TENGAH hari: Penulis sekeluarga singgah di Restoran Claypot Junction, Tanjong Malim untuk makan tengah hari. Sepinggan nasi putih berlaukkan sayur bayam, daging ayam kari dan tauhu goreng. Restoran tersebut agak strategik lokasinya, yakni terletak di hujung deretan premis perniagaan dan berdekatan dengan bangunan induk UPSI, Instun, Proton City, pejabat kerajaan dan premis perniagaan swasta yang sedang pesat membangun di Daerah Muallim.

“Angkat sendiri Cina teh ais, sup atau air kosong. Tak kira wang!” ujar tauke restoran sambil menguar-uarkan maklumat mutakhir kepada pelanggan, terutamanya pelanggan baharu dalam kalangan pelajar UPSI Tanjong Malim.

“Sila ambil teh Cina ais, sup atau air kosong. Swalayan dan percuma!” bisik penulis kepada suri rumah dan anak-anak dalam bahasa yang persis dan santun sebelum menjamu selera tengah hari di restoran tersebut. 

Petang: Halaman akhbar Sinar Harian tetap saya tatap helai demi helai untuk mengetahui perkembangan berita setempat dan dunia sarwajagat mutakhir agar tidak digelar katak di bawah tempurung biarpun ruangan berita dalam talian telah saya telusuri pagi tadi. Dalam keadaan santai di ruang tamu, tiba-tiba telefon pintar saya, Lenovo memberikan isyarat. Barangkali, ada mesej yang tertera pada skrin paparan WhatsApp.

“Selamat petang, munsyi! Mohon penjelasan lanjut tuan tentang kata adverba dalam bahasa Melayu? Terima kasih,” pinta seorang peminat bahasa kebangsaan yang setia, peka dan prihatin. Yang pastinya, beliau seorang guru Bahasa Melayu di salah sebuah sekolah yang beraliran Cina (SJKC) di Daerah Hilir Perak.

Kata Adverba: Menurut buku Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu – Golongan Kata (DBP, 2017), kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat.

Kata adverba mempunyai empat bentuk, iaitu bentuk jati atau asli (sering kali), bentuk yang asalnya kata kerja (menyendiri), bentuk yang asalnya kata adjektif (segera) dan bentuk gandaan, iaitu kata adverba penggandaan penuh (betul-betul), kata adverba penggandaan separa (bersungguh-sungguh, kecil-kecilan) dan kata adverba penggandaan berentak (hingar-bingar).

Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat seperti halnya dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Penggunaan kata adverba dilihat dari segi kedudukan perkataan ini dalam ayat. Kata adverba juga bersifat kata prafrasa dan kata pascafrasa.

Kata Adverba >> Penerang Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan FSN. Kata Adverba contoh: Jarang-jarang, sekali gus, (berjalan) mengiring, (terbang) meninggi, diam-diam, selama-lamanya, sentiasa, begitu, (sakit) kuat, (hitam) berkilat, bermalam-malam, besar-besaran, kerap kali, agaknya, sering (di pejabat), (putih) berseri, terburu-buru dan mati-matian.

Ayat contoh:

1. Kebelakangan ini Nyonya Lim jarang-jarang di rumah lagi. (FN + FS)

2. Yang berjuang mati-matian ialah ahli biasa daripada persatuan tersebut.

(FN + FN)

4. Kulitnya hitam berkilat kerana di kebun sepanjang musim buah-buahan.

(FN + FA)

5. Mutu pulang ke kampung untuk menziarahi neneknya yang sakit kuat.

(FN + FK)

Malam: Sebaik usai menonton perlawanan bola di televisyen, bingkas penulis dari sofa ruang tamu dan bergerak ke meja baca kembali untuk menghadap komputer riba penulis, ASUS. Bahan penulisan seperti makalah, puisi dan cerpen untuk majalah dan surat khabar tempatan secara berkala perlu diedit dan dimurnikan sebelum di-e-melkan kepada sidang editor yang berkenaan untuk tindakan susulan.

Sepi dan dingin malam pada malam itu cukup mengasyikkan dunia penulis di kamar bacaan. Yang pasti, di meja komputer itulah, aktiviti edit-mengedit, baca-membaca dan karang-mengarang dapat dilangsungkan dari waktu ke waktu tanpa gagal kecuali penulis dibelenggu oleh keuzuran. Bertemankan bulan purnama, bintang yang berkerdipan di dada cakerawala dan sahut-sahutan mergastua rimba di hujung taman perumahan, Taman Berop Idaman yang berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa, terbaca dan terpilih oleh penulis serangkap pantun Melayu yang menarik untuk bacaan dan renungan pembaca akhbar Sinar Harian pada minggu ini.

Pujangga Melayu mengarang pantun,

Tulat langkat menjadi hikayat;

Bahasa Melayu tonggak tamadun,

Wasilah pengikat perpaduan rakyat.

(Sumber: BBK, DBP Malaysia)

Bahasa Nadi Bangsa. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka