SEBAGAI orang awam, apabila kita memerhati dan meneliti rupa atau bentuk perkataan dalam bahasa Melayu untuk difahami maknanya, didapati ada perkataan yang hanya satu perkataan boleh memberi satu makna.  

Ada juga perkataan yang berimbuhan sama ada di hadapan, di belakang, berapitan dan disisipkan di tengah perkataan untuk memberi satu makna. Ada perkataan yang diulang menggunakan tanda sempang dan tidak kurang juga ada perkataan yang berangkai dan saling memerlukan untuk memberi satu makna.  

Sebab inilah dalam tatabahasa, rupa atau bentuk kata dapat dipecahkan kepada empat bentuk iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk. Antara contohnya:

1. Kata tunggal - abang, duduk,   elok.

2. Kata terbitan - dipakai, pakaian, permainan, selerak.

3. Kata ganda - bendera-bendera, sayur-mayur, cinta-mencintai.

4. Kata majmuk - biru laut, pita suara, duit kopi.

Apabila membicarakan bentuk kata majmuk iaitu prosesnya merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan membawa makna tertentu mungkin beberapa perkara perlu diteliti. Cara mengeja kata majmuk adalah dengan memisahkan antara perkataan pertama dengan perkataan berikutnya dan keseluruhannya membentuk satu unit makna.  

Kata majmuk juga tidak boleh disisipkan sebarang perkataan lain antara perkataan dalam bentuknya itu untuk mengelakkan daripada kata majmuk itu memberi makna lain daripada asal.

Terdapat banyak kata majmuk dalam Bahasa Melayu. Pengklasifikasian dibuat terhadapnya untuk memudahkan pemahaman kepada pengguna bahasa secara lebih ilmiah. Antaranya;

i.    Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas – terima kasih, jalan raya, Setiausaha Politik, dan sebagainya.

ii.   Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus – cari gali, kertas kerja, urus setia, dan sebagainya.

iii.  Kata majmuk kiasan iaitu simpulan bahasa - duit kopi, makan angin, manis mulut dan sebagainya.

Namun begitu, didapati ada sejumlah kata majmuk yang dieja secara rapat antara perkataan pertama dengan perkataan kedua dan bentuknya tidak sama dengan bentuk kata majmuk biasa. Inilah yang dinamakan kata majmuk bentuk yang telah mantap. Jumlahnya hanya lima belas (15) sahaja iaitu;

antarabangsa,  beritahu, bumiputera,  jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, matahari, olahraga, pesuruhjaya, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara.

Persoalan yang banyak diterima ialah cara untuk mengingatkan 15 perkataan ini. Oleh itu, ada pendakwah bahasa menyerahkan kepada pengguna untuk mencipta formula sendiri. Ada juga yang mengesyorkan pelbagai formula supaya menjadi pedoman kepada penggunanya.

Penulis terpanggil untuk mengemukakan ‘formula senang’ untuk memudahkan pengguna mengingat sejumlah 15 perkataan ini. Formula ini sebagai pendapat peribadi penulis sahaja dan pernah diberikan kepada pelajar pada satu ketika semasa berkhidmat sebagai guru dahulu.  

Pada peringkat awalnya, cuba kita susun mengikut abjad perkataan tersebut. Analisisnya, terdapat hanya satu perkataan yang menggunakan abjad A, J, M, O, P dan W. Dua (2) perkataan yang menggunakan abjad B, K, T, manakala tiga (3) perkataan menggunakan abjad S.  Kemudian, demi memudahkan jalinan ingatan minda, cuba kita gantikan setiap abjad itu dengan perkataan mudah yang lain seperti berikut;  

1 = 6 :  A, J, M, O, P, W (abang  jolok mangga opah pusing wajah)

2 = 3 :  B, K, T (berilah kata tuan)

3 = 1 :  S (sayang)

Akhirnya kita susun setiap perkataan mudah itu secara membina sedikit cerita pendek dalam satu ayat seperti ini;

Abang  jolok mangga opah pusing wajah: berilah kata tuan... sayang.

Hasilnya:

1. antarabangsa, jawatankuasa, matahari, olahraga, pesuruhjaya, warganegara

2. beritahu, bumiputera, kakitangan, kerjasama, tandatangan, tanggungjawab

3. setiausaha, sukarela, suruhanjaya.

Proses memahami tatabahasa khususnya bahasa Melayu yang kita sayangi ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara asalkan akhirnya kita boleh menguasainya.  

Secara imaginasinya, bahasa Melayu sentiasa menadah tangan supaya ‘dia’ tidak dicemuh oleh penggunanya kerana sukar difahami bahkan ‘dia’ memohon supaya difahami dalam semua aspek untuk menjadikan bahasa Melayu boleh berkembang seimbang dengan kemajuan dunia sekarang.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka