BEBERAPA hari yang lalu, saya dan keluarga menghantar anak perempuan kami ke Kolej Matrikulasi Perlis. Sepanjang perjalanan dari Sik, Kedah ke Perlis, saya dan anak saya yang berusia 11 tahun bersiap sedia dengan kertas dan pen untuk mencatatkan kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda di sepanjang jalan. Anak saya, Aufa sangat berminat akan Bahasa Melayu. Dialah yang banyak menemukan kesalahan bahasa dan memberitahu saya dengan segera. Baru sahaja memulakan perjalanan, kami melihat sebuah papan tanda berwarna merah yang tertulis “selekoh berbahaya”.  

Pengguna Bahasa Melayu mengetahui bahawa dalam Bahasa Melayu tidak terdapat imbuhan –mer. Oleh itu, perkataan “berbahaya” sememangnya salah. Ada pengkaji bahasa berpendapat bahawa imbuhan –mer yang terdapat pada perkataan “berbahaya” itu perlu digantikan dengan imbuhan –ber supaya menjadi perkataan “berbahaya”. Pada hemat saya, perkataan “berbahaya” juga salah.

Bagi menguji kebenaran pandangan saya ini, mari kita uji perkataan yang berlawan dengan kata dasar “berbahaya”, iaitu “bahaya”. Lawan bagi perkataan “bahaya” ialah “selamat”. Jika ada perkataan “selekoh berbahaya”, tentulah ada perkataan “selekoh berselamat” tetapi perkataan “berselamat” membawa konotasi lain. Jadi, ternyatalah bahawa papan tanda yang tertulis “selekoh berbahaya” perlu ditukar kepada “selekoh bahaya” bukannya “selekoh berbahaya”.

Ketika sampai di Gurun, kami melihat sebuah papan tanda yang tertulis “kurangkan kelajuan”. Aufa menjeling ke arah saya meminta kepastian.  Yang manakah betul? “Kurangkan laju” atau “kurangkan kelajuan”? Perlukah kata adjektif “laju” diberikan imbuhan apitan ke-an? Apakah yang perlu dikurangkan? “Laju” atau “kelajuan”?

Berdasarkan Kamus Dewan (KD), “laju” bermaksud pergerakan yang pantas atau cepat, manakala “kelajuan” bermaksud lajunya sesuatu gerakan.  Oleh itu, “kurangkan laju” bermaksud kurangkan pergerakan yang pantas. Tulisan pada papan tanda ini bermaksud kurangkan pergerakan bukannya kurangkan kelajuan. “Kurangkan kelajuan” pula bermaksud kurangkan laju bagi sesuatu gerakan. Perkataan gerakan merujuk kenderaan yang sedang bergerak. Jadi, perkataan paling tepat yang perlu ditulis ialah “kurangkan kelajuan” bukannya “kurangkan laju”.  

Di Pendang, kami melihat sebuah papan tanda tertulis “kawasan kemalangan”. Tepatkah penggunaan tersebut? Mari kita tukar Kata Nama (KN) “kawasan” yang mendahului rangkai kata “kawasan kemalangan” dengan KN “Ahmad”. “Kawasan kemalangan” ditukar menjadi “Ahmad kemalangan”. Maksud “kemalangan” dalam KN, ialah mendapat kecelakaan. Oleh itu, “kawasan kemalangan” bermaksud kawasan tersebut mendapat kecelakaan. “Ahmad kemalangan” pula bermaksud Ahmad telah mendapat kecelakaan. Adakah papan tanda itu bermaksud untuk menceritakan bahawa kawasan itu telah ditimpa kecelakaan seperti runtuh dan sebagainya atau untuk mengingatkan pengguna lebuh raya supaya berhati-hati kerana di kawasan tersebut sering terjadi kemalangan?  

Pada hemat saya, perkataan “kawasan kemalangan” tidak sesuai dipaparkan pada papan tanda dan elok digantikan dengan “kawasan bahaya”.

Perlis terkenal dengan mempelam “harumanis”nya. Betulkah mempelam termahal di dunia ini ditulis begitu? “Harumanis”, “harum manis” atau “haru manis”? Jika perkataan “harumanis”, iaitu gabungan perkataan “haru” dan “manis” yang bermaksud buah mempelam ini sangat manis, tetapi agak haru untuk membelinya kerana harganya terlalu mahal, maka nama mempelam ini perlu ditulis “haru manis” dan bukannya “harumanis”. Jika “harumanis”, iaitu gabungan perkataan “harum” dan “manis” yang menonjolkan betapa harum dan manisnya mempelam ini, maka perkataan terbaik dan sesuai ditulis ialah “harum manis”.

Begitulah kisahnya perjalanan kami...