KETIKA kanak-kanak, penulis dan rakan-rakan mengharungi pelbagai musim permainan di Kampung Kemelong, Sik. Kami bermain bola di padang sekangkang kera berdekatan madrasah. 

Sebelum permainan dimulakan, dua orang daripada kami akan dilantik sebagai ketua.  Istilah terpenting ketika musim permainan bola sepak ialah uti.  

Uti bermaksud pilih. Sebagai contoh, Zeman (kini, seorang guru besar) dan Ya Chu Ail (kini, seorang guru) yang bersaiz dan berkemahiran sama akan membuat uti.  Mereka berdua akan menyebut sudu dan garfu.

Zeman mungkin memilih garfu, manakala Zakaria mungkin memilih sudu. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu pilihan tersebut. Jika salah seorang ketua kumpulan memilih garfu, bermakna Zeman akan menjadi ahli kumpulannya, dan sebaliknya.

Pada musim permainan yang memerlukan pembentukan dua pihak, istilah uti paling penting disebut.

Di kampung penulis juga ada musim permainan aci. Dalam permainan ini, aci bermaksud jadi. Salah seorang daripada kami akan bertindak sebagai jadi. Dialah yang akan mengejar dan menyentuh rakan lain.

Sesiapa yang disentuh oleh jadi, maka dialah yang akan bertindak sebagai jadi seterusnya. Jika rakan itu sempat berkata chup dan duduk, maka sentuhan jadi dikira tidak sah. Penulis jarang-jarang bertindak sebagai jadi kerana penulis mampu berlari pantas dan bijak mengeksploitasi istilah chup.

Penulis dan rakan-rakan juga bermain permainan getah ketika zaman kanak-kanak.  Dengan duit syiling 10 sen, kami dapat membeli 100 gelang getah rokok atau gelang getah untuk mengikat barang sebagai modal permainan.

Permainan getah dimulakan dengan pembinaan para, iaitu rentang getah antara dua kayu yang dipacakkan berjarak sekaki. Penulis dan rakan-rakan akan beratur dalam jarak dua meter daripada para. 

Setiap orang akan mengambil giliran untuk melastik getah di atas para menggunakan ibu getah bagi menjatuhkan getah sebanyak yang boleh. Ibu getah ialah gabungan gelang getah yang didandan menjadi besar untuk dijadikan lastik.

Rakan penulis yang cekap bermain getah ialah Zamri Yaakob (kini, guru di Kuala Lumpur). Penulis selalu kehabisan getah kerana kalah. Penulis tidak mampu membeli getah sebagai modal seterusnya.

Penulis mengambil langkah bijak dengan mengotek Zamri untuk mendapatkan getah. Otek merujuk perbuatan pujukan bagi mendapatkan sesuatu secara percuma. Kebiasaannya penulis akan berkata, “Engkau bagi aku getah sikit, nanti aku menang, aku bagi balik.” Penulis tidak pernah menang dalam permainan getah dan kaedah otek diteruskan lagi.

Selain permainan, penulis juga menempuh musim mandi sungai. Ada dua pangkalan yang selalu menjadi pilihan kami, iaitu Pangkalan Pak Long Mud dan Pangkalan Pak Wa Nik (semoga roh mereka dirahmati ALLAH SWT). Ketika mandi, kami mengadakan permainan menyelam paling lama.

Pertandingan ini tidak memerlukan hakim. Semua pemain akan berada di dalam air sambil membilang satu hingga tiga, kemudian terus menyelam. Penyelam yang tidak mampu bertahan akan keluar dari air lebih awal. Penyelam yang paling akhir keluar dari air dikira sebagai pemenang.

Rakan penulis yang bernama Ishak Wahab atau Sahak Tok Yam (kini, imam di Surau Silaturahim, Desa Pandan, Kuala Lumpur) selalu menang. Penulis kagum akan Ishak yang mampu bertahan lama di dalam air.

Setelah dewasa, barulah penulis tahu muslihat Ishak. Ketika kami menyelam, Ishak akan kecoh atau menipu dengan keluar dari air secara senyap dan menyelam semula ketika ada antara kami yang akan bangun. Muslihat tersebut tidak disedari oleh sesiapapun menyebabkan Ishak selalu menang.  Penulis hanya tahu muslihat Ishak setelah penulis meningkat dewasa.

Berdasarkan  permainan popular di kampung penulis, terdapat beberapa istilah yang hanya disebut pada musim permainan, antaranya termasuklah uti, jadi, chup, para, ibu getah, otek, dan kecoh.

Istilah yang diketengahkan oleh penulis ini semakin hilang sebenarnya. Para pengkaji bahasa seharusnya mengambil peluang untuk mengabadikan istilah musim permainan di kampung penulis sebagai koleksi bahasa yang menarik. Bahasa kita kaya sebenarnya.