PEMBUKA bicara, renunglah kata-kata Abdullah Munsyi ini;

“Adalah suatu yang menghairankan lagi mencengangkan aku sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu itu belum sedarkan dirinya, ia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab itulah ia tidak mahu belajar bahasanya sendiri, ia tidak mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu. Maka mustahil pada akal, adakah orang yang tidak mahu belajar boleh menjadi pandai dengan sendirinya?  Bukankah segala bangsa yang lain dalam dunia ini masing-masing belajar bahasanya melainkan orang Melayu”.

Sepanjang hidup kita sebagai manusia biasa, pelbagai pengalaman kita lalui. Lantas, peribahasa kita telah mengungkapkan dalam pelbagai suasana untuk merencanakan hal pengalaman ini sebagai rumusan.  Antaranya;

1.  Jauh perjalanan, banyak pengalaman.

2.  Sambil menyelam, minum air.

3.  Siapa makan garam dulu?

Jika direnungkan liku-liku hidup kita berhubungan dengan pengalaman dan perjuangan kebahasaan, pelbagai kerenah atau telatah kita temui. Sehingga kini, ungkapan ringkas ‘MBMMBI’ telah menjadi sebutan biasa.

Begitu juga ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ telah begitu kuat melekat dalam minda sesiapa sahaja. Ungkapan panjang, ‘Kalau hendak kenal peribadi bangsa, renunglah pada bahasanya’ kerap kali juga kita dengar sepanjang hidup kita. Namun begitu, ungkapan-ungkapan tersebut mudah luntur dengan satu terjahan yang amat berbisa;

“Perkataan Melayu tidak tepat maknanya dibandingkan dengan bahasa ....”

Percayalah bahawa ungkapan kecil inilah yang merupakan satu lontaran pahit yang boleh menjadikan kekuatan ‘siku tulang’ bahasa Melayu berurai dan terburai dan hampir hancur. Kehebatan bahasa Melayu yang sekian lama telah menjadi ‘lingua franca’ telah tidak langsung diendahkan lagi.

Keluhan sebegini mungkin hanya bermain dalam jiwa penulis sahaja. Mungkin juga bermain dalam benak insan lain yang lebih bertenaga dan lebih simpati terhadap bahasa kita.

Namun begitu, harus kita sedar bersama bahawa liku perjalanan peranan bahasa Melayu yang tertitip dalam perlembagaan negara telah mencecah usia 60 tahun. Adakah usia selama ini menjadi satu penggal yang terbilang untuk membina kekuatan bahasa? Atau, adakah usia ini menjadi satu penantian untuk kita melihat tersungkurnya bahasa Melayu di depan mata kita sendiri?

Tertib adab dan tertib bahasa, maaf dipinta jika lontaran dalam ruangan kali ini tinggi nadanya. Hal ini disebabkan oleh pengalaman penulis melihat ruang bahasa Melayu dalam kemajuan negara yang semakin hari semakin sempit kedudukannya.

Semua bidang telah diceroboh oleh bahasa lain dan telah sepakat secara ‘ego dalaman’ oleh pihak tertentu untuk menendang bahasa sendiri keluar dari galaksi kemajuan dunia kini.

Pelbagai cemuhan dan cacian untuk meletakkan bahasa Melayu di tepi gelanggang pertumbuhan kemajuan negara sehingga wajah bahasa Melayu ‘terpancar’ sebagai wajah pengemis di negara kelahirannya sendiri seumpama ‘melukut di tepi gantang’.

Peningkatan bilangan cerdik pandai dan cendekiawan negara yang semakin ramai dan saban hari bertambah dalam pelbagai bidang ilmu kurang memberi kesan kepada kesegaran pernafasan bahasa Melayu.

Sewajarnya, para cendekiawan membina persoalan kecil dalam jiwa raga masing-masing demi bahasa tercinta kita. Antara persoalan asas dan mudah yang boleh diberi keutamaan ialah;

1.  Bolehkah ilmu yang saya miliki ini dikembangkan dalam bahasa Melayu sebagaimana bangsa lain mencedok ilmu daripada bahasa lain dan dikembangkan dalam bahasanya sendiri?

2.  Bolehkah bahasa Melayu ‘menumpang sekaki’ dalam kecerdikan ledakan ilmu saya?  

3.  Mungkinkah bangsa lain akan membantu memajukan bahasa kita kalau tidak kita sendiri?

4.  Kalau tidak kita, siapa lagi yang boleh menjadi tempat bergantung kepada bahasa Melayu untuk berjalan seiring dengan kemajuan ilmu yang saya miliki?

Mudah-mudahan jika empat persoalan asas ini dihayati dan dijawab dengan sanubari yang luhur, penulis percaya cendekiawan negara adalah ‘pejuang agung’ bahasa sendiri dan bukan ‘munafik bahasa’ di negara sendiri.

Namun begitu, tahniah, penghargaan dan terima kasih kepada pemilik darah ‘gred PBM’ (Pejuang Bahasa Melayu) yang nadi dan nafasnya sentiasa berdenyut untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini.