KITA sering menerima kad jemputan atau kad undangan daripada sanak saudara, sahabat handai dan pihak tertentu untuk menghadiri majlis anjuran mereka dari semasa ke semasa. Sepintas lalu, kedua-dua kad tersebut mempelawa dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu.

Adakah kedua-dua perkataan, iaitu jemputan dan undangan bersinonim dari segi fungsi dalam sesuatu majlis yang diadakan, sama ada rasmi atau tidak rasmi?

Jika dihalusi, perkataan, 'jemputan' terbit daripada kata dasar, 'jemput'. Daripada kosa kata, 'jemput', maka terbitlah beberapa perkataan seperti yang disenaraikan berserta maknanya.

1. Jemput: Berjemput, disambut, dialu-alu, disongsong, datang tak jemput.

2. Menjemput: Menyambut, mengalu-alukan, menyongsong, mengajak atau menyilakan datang, mengundang, mengambil seseorang untuk dijadikan menantu, mencekut dengan hujung jari, mengambil (pergi ke sesuatu tempat dan kembali dengan membawa sesuatu atau seseorang yang dikehendaki atau diperlukan, dsb.), memetik, mengutip. Ayat Contoh: Siapakah yang pergi menjemput abang mu di lapangan terbang petang ini?

3. Jemputan: Orang yang dijemput (untuk menghadiri majlis perkahwinan, dll.), hasil daripada menjemput (mencekut), ajakan, undangan, permintaan (kepada orang laki-laki) untuk dijadikan menantu.

4. Perjemputan: Perihal menjemput.

5. Sejemput: Sebanyak yang dapat diambil dengan hujung jari, secekut

6. Jemput-jemput: Sejenis kuih (daripada adunan tepung, pisang dan gula atau tepung, bawang dan garam yang dijemput sedikit-sedikit dan digoreng.

Ayat Contoh:

1. Saya telah menjemput Ai Leng di stesen bas Tanjong Malim dengan kereta Kelisa.

2. Ai Leng telah saya jemput di stesen bas Tanjong Malim dengan kereta Kelisa.

3. Kad jemputan bersempena dengan majlis perkahwinan Mutu telah diterima oleh Ai Leng kelmarin.

Perkataan, 'undangan' pula terbit daripada kata dasar, 'undang'. Daripada kosa kata, 'undang', maka terbit pula perkataan-perkataan yang berikut berserta maknanya.

1. Undang: Mengundang, mempersilakan datang, memanggil supaya datang, menjemput (supaya menghadiri sesuatu majlis, dsb.), pembesar adat yang empat di Negeri Sembilan.

2. Undangan: Orang yang diundang, jemputan, panggilan (untuk datang), majlis (dewan) undangan. Ayat Contoh: Dia menerima undangan untuk menghadiri majlis di rumah temannya.

3. Pengundang: Pihak atau orang yang mengundang.

4. Undang-undang: Sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan.

5. Berundangan: Mengerti benar (memahami benar-benar) tentang adat, pandai berbicara.

6. Mengundangkan: Menjadikan sebagai undang-undang, menentukan atau menetapkan sesuatu berdasarkan undang-undang, mengumumkan undang-undang kepada orang ramai, menyerantakan undang-undang.

7. Memperundangkan: Menjadikan sesuatu undang-undang.

8. Perundangan: Yang berhubungan (berkaitan) dengan atau berasaskan undang-undang, kumpulan undang-undang.

9. Perundang-undangan: Perundangan.

10. Pengundang-undang: Orang yang menggubal undang-undang.

11. Undang-undang: Sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan, rumusan yang dibuat berdasarkan hukum alam (dalam ilmu sains dll).

12. Mengundang: Mempersilakan datang, memanggil supaya datang, menjemput (supaya menghadiri sesuatu majlis.) Ayat Contoh: Dia mengundang beberapa teman sekerja ke rumahnya.

Ayat Contoh:

1. Saya telah mengundang Ai Leng ke majlis perkahwinan abang saya.

2. Ai Leng telah saya undang ke majlis perkahwinan abang saya.

3. Kad undangan majlis perkahwinan abang saya telah diterima oleh Ai Leng kelmarin.

Berdasarkan kepersisan makna kamus, jelaslah bahawa perkataan, 'jemputan' memberikan gambaran, iaitu tetamu akan disediakan pengangkutan atau dijemput/diambil manakala perkataan 'undangan' pula memberikan maksud bahawa tetamu yang diundang akan menghadiri majlis yang dianjurkan atas daya usaha sendiri.

Oleh itu, sebagai pengguna dan pencinta bahasa Melayu, amatlah wajar kita dapat membezakan makna dan peranan 'kad jemputan' dengan 'kad undangan' untuk mengelakkan kekeliruan.