BARU-BARU ini, penulis menonton rancangan televisyen Indonesia yang menyiarkan temu ramah antara seorang pelajar sekolah dengan selebriti yang jauh lebih dewasa daripadanya.

Perkara yang menarik perhatian penulis bukanlah kejayaan pelajar itu menjuarai pertandingan ejaan dunia yang berlangsung di Australia, tetapi pelajar itu menggunakan kata ganti nama diri (KGND) 'aku' dalam temu ramah itu.

Amalan di Malaysia secara umumnya, penggunaan KGND 'aku' oleh seseorang remaja dengan seseorang yang lebih dewasa merupakan amalan biadab. Walau bagaimanapun, penggunaan KGND 'aku' merupakan perkara yang sangat biasa dalam masyarakat Indonesia.

KGND 'aku' di Sabah juga merupakan perkara biasa. Persoalannya, apakah fungsi KGND 'aku' yang sebenarnya?

KGND 'aku' berfungsi sebagai tanda kemesraan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Seseorang yang berkawan sejak kecil akan menggunakan KGND 'aku' walaupun telah berpisah sekian lama.

Seorang kawan kolej penulis yang kini bertugas sebagai pegawai tinggi tentera bernama Ishak menggunakan KGND 'aku' dengan penulis setelah kami bertemu semula setelah 30 tahun berpisah.

Seorang lagi kawan sepermainan penulis, Md Rodi Ali yang kini bergelar Datuk masih menggunakan KGND 'aku' setelah berpisah hampir 35 tahun.

Penggunaan KGND 'aku' oleh Ishak dan Md Rodi ini menandakan betapa rapat dan mesranya mereka dengan penulis. Penulis berasa sangat teruja kerana terpilih sebagai rakan sangat mesra dalam diri mereka sehingga sekarang.

Pada zaman persekolahan, penulis pernah ke rumah kawan penulis yang bernama Khir Budin yang kini merupakan seorang guru. Rumah kawan sekelas penulis ini terletak di daerah Kuala Nerang.  

Perkara yang mengejutkan penulis ialah kawan penulis menggunakan KGND 'aku' ketika berbual-bual dengan ibu bapanya. Seumur hidup penulis, itulah kali pertama penulis mendengar perbualan antara ibu bapa dengan anak menggunakan KGND 'aku'.

Sebagai tetamu, penulis bersabar walaupun hati penulis ingin melontarkan soalan kepada Khir. Setelah beberapa minit berbual di beranda, penulis terdengar jiran Khir juga menggunakan KGND 'aku' ketika bercakap dengan ibu bapa mereka. Penulis membuat kesimpulan bahawa penggunaan KGND 'aku' merupakan natijah kasih sayang antara ibu bapa dengan anak.

Jika kita sempat membaca ayat-ayat cinta daripada seorang pria kepada si dara, kita akan dapat melihat penggunaan KGND 'aku' digunakan secara meluas.

Ungkapan seperti “Aku mencintaimu” atau “Engkau sentiasa di hatiku” merupakan frasa utama dalam bingkisan cinta pada zaman dahulu. Penulis pernah terbaca surat sedemikian yang ditulis oleh rakan penulis Azmi kepada buah hatinya Noor ketika di kampung asal penulis, iaitu di Kemelong, Sik, Kedah.

Penggunaan KGND 'aku' akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin. Semoga pasangan ini terus bahagia sehingga ke jannah. Oleh itu, KGND 'aku' dalam surat cinta berfungsi sebagai syarat cinta yang bersungguh-sungguh daripada kedua-dua belah pihak.

Jika kita berseorangan sambil berangan-angan, kita akan menggunakan KGND 'aku'. Tiada sesiapa yang akan menggunakan KGND 'saya' . Sebagai contohnya, “Kalaulah aku kaya, aku akan menolong semua orang yang susah”, “Kalaulah aku terpilih sebagai ketua kampung”, “Aku akan pastikan semua penduduk bersatu padu”, dan “Aku tidak minta dihina begini’. 

Cuba renungkan dalam diri sendiri, betul atau tidak kita menggunakan KGND 'aku' apabila berseorangan. Fungsi KGND 'aku' dalam konteks ini menunjukkan keakraban kita dengan diri sendiri. 

Akhir sekali, tiada sesiapa yang menggunakan KGND 'saya' ketika berdoa kepada Tuhan. Semuanya menggunakan KGND 'aku' sebagai tanda rapatnya dan dekatnya kita dengan Tuhan semesta alam.