HUKUMAN terhadap orang yang melakukan kesilapan bahasa mungkin dalam pelbagai keadaan. Hukuman yang paling ringan ialah biarkan sahaja dengan harapan apabila dia sedar, pada masa akan datang dia tidak melakukannya lagi. Kemungkinan juga hukuman kedua ialah memaafkan sahaja kesilapan itu kerana mengikut Kamus Dewan, ‘silap ialah kesalahan yang tidak disengajakan’. Kemungkinan hukuman yang ketiga boleh juga dilakukan dengan cara memberi nasihat kepada pelakunya. Manakala hukuman yang agak kasar adalah dengan memberikan amaran supaya pada masa akan datang dia tidak melakukannya lagi.

Ada orang menyatakan bahawa ‘silap bahasa’ tidak bererti ‘salah bahasa’. Apabila takrifan sedemikian diperkatakan, boleh menampakkan bahawa orang yang berkata itu faham akan makna ‘silap’ iaitu perlakuan salah yang tidak disengajakan.

Cuba kita renungkan bersama contoh ayat di bawah;

Wahai (mereka-mereka) yang beriman.

(Para-para) tetamu dikehendaki mengambil tempat yang disediakan.

Hanya segelintir (petani-petani) masih menggunakan racun rumpai yang rendah mutunya.

Pihak kami mengucapkan (berbanyak) terima kasih atas kehadiran  peserta pada petang ini.

Setelah kita membaca contoh-contoh ayat di atas yang perkataan (dalam kurungan) memang ‘silap’, tetapi jika ayat begini kerap digunakan, wajar kita hayati makna ‘salah’ pula supaya kita sama-sama menjawab ungkapan di atas yang menyatakan silap bahasa tidak bererti salah bahasa.

 Mengikut Kamus Dewan, salah ialah;

“Tidak benar, tidak betul”.

“Tidak tepat (sasaran, maksud, dll.), tidak kena”.

“Tidak baik, tidak layak, tidak patut, cacat, cela”.

“Perbuatan yang menyalahi hukum (aturan dll.), perbuatan yang tidak patut”.

Kita sebagai ‘tuan’ bahasa Melayu sewajarnya sentiasa memandang serius tentang kesilapan dan kesalahan bahasa kita kerana secara rasionalnya tuanlah lebih merasai perkara begini kerana dia akan mewarisi keramat pusaka bangsa ini. Tidak mungkin sama sekali dan amat tidak wajar manusia yang bukan tuan kepada bahasa ini akan membetulkan kesilapan dan kesalahan bahasa Melayu yang digunakan secara tidak betul oleh tuannya. Namun demikian, dalam dunia akademik yang penuh dengan pancaroba ini, tidak mustahil orang luar yang akan membetulkan kesilapan dan kesalahan bahasa kita. Kalaulah keadaan ini terjadi, maruah pemilik bahasa ini ‘merudum sama sekali’.  

Namun demikian, didapati banyak pihak sudah prihatin dengan fenomena silap dan salah bahasa ini yang wajar kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada mereka.  Bagi mana-mana pihak yang belum atau kurang prihatin, penulis menyeru secara ikhlas supaya semua warganegara sama-sama menyuntik rasa sayang akan bahasa kita sendiri.  

Janganlah asing dengan slogan ‘Betulkan yang biasa, biasakan yang betul’ kerana jika kita renungkan siratan maknanya akan lahir rasa kasih dan sayang kita terhadap milikan kita ini. Semua lapisan masyarakat harus ada rasa bangga akan bahasa sendiri dan tidak sama sekali menganaktirikan bahasa ini dengan menjadikan bahasa lain sebagai belaiannya.  Kita tidak suka mendengar hal bahasa Melayu digabungkan dengan peribahasa ‘Kera di hutan disusui, anak di riba dilepaskan’.  Kita juga sama sekali tidak mahu menjadikan bahasa kita berkeadaan ‘Itik di air kehausan, ayam di kepuk kelaparan’.

Penulis sebagai manusia kerdil dalam dunia kebahasaan ini menyeru kepada semua pihak tidak kira apa-apa kedudukan pun agar sentiasa menepis sikap ‘tidak apa’ dengan kerenah ‘silap dan salah’ bahasa ini.  Kita sama-samalah cuba sekeras-kerasnya mengambil tanggungjawab terhadap keadaan ini kerana bahasa Melayu hak kita dan kitalah bangsa pewarisnya.  Maju dan segarnya bahasa kita biarlah dengan adanya sentuhan daripada kita dan tidak sekali-kali ‘monyok’ dan longlainya bahasa kita angkara kita sendiri.  

Bahasa yang mutunya tidak ternilai dengan wang ringgit ini akan maju dan segar jika kita sayanginya dan sentiasa cakna terhadapnya.

* Penulis ialah mantan Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan