BARU-baru ini, penulis telah diundang untuk mengendalikan Bengkel Pengucapan Umum di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur.

Peserta-pesertanya terdiri daripada penuntut dari Malaysia, Thailand dan Indonesia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang disiplin ilmu.

Sepanjang pengendalian bengkel tersebut, para peserta berusaha sebaik-baik mungkin untuk menampilkan sahsiah diri sebagai pengacara atau juruacara selain penggunaan bahasa Melayu nan betul, gramatis dan santun.

Para penuntut dari Malaysia dengan gayanya yang tersendiri, penuntut dari Thailand pula dengan penampilan dan lenggok penggunaan bahasa Melayu Thailand. Penuntut dari Indonesia juga tidak terkecuali mempamerkan kehebatan mereka berbahasa Melayu bercampur dengan bahasa Indonesia yang menjadi kebanggaan mereka.

Pada akhir bengkel tersebut dapatlah dibuat rumusan bahawa ada peserta yang boleh berbahasa Melayu dengan baik dan ada juga peserta yang masih malu-malu dan tidak dapat berbahasa Melayu dengan santunnya.

Mengapakah hal sedemikian masih berlaku dalam kalangan penuntut Malaysia khasnya? Untuk mencari sebab-musababnya, semua pihak yang diajukan pertanyaan sudah tentulah akan memberikan jawapan yang pelbagai selain menuding jari kepada si polan-si polan yang menyebabkan sesetengah penuntut Malaysia gagal untuk berkomunikasi dengan baik di hadapan kawan mereka sendiri, apatah lagi di hadapan penceramah yang baru kali pertama ditemui mereka.

Dalam hal ini, peranan siapakah yang perlu digalas untuk memastikan penuntut Malaysia pewaris kepemimpinan negara kelak mampu menyampaikan hujah atau berbicara dengan santun dan baik dalam bidang pengacaraan majlis, perbincangan sesi rundingan meja bulat mahupun dalam majlis rasmi yang lain?

 Pada peringkat akar umbi, sama ada disedari atau tidak semestinyalah peranan besar untuk memastikan murid-murid pascamerdeka mampu menguasai bahasa Melayu dengan baiknya ialah guru-guru Bahasa Melayu baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

Semua guru Bahasa Melayu yang terlatih baik di Maktab Perguruan (dahulu) dan Institut Pendidikan Guru (kini) mahupun di universiti-universiti awam tempatan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang cukup banyak dan luas untuk mengajar murid mereka berbahasa Melayu dengan betul.

Guru-guru Bahasa Melayu semestinya telah pun menguasai sejarah bahasa Melayu selain aspek semantik, sintaksis, morfologi, dan fonologi lewat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi rujukan wajib mereka dalam penyampaian ilmu kebahasaan dan ketatabahasaan kepada murid mereka.

Di samping itu, penggunaan Kamus Dewan Edisi Keempat juga turut menjadi panduan dan rujukan mutakhir para guru Bahasa Melayu untuk memastikan pengajaran guru dan pembelajaran murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dilaksanakan dengan sempurna.

Guru-guru Bahasa Melayu juga saya yakin bahawa mereka telah pun mengikuti pelbagai kursus, seminar, bengkel atau persidangan yang berkaitan dengan pengembangan bahasa Melayu untuk memantapkan pengajaran mereka seiring dengan pelaksanaan pengajaran Bahasa Melayu pada abad ke-21 ini.

Pengajaran yang menekankan aspek didik hibur dititikberatkan untuk menarik minat murid kini mencintai bahasa Melayu.

Penyertaan aktif murid dalam pelbagai pertandingan pengucapan awam seperti pidato, bahas, pantun, deklamasi puisi, forum atau lakonan juga dapat memahirkan mereka untuk berbahasa Melayu dengan hebatnya.

Guru-guru Bahasa Melayu juga saya percaya bahawa mereka telah pun mendominasi pelbagai teknik dan pendekatan terkini pengajaran Bahasa Melayu yang merentas kurikulum dalam transformasi pendidikan mutakhir, iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Akhir bicara menyulam kata, bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penuturnya dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia.

Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca di Asia Tenggara, khususnya pada zaman kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka.

Yang jelasnya, di Malaysia, bahasa Melayu dimartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. Atas faktor tertentu, bahasa Melayu dikenali juga sebagai bahasa Malaysia.