PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah lama berlalu. Keputusan PRK itu juga telah diketahui oleh semua pihak.  Yang menang, bersorak gembira dan yang kalah, menerima kekalahan dengan semangat demokrasi. Perkataan paling penting dalam kedua-dua PRK ialah undi. Semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan undi. Parti politik yang bertanding akan membentuk pasukan perayu undi. Semua poster pilihan raya tercatat perkataan undi. Parti-parti politik menyantuni pengundi. Pengundi bagaikan raja ketika itu kerana segala aduan mereka akan dilayan demi undi. Media massa menyeru pengundi supaya keluar awal untuk mengundi. Frasa yang menjadi perbincangan dalam artikel ini ialah membuang undi.

Mari kita bincang sama ada frasa membuang undi sesuai digunakan ataupun tidak. Menurut Kamus Dewan (KD), undi bermaksud sesuatu untuk menentukan sesuatu. Dalam konteks PRK, undi ialah keputusan yang dibuat oleh pengundi untuk menentukan calon yang disokong. Hal ini bermakna undi sangat penting dalam PRK. Oleh sebab itu, undi tidak boleh dibuang. Undi perlu disempurnakan atau diterjemahkan pada kertas undi dengan meletakkan tanda pangkah pada kertas undi. Selepas itu, kertas undi itu perlu dimasukkan ke dalam peti undi yang telah disediakan. Jangan sesekali buang undi itu.  Jika dibuang, undi itu dikira sebagai undi rosak. Jadi, jelas dan nyata bahawa perkataan membuang undi tidak sesuai digunakan dalam apa-apa keadaan. Frasa yang betul bukan membuang undi, tetapi mengundi. Mari kita lihat ayat berikut dengan teliti.

1. Pengundi itu membuang undi di balai raya. (Salah)

2. Pengundi itu mengundi di balai raya. (Betul)

Ketika tempoh PRK berlangsung, tentulah terdapat provokasi daripada pelbagai pihak. Ada orang yang dapat bersabar dan ada orang yang tidak dapat bersabar. Keadaan ini menyebabkan ada pihak lain yang cuba meredakan keadaan. Biasanya, yang keluar daripada mulut pihak yang ingin meredakan keadaan ini ialah frasa bawalah bertenang. Mari kita bincangkan sama ada frasa bawalah bertenang betul ataupun salah. Persoalan yang timbul dalam benak kita ialah “Bagaimana bertenang hendak dibawa?” dan “Ke manakah bertenang hendak dibawa?”

Kedua-dua soalan ini tiada jawapan kerana “tenang” merupakan kata adjektif yang tidak dapat dilihat atau dipegang untuk dibawa.  Jelaslah bahawa frasa bawalah bertenang adalah salah. Yang betul ialah bertenanglah. Mari kita menyemak ayat berikut.

3. “Bawalah bertenang saudaraku,” kata Ramu. (Salah)

4. “Bertenanglah saudaraku,” kata Ramu (Betul)

Ketika tempoh PRK ini juga, para penganalisis politik dan pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang aktiviti yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Nasihat ini sangat baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Frasa yang sering digunakan oleh pihak ini ialah masyarakat di luar sana sebagai pihak yang ditujukan nasihat. Adakah frasa di luar sana sesuai digunakan atau tidak? Mari kita kaji frasa ini pula.

Perkataan “sana” menunjukkan sesuatu tempat yang agak jauh. Jadi, di luar sana mungkin bermaksud di luar daripada tempat orang itu sedang bercakap. Di manakah tempat itu? Jika pihak yang menasihati itu menasihatkan orang ramai melalui televisyen, di luar sana mungkin bermaksud penonton yang berada di luar televisyen itu. Betulkah nasihat itu tidak ditujukan kepada orang yang berada bersama-samanya dalam program televisyen itu? Jadi, jelas dan nyata bahawa penggunaan frasa di luar sana menimbulkan kekeliruan tentang orang yang ingin ditujukan nasihat itu. Oleh itu, penggunaan frasa di luar sana tidak tepat dan tidak sewajarnya digunakan secara leluasa. Mari kita teliti ayat berikut.

5.  Masyarakat di luar sana perlu berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan. (Salah)

6. Masyarakat perlu berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan. (Betul)

Semoga penerangan ini dapat mengurangkan kesalahan dalam penggunaan bahasa oleh rakyat Malaysia. Sebenarnya, pengguna bahasa cuba mencari kelainan ketika menggunakan bahasa, tetapi mereka perlu berhati-hati kerana bahasa Melayu sangat unik dan mempunyai hukum tatabahasa yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.