaan tidak boleh digantikan dengan perkataan lain.

Jelaslah bahawa bahasa Melayu menyediakan beberapa pilihan perkataan yang boleh digunakan untuk mengungkapkan sesuatu hal. Kepelbagaian kata yang wujud ini memberi kita pilihan untuk menggunakannya mengikut kesesuaian. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu kaya dengan perbendaharaan kata. Perkataan-perkataan tersebut ringkas, mudah disebut, dan sedap didengar. Sekiranya kita memperkasakan perkataan-perkataan bahasa Melayu dengan betul, kosa kata tersebut akan kekal dan menjadikan bahasa kebangsaan terus teguh dan semakin berkembang. Bahasa jiwa bangsa.