KELUARGA merupakan entiti penting dalam masyarakat. Kesejahteraan masyarakat bertitik tolak daripada kesejahteraan keluarga.

Pelbagai perkara boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga untuk membahagiakan antara satu sama lain.

Satu daripada elemen bahasa dan berbahasa dalam komunikasi keluarga ialah kata panggilan mesra.

Dalam keluarga Melayu, panggilan mesra dalam kalangan ahli keluarga sangat ketara.

Kebanyakan ibu bapa tidak memanggil nama anak mereka. Mereka menggunakan kata panggilan lain yang lebih mesra.  

Jika anak sulung keluarga berkenaan ialah lelaki, ibu bapa akan memanggilnya “abang”.  Jika anak sulung ialah perempuan, ibu bapa akan memanggilnya “kakak”.  

Anak-anak ini pula akan membahasakan diri mereka “abang” atau “kakak” apabila berbicara dengan ibu bapa mereka atau adik-adik mereka.

Ada juga ibu bapa dan keluarga yang memanggil anak sulung sama ada lelaki atau perempuan “along”.

Jika anak sulung dipanggil “along”, anak kedua pula dipanggil “alang”.

Kata panggilan “alang” digunakan sekiranya anak sulung dan anak kedua berlainan jantina.

Jika anak pertama dan kedua mempunyai sama jantina, anak kedua akan dipanggil “angah”. Anak ketiga akan dipanggil “ateh”, diikuti “acik” dan “acu”..

Kata panggilan dalam keluarga bergantung pada persetujuan ahli keluarga itu sendiri sebagai tanda hormat dalam kalangan ahli keluarga.  

Biasanya, anak saudara akan memanggil bapa saudara sulung dalam keluarga “pak long”.  

Kata panggilan bapa saudara sulung di kawasan tertentu dikenali sebagai “pak wa” atau “pak chaq”.  

Sementara, bapa saudara yang bongsu dalam keluarga dipanggil “pak su”.

Panggilan mesra seperti ini bukan hanya wujud dalam organisasi keluarga sahaja, tetapi wujud juga dalam organisasi lain.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, Kedah yang bernama Hajah Zahara Ismail dengan panggilan “bonda” oleh semua warga sekolah sama ada guru, pekerja ataupun murid-murid.

Kata panggilan tersebut berjaya mendekatkan pengetua dengan semua warga sekolah secara fizikal dan spiritual.

Terdapat kata panggilan di pejabat penulis yang menyebabkan kasih sayang dan kemesraan antara kami begitu mendalam.  

Timbalan Ketua Nazir Negeri Kedah yang bernama Mohd Sarngi dipanggil Wak Sarngi sahaja kerana beliau berketurunan Jawa. Beliau gembira dengan panggilan ini dan kami juga berasa selesa.

Seorang lagi nazir kanan senior bernama Mohamad Syukri Ghazali, dipanggil Abe Yi sahaja kerana beliau berasal dari Kelantan.  

Seorang pegawai lagi, kami panggil Abang Long. Bukan kerana beliau anak sulung, tetapi disebabkan nama beliau Fadil Long bin Mohamed.

Dalam keluarga penulis, terdapat pelbagai kata panggilan. Ada adik-beradik yang hanya dipanggil abang dan kakak sahaja.

Ada juga yang dipanggil kakak atau abang dan disusuli dengan sebahagian nama mereka.  

Sebagai contoh, abang penulis yang bernama Shahdin dipanggil Abang Din; kakak yang bernama Khairiyah dipanggil Kak Yah. Seorang lagi kakak yang bernama Saudakah tidak pula dipanggil Kak Kah, tetapi dipanggil Kak Cik sahaja.  

Anak penulis yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bernama Nas Irfan dipanggil Pak To.

 Panggilan ini sebenarnya berpunca daripada minatnya yang mendalam dalam sukan tomoi.

Pada hemat penulis, panggilan mesra sama ada dalam keluarga, organisasi ataupun masyarakat sangat penting.

Hal ini demikian kerana kata panggilan ini menjadikan masyarakat lebih mesra dan hormat-menghormati.

Sebenarnya bahasalah yang membentuk semua panggilan mesra ini.  

Oleh itu, terbuktilah bahawa bahasa merupakan alat perpaduan, alat kasih sayang, dan alat kesejahteraan masyarakat.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan bahasa dan Pustaka