BARU-baru ini, sebagai bapa dan ketua keluarga, penulis berkesempatan meraikan hari ulang tahun kelahiran anak bongsu saya bersama-sama keluarga tersayang di salah sebuah kafeteria yang terkenal di Taman Bernam Baharu, Tanjong Malim, Daerah Muallim, Perak.

“Kita makan malam di Blue Garden Cafeteria pada hari ini,” ujar WShen, anak kedua saya kepada adiknya, WXing.

“Kafeteria Blue Garden!” Sebagai pesara guru Bahasa Melayu, saya perlu membetulkan frasa tersebut. Akhbar Sinar Harian saya letakkan di atas meja tamu selepas usai dibaca sambil menghirup seteguk kopi O kurang manis.

“Blue Garden Cafeteria, salah?” usik isteri saya, SYong mengundang perbincangan lanjut. Yang diraikan, anak bongsu saya ternanti-nanti akan penjelasan saya.

 “Frasa nama itu dalam bahasa Inggeris, sayang!”

“Jadi?”

“Dari segi Hukum D-M, bahasa Melayu, frasa yang persis ialah Kafeteria Blue Garden!”

“Hukum D-M, abah?” WShen pula menunjukkan minatnya.

Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah (Jilid 3) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2016), frasa nama yang terbina dalam bahasa Melayu masing-masing mengikut peraturan dan susunannya. Walaupun ada beberapa kekecualian, umumnya, frasa nama bahasa Melayu patuh akan peraturan yang berikut, iaitu Hukum D-M atau Peraturan D-M.

Hukum D-M bererti urutan kata nama yang diterangkan (D) mendahului kata nama yang menerangkan (M). Unsur yang diterangkan ialah kata inti, manakala unsur yang menerangkan ialah kata penerang yang lazimnya berkedudukan selepas kata inti.

Frasa Nama Contoh:

Lihat ayat contoh 1 hingga 4:

1. Cikgu Song Yong ialah guru Bahasa Melayu di SMK Methodist, Tanjong Malim. (FN + FN)

2. Mutu membeli dua botol sos cili di Kedai Runcit Ali. (FN + FK)

3. Harga buah durian itu sangat mahal. (FN + FA)

4. Pokok manggis itu di belakang rumah Mahat Akiya. (FN + FS)

Hukum D-M bahasa Melayu ini, jika tidak dipatuhi, akan hanya menghasilkan bentuk yang salah. Bentuk yang demikian berlaku apabila kata inti berkedudukan mengikuti kata penerang. Contoh bentuk yang sering kita temukan, walaupun salah, termasuklah:

Namun demikian, terdapat juga frasa nama yang aturannya ternyata melanggar peraturan atau Hukum D-M, tetapi telah diterima pakai. Bentuk yang demikian kita anggap sebagai bentuk kekecualian. Contohnya perdana menteri, naib canselor, ibu pejabat, menteri besar, dan timbalan menteri.

Yang jelas, Hukum D-M dalam bahasa Melayu perlu difahami dengan baiknya oleh pengguna bahasa Melayu supaya dapat meng-gunakannya dengan betul dan tepat. Janganlah kerana kelaziman penggunaan frasa nama dan kata majmuk yang tidak menepati Hu-kum D-M menjadi amalan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Amalkanlah bahasa Melayu yang betul dan gramatis.

“Makanan?” tanya gadis genit yang bertugas sebagai penyambut tamu di Kafeteria Blue Garden.

 “Mi goreng!” pesan WXing.

“Kuetiau goreng, dua!” pesan WShen dan ibunya pula.                

“Encik?”

“Burger ayam untuk saya, cik!”

“Minuman?” soalnya lagi.

“Dua gelas jus durian belanda, segelas teh limau ais dan air suam,” jelas saya sungguh-sungguh.

“Selamat ulang tahun kelahi-ran, WXing!” ucap kami sekeluarga dengan harapan anak bongsu saya sihat walafiat, bitara ilmu dan maju cemerlang dalam pengajiannya di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAN tahun penulis akan meluangkan masa untuk mendengar ucapan bersemangat daripada perwakilan terpilih dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).
  • SETELAH dilantik sebagai Munsyi Dewan (MD) 1996, penulis agak kerap mengendalikan kursus bahasa dan kursus-kursus lain yang berkaitan kepada kakitangan awam yang memerlukannya.
  • PADA minggu lepas, penulis berkesempatan minum kopi di kedai kopi berhampiran dengan rumah. Ketika penulis sampai di situ, kelihatan orang kampung penulis sedang bersarapan. Penulis mengenali semua orang yang berada di situ.
  • PENGGUNAAN frasa orang kata sememangnya lumrah dalam perbualan masyarakat kita. Antara lainnya, frasa tersebut digunakan untuk mendapatkan pengesahan tentang sesuatu perkara. Sila baca dan fahami maksud ayat yang berikut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.