“SELAMAT Hari Guru 2018, Tuan Munsyi!” ucap Puan Sormon Nai Liew, seorang sahabat dari Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Perak Darul Ridzuan.

“Terima kasih. Puan Sormon Nai Liew,” balas penulis dengan spontan dan santun.

“Mohon pencerahan tuan tentang Kata Kerja Transitif dalam Bahasa Melayu!” sambung Puan Sormon Nai Liew lagi, tertib dan jelas.

“Tiada masalah, Puan Sormon Nai Liew!”

Menurut buku Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu – Golongan Kata (DBP, 2017), kata kerja ialah kata yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Kata kerja juga menjadi perkataan utama dalam binaan frasa kerja.

Dalam bahasa Melayu, kata kerja terdiri daripada Kata Kerja Transitif (KKT) dan Kata Kerja Tak Transitif (KKTT).

Kata Kerja Transitif terbahagi kepada Kata Kerja Transitif Aktif dan Kata Kerja Transitif Pasif.

Sebenarnya, Kata Kerja Transitif perlu diikuti oleh objek yang terdiri daripada kata nama (KN) atau frasa nama (FN) sahaja.

Kata Kerja Transitif Aktif terbahagi kepada Kata Kerja Transitif Aktif Satu Objek (O1) dan Kata Kerja Transitif Aktif Dua Objek (O2).

Kata Kerja Transitif Aktif Satu Objek.  Kata Kerja Transitif (KKT) KKT --- Objek  =  KN/FN

Ayat contoh:

1a.  Cikgu Budin Ali mengajarkan Bahasa Melayu kepada Dewi a/p Balan.

1b.  Nenek membekalkan nasi goreng kampung kepada Swee Lan.

1c.  Albert menghadiahkan sebentuk cincin kepada Alice.

1d.  Ibu memasak semangkuk mi kepada adik.

1e.  Kamu memberikan wang kepada adik setiap akhir bulan.

Kata Kerja Transitif Aktif Dua Objek. Kata Kerja Transitif Aktif Dua Objek mempunyai objek tepat (O1) dan objek sipi (O2). Kedua-dua objek ini terdiri daripada frasa nama (FN).

Kata Kerja Transitif (KKT) Dua Objek. KKT 2O ---- O1 (FN)  +  O2 (FN)

Ayat contoh:

2a.  Cikgu Budin Ali mengajar Dewi a/p Balan Bahasa Melayu.

2b.  Nenek membekali Swee Lan nasi goreng kampung.

2c.  Albert menghadiahi Alice sebentuk cincin.

2d.  Ibu memasakkan adik semangkuk mi.

2e.  Kamu memberi adik wang setiap akhir bulan.

Kata Kerja Transitif Aktif Satu Objek dapat dipasifkan seperti yang berikut:

3a.  Cikgu Budin Ali mengajarkan Bahasa Melayu kepada Dewi a/p Balan.

3b.  Bahasa Melayu diajarkan oleh Cikgu Budin Ali kepada Dewi a/p Balan.

4a. Nenek membekalkan nasi goreng kampung kepada Swee Lan.

4b. Nasi goreng kampung dibekalkan oleh nenek kepada Swee Lan.

5a. Albert menghadiahkan sebentuk cincin kepada Alice.

5b. Sebentuk cincin dihadiahkan oleh Albert kepada Alice.

6a. Ibu memasak semangkuk mi kepada adik.

6b. Semangkuk mi dimasak oleh ibu kepada adik.

7a. Kamu memberikan wang kepada adik setiap akhir bulan.

7b. Wang kamu berikan kepada adik setiap akhir bulan.

Kata Kerja Transitif Aktif Dua Objek dapat dipasifkan seperti yang berikut:

8a. Cikgu Budin Ali mengajar Dewi a/p Balan Bahasa Melayu.

8b. Dewi a/p Balan diajar oleh Cikgu Budin Ali Bahasa Melayu.

9a. Nenek membekali Swee Lan nasi goreng kampung.

9b. Swee Lan dibekali oleh nenek nasi goreng kampung.

10a. Albert menghadiahi Alice sebentuk cincin.

10b. Alice dihadiahi oleh Albert sebentuk cincin.

11a. Ibu memasakkan adik semangkuk mi.

11b. Adik dimasakkan oleh ibu semangkuk mi.

12a. Kamu memberi adik wang setiap akhir bulan.

12b. Adik kamu beri wang setiap akhir bulan.

“Terima kasih atas penerangan tuan,” ucap Puan Sormon Nai Liew sebagai tanda penghargaan kepada penulis.

“Terima kasih kembali, Puan Sormon Nai Liew. Sesungguhnya, Guru Pemacu Transformasi Pendi-dikan. Salam Bahasa Nadi Bangsa.”

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka