DALAM alam pendidikan tidak lengkap jika tidak diadakan majlis graduasi, konvokesyen dan komensmen.  Majlis ini menjadi penamat atau khatam bagi sesuatu sidang atau tempoh pengajian.

Graduasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu graduation. Perkataan ini sering digunakan dalam sistem persekolahan, meliputi sekolah tadika sehinggalah ke peringkat universiti atau pengajian tinggi.

Ramai yang tidak sedar bahawa penggunaan perkataan graduasi itu tidak tepat, kerana dalam bahasa Melayu perkataan graduasi tidak ditemukan.

Hanya terdapat perkataan graduan bermaksud mahasiswa yang akan menerima ijazah pada hari penyampaian ijazah.

Perkataan graduan pun harus dapat dibezakan pula dengan perkataan siswazah.  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) jelas menyebut bahawa perkataan graduasi tidak terakam dalam Kamus Dewan dan dicadangkan kepada pengguna bahasa menggantikan perkataan itu dengan pengijazahan atau majlis penerimaan ijazah.

Ironisnya, perkataan graduasi digunakan secara meluas di sekolah seperti berikut; Majlis Graduasi Tadika 2017, Majlis Graduasi SPM 2017, Majlis Graduasi Tingkatan 6 Atas, dan sebagainya.

Penggunaan perkataan graduasi boleh digantikan dengan perkataan lain seperti Majlis Penyampaian Sijil, Majlis Penganugerahan Sijil, dan sebagainya.

Kelaziman penggunaan perkataan graduasi ini berpunca daripada ikut-ikutan kita tanpa membuat rujukan dahulu.

Perkataan graduasi mungkin boleh disamakan dengan istilah konvokesyen yang membawa maksud perhimpunan di universiti untuk penyampaian ijazah.

Penggunaan perkataan konvokesyen ini jelas memberi makna khusus untuk majlis penyampaian ijazah, bukan diploma, dan bukan sijil.  

Perkara ini boleh dirujuki secara tepat dalam Kamus Dewan atau di Gerbang Maya PRPM, Dewan Bahasa dan Pustaka. Konvokesyen berasal daripada perkataan bahasa Inggeris convocation, namun makna yang  terdapat dalam bahasa Inggeris lebih luas yang merujuk sekumpulan orang yang dihimpunkan untuk tujuan khas.

Jadi, dalam perihal ini jika sekumpulan orang seperti peladang atau petani yang berhimpun untuk berbincang dan berseminar juga boleh dianggapkan sebagai majlis konvokesyen.

Demikianlah konteks dalam bahasa Inggeris, yang kelihatan agak berlainan daripada kebiasaan kita menggunakan perkataan itu dalam skop arena pendidikan sahaja.  

Selain itu, penggunaan istilah konvokesyen dalam bahasa Inggeris juga selalu digunakan untuk peringkat sekolah dan kolej.

Sekali lagi ada kelainan penggunaan berbanding dalam konteks budaya kita di Malaysia.

Di negara-negara Barat, konvokesyen turut diadakan di peringkat sekolah dan kolej.

Terdapat banyak tradisi yang berkait dengan upacara penyampaian ijazah ini, yang paling terkenal kemungkinannya ialah lontaran topi siswazah ke udara.

 Di kebanyakan universiti yang besar di Amerika Syarikat, ratusan siswazah akan menerima ijazah sekali gus, biasanya terdapat satu majlis utama di stadium atau tempat lain yang diikuti dengan majlis-majlis yang lebih kecil di kampus.

Upacara kecil ini dianjurkan oleh setiap fakulti dan merupakan upacara sebenar penganugerahan ijazah.

Di tempat-tempat lain, cuma satu majlis diadakan, di suatu tempat di kampus, tetapi dibahagikan kepada beberapa sesi di sepanjang hujung minggu.

Ada juga universiti yang melangsungkan konvokesyen lebih daripada sekali setahun.

Satu lagi istilah yang digunakan berkaitan tamatnya sesuatu pengajian atau kursus iaitu komensmen. Istilah ini diguna pakai untuk menamakan majlis penyampaian sijil kerana tamat sesuatu kursus.  

Agak meluas juga penggunaan istilah ini dalam sistem pendidikan negara kita, bunyinya hebat dan tersirat suatu kemegahan.

Namun, apabila kita merujuk Kamus Dewan dan Gerbang Maya PRPM, sekali lagi kita terkejut dengan kenyataan ini, komensmen tiada dalam bahasa Melayu.

Oleh itu perkataan tersebut tidak boleh digunakan dan hendak-lah menggunakan istilah bahasa Melayu yang  tepat,   jika  perkataan dimaksudkan commencement (bahasa Inggeris), memberi maksud permulaan ataupun pembukaan.  

Justeru, dipendekkan cerita baik apa sahaja perkataan yang akan digunakan lebih baik dilakukan rujukan terlebih dahulu.

Hal ini mengelakkan kita daripada terjerumus ke kancah kesalahan bahasa yang berlarutan dan menjengkelkan.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka