TAHUN 2017 telah berlalu dengan pelbagai kenangan dan persoalan. Musim tengkujuh pula masih belum berakhir. Hujan masih mencurah dan banyak tempat ditenggelami air. Lazimnya, banyak isu yang timbul daripada keadaan ini.

Bagi masyarakat moden hari ini, segala persoalan dihadapi dengan pelbagai cara dan akhirnya semua berlalu begitu sahaja mengikut peredaran masa.

Cara kita menanggapi sesuatu berlainan sekali dengan cara masyarakat Melayu zaman dahulu. Ternyata nenek moyang kita amat bijaksana penuh penghayatan dan tajam pemerhatiannya.

Mereka mencipta pelbagai peribahasa, membuat rumusan dan perbandingan untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan. Daripada perkataan air sahaja pelbagai pengajaran diungkapkan dalam bahasa yang tersusun rapi.

Antaranya ialah peribahasa sekali air bah, sekali pasir berubah atau sekali air gedang, sekali tepian beranjak yang bermaksud lain ketua maka lainlah pula kemahuannya.

Perubahan pucuk pimpinan mempunyai pengaruh yang besar kepada masa depan negara. Jikalau baik pimpinannya maka negeri akan aman dan teratur dan dengan itu rakyatnya juga berbudi bahasa. Hal ini diumpamakan sebagai air jernih, ikannya jinak.

Dari telaga yang jernih takkan mengalir air yang keruh. Peribahasa ini bererti, daripada sifat-sifat yang mulia takkan lahir budi pekerti yang kasar dan buruk.

Andainya ketua dalam sesebuah negara atau keluarga memiliki pekerti yang mulia dan terpuji maka tidak akan berlaku perkara tidak baik dalam masyarakat ataupun dalam keluarga.

Jikalau jernih air di hulu maka eloklah juga yang di hilirnya. Namun begitu, amatlah sulit untuk kita mengenali hati budi seseorang sehinggakan kita mungkin tersalah membuat pemilihan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati ketika menilai keperibadian seseorang.

Air beriak tanda tak dalam, itulah pesan orang tua-tua untuk mengenal orang yang sombong, iaitu besar cakapnya tetapi kurang ilmunya. Orang yang sentiasa tenang sikap dan tingkah lakunya seperti air di terenang pula ialah orang yang selayaknya dijadikan sebagai pemimpin.

Meskipun begitu, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Air yang tenang juga menghanyutkan. Keperibadian seseorang kadang-kadang berlainan daripada yang kita sangkakan.

Orang yang pendiam jangan disangka bodoh dan penakut. Orang yang pendiam juga mampu melakukan pekerjaan yang sukar atau di luar dugaan kita. Banyak juga orang yang kelihatannya baik tetapi bersifat terlalu mementingkan diri sehinggakan semua perkara yang dilakukan hanya mengambil kira keuntungan sendiri.

Mereka ini terlalu kikir dan terlalu berkira umpama air digenggam tak tiris. Bagi golongan ini, tak air hujan ditampung, tak air peluh diurut, tak air talang dipancung. Maksudnya, mereka akan melakukan sesuatu dengan segala daya upaya asalkan matlamat dan tujuan tercapai.

Hangat tiada berapi, sejuk tiada berair, pula merujuk kepada orang yang jahat tingkah lakunya akan tetap mengulangi perbuatan itu jika ada kesempatan biarpun telah mendapat kesenangan. Mereka tidak mengambil sebarang pengajaran daripada pengalaman.

Sekiranya kita memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menyimpan wang maka tindakan itu seumpama menampung air dengan limas pesuk. Mereka pasti akan memboroskannya.

Tingkah laku yang kurang elok perlu diperbetul. Namun demikian, amatlah sukar untuk memberikan pengajaran yang baik kepada orang yang jahat dan degil bagaikan air titik ke batu.

Ajaran yang diberikan tidak melekat bagai air di daun keladi. Kebiasaannya, menasihati mereka dianggap pekerjaan yang sia-sia bagaikan membendarkan air ke bukit ataupun umpama menulis di atas air.

Keperibadian individu selalunya telah dibentuk sejak kecil menurut sifat dan teladan orang tuanya. Air di tulang bumbungan turunnya ke cucuran atap, dan air cucuran atap jatuhnya ke perlimbahan juga.

Demikianlah peringatan masyarakat dahulu tentang lumrah kehidupan supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi dugaan. Kita perlu sedar bahawa bermain air basah, bermain api letup.

Setiap perbuatan akan ada akibatnya. Menjelang tahun baharu 2018, kita mesti buang air keruh, ambil air jernih agar kita dapat memulai penghidupan baharu dalam keadaan terseberang pada air besar, iaitu terpelihara dan terselamat daripada bahaya yang besar.

**Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka